Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #734 : HUKUM MENYERTAI PERAYAAN SONGKRAN

Soalan : 

Apakah hukum menyambut perayaan songkran di thailand? Sejak kini makin ramai rakyat malaysia berpusu-pusu ke sempadan Thailand utk meraikan pesta songkran. Jika ianya melibatkan akidah, maka elok ustaz mengingatkan umat Islam Malaysia agar tidak terpesong.. Jika tidak, baik juga diterangkan agar kami tidak salah faham. Terima kasih

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perayaan Songkran merupakan perayaan tahun baru yang disambut oleh masyarakat siam pada setiap 13 April. Di Thailand ianya dikenali sebagai Pesta Maha Songkran. Perkataan Songkran diambil dari perkataan Sanskrit iaitu samkranti. Ianya membawa maksud perubahan atau transformasi. Songkran juga adalah satu penanda aras berakhirnya musim kemarau dan merupakan awal musim hujan mengikut penganut Buddha di Thailand. Mereka menganggap bulan april adalah bulan panas.

Pada hari perayaan ini, kebanyakan penduduk akan bangun awal dan keluar untuk melawat tokong buddha. Di dalam perayaan ini juga mereka akan mengadakan adat memandikan patung Buddha dengan air kemudian air tersebut diagihkan kepada orang ramai sebagai berkat.

Di dalam perayaan ini juga diadakan adat menyimbah air. Orang ramai akan berjalan-jalan di jalanan membawa baldi yang berisi air atau pistol air.Lalu mereka akan mencurahkan air tersebut kea rah orang ramai.Adat ini pada asalnya merupakan cara memberi hormat kepada orang lain dengan menyimbah air “bertuah” yang sudah disimbah kepada patung Buddha lalu dicurahkan ke arah orang sebagai keberkatan ke atas keluarga mereka. [1]

Berdasarkan penjelasan di atas, ini menunjukkan bahawa perayaan Songkran adalah khusus untuk penganut Buddha. Oleh itu, kami katakan, hukum menyambut dan menyertai perayaan agama lain adalah dilarang berdasarkan dalil-dalil berikut :

  1. Allah swt melarang umat Islam berkompromi dan terlibat dengan sebarang bentuk peribadatan dan ritual agama lain. Ini adalah berdasarkan firman Allah :

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ ﴿١﴾ لَآ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ﴿٢﴾ وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ ﴿٣﴾ وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ ﴿٤﴾ وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ ﴿٥﴾ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِىَ دِينِ ﴿٦

Maksudnya :” Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".

(Surah al-Kafirun : 1-6)

 

Kata Sheikh al-Maraghi : “Kesimpulan dari ayat tersebut adalah perbezaan yang ketara pada siapa yang disembah dan juga perbezaan dari segi peribadatan. Apa yang disembah oleh kita berbeza dan cara ibadah kita juga berbeza.”

Rujuk Tafsir al-Maraghi (30/255)

 

  1. Menyertai perayaan agama lain termasuk dalam perbuatan menyerupai agama lain dalam hal yang menjadi pengkhususan mereka. Ini bersandarkan kepada sebuah hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar. Kata beliau : Nabi saw bersabda :

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya :” Sesiapa yang menyerupai sesuatu golongan, maka dia adalah daripada golongan tersebut.”

Riwayat Abu Daud ( 4024,4031)

Hadis di atas adalah satu penjelasan dan penerangan Nabi saw terhadap penyerupaan dan peniruan adat, syiar atau perkara-perkara khusus yang berkaitan dengan sesuatu golongan atau sesuatu kaum.

Sheikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka:

“Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.”

Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud ( 9/54)

Kata Mulla Ali al-Qari :

“Hadis ini bermaksud sesiapa yang menyerupai orang kafir pada pakaian mereka dan lainnya (perbuatan dan lain-lain). Ataupun menyerupai orang fasiq dan berdosa ataupun menyerupai orang yang soleh, maka dia mendapat dosa atau pahala mengikut pada siapa yang dia ikut.”

 

al-Imam al-San’ani mengatakan :

“ Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah dari kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.”

Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram ( 4/175)

 

Maka jelas di dalam perayaan Songkran terdapat unsur-unsur adat keagamaan yang bercanggah dengan agama Islam.

Maka, kami menasihatkan agar tidak terlibat dan menyertai perayaan pesta tersebut kerana ia ada kaitan rapat dengan agama Buddha. Akan tetapi, jika dia pergi dengan sebab untuk mempelajari adat dan budaya, maka tidak mengapa.

Wallahu’alam.

 

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Songkran_(Thailand). Lihat juga https://kids.nationalgeographic.com/explore/celebrations/songkran/