Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #748 : HUKUM BASUHAN PERTAMA YANG AIRNYA TIDAK RATA

Soalan :

Assalamualaikum Tuan Mufti.Selamat menjalani ibadah puasa..Izinkan hamba bertanya  berkaitan mengangkat wuduk..Disunatkan membasuh anggota wuduk sebanyak tiga kali.Yang wajib hanya sekali. Yang mushkilnya,contohnya  pertama kali membasuh muka ada bahagian yang tidak terkena air.dan kemudian diikuti dengan  basuhan kali kedua dan barulah seluruh bahagian muka itu basah. .Apakah hukumnya.Sedangkan yang kedua itu sekadar sunat..mohon penjelasan dari Tuan Mufti Terima kasih.

 

Jawapan :

Alhamdulillah. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Tiada khilaf bahkan ijmak di kalangan para ulama bahawa di antara anggota yang wajib dibasuh ketika wuduk adalah wajah. Ini berdasarkan firman Allah swt :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Maidah : 6)

Kemudian para ulama menyebut pula apakah had wajah yang wajib dibasuh. Sudut tinggi adalah bermula dari tempat tumbuh sehingga ke pengakhiran tulang rahang, Manakala dari sudut lebar adalah di antara dua telinga.

Maka bahagian-bahagian yang termasuk di dalam had ini maka wajib dibasuh secara sempurna tidak boleh tertinggal sikit pun daripadanya. Kewajipan membasuh anggota wuduk dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Laqit Bin Sabirah . Sabda Nabi saw :

خَلِّلْ أَصَابِعَكَ وَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ

Maksudnya :” Selati jari-jari engkau dan sempurnakanlah wuduk…”

Riwayat al-Baihaqi (8515)

Membasuh di sini adalah mengalirkan air dan dikenakan aliran tersebut kepada anggota wuduk. Kata Imam  al-Ramli :

“Maksud membasuh ialah mengalirkan air ke atas sesuatu”

Rujuk Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj (1/209)

Selagi mana had wajah tidak dialirkan air padanya atau tidak terkena air, maka basuhan itu dianggap tidak sah dan perlu diulang. Air perlu diratakan pada seluruh had wajah supaya kesemua bahagian wajah terkena air.

Adapun basuhan kedua dan ketiga adalah sunat dengan syarat perlu disempurnakan basuhan wajib iaitu basuhan yang pertama.Secara mudahnya, basuhan kedua yang sempurna telah mengambil tempat basuhan yang pertama. Ini kerana basuhan yang pertama tidak diiktibar.

Kata Imam al-Ramli :

Syarat sebelum membasuh untuk kali kedua dan ketiga adalah perlu menyempurnakan basuhan wajib (yang pertama)”

Rujuk Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj (1/188)

Wallahu’alam