Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #761: SOLAT DI BILIK HOTEL SELEPAS TAWAF WIDA’

SOALAN:

Ada jemaah bertanya: Assalamualaikum Ustaz, saya nak tanya: Lepas tawaf wada’ ada jemaah balik hotel dan solat zohor dan asar jamak taqdim boleh ke?

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Tawaf Wada’ merupakan amalan terakhir bagi jemaah yang telah melaksanakan ibadah haji sebelum ia meninggalkan Makkah, tawaf wada’ ini juga ialah sebagai penghormatan terakhir pada Masjidil Haram. Walaubagaimanapun, tawaf wada’ merupakan satu daripada syarat wajib haji dan ianya bukanlah terdiri daripada rukun haji. Oleh hal yang demikian, sekiranya ia tidak dilakukan maka ia tidak merosakkan haji seseorang jemaah haji itu, akan tetapi ia hendaklah ditampung dengan melakukan sembelihan dam sepertimana perkara wajib haji yang lain. (Rujuk Fiqh Al Islami Wa Idalatuh, 3/157)

Daripada Ibn Abbas:

أَنْ يَنْفِرَ الرَّجُلُ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Jangan ada seorang pun (jemaah haji) yang pergi (meninggalkan Makkah) sebelum mengakhiri perjumpaannya di Baitullah.”

Hadis Riwayat Muslim (1327)

Jelas melalui hadis ini menyatakan bahawa apabila seseorang itu telah melaksanakan tawaf wada’, maka dia hendaklah segera meninggalkan Tanah Haram tanpa melengah-lengahkan waktu sekiranya tidak mengalami sebarang masalah supaya tawaf wada’nya itu tidak terbatal dan mengelakkan dam dikenakan. Adapun jika diamnya (menunggu) hanya sebentar disebabkan menunggu rombongan yang lainnya sampai ke kenderaan atau menunggu bas dilobi hotel adalah dibenarkan.

Merujuk kepada persoalan di atas, melakukan solat jamak taqdim di bilik hotel selepas menunaikan tawaf wada’ adalah dibenarkan dan ia tidak terbatal. Waima, jika jemaah tersebut balik ke bilik hotel, mandi, menukar pakaian dan solat di bilik hotel, kemudian terus keluar ke lobi untuk menunggu bas, maka bagi perlakuan tersebut adalah dibenarkan. Tetapi ingat, jangan sampai berbaring di katil walaupun ia hanyalah sekadar hendak melepaskan lelah dan penat sebentar kerana ia akan menyebabkan tawaf wada’ yang ditunaikan akan terbatal. (Rujuk Fiqh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah keluaran Tabung Haji, m/s 49).

Semoga dengan penjelasan yang diberikan dapat membuahkan kefahaman kepada insan yang bertanya dan kita semua. Wallahu’lam.