Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #763 : HUKUM SOLAT SUNAT RAWATIB SELEPAS SOLAT JAMAK

Soalan :

Assalamualaikum Dr Mufti.. Jika di ikutkan haram mengerjakan solat sunat selepas asar.Tetapi adakah boleh saya melakukan solat sunat rawatib setelah melakukan solat jamak qasar zohor dan asar dalam waktu zuhur?

 

Jawapan :

Waalaikumussalam.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw untuk bertanyakan berkenaan Islam. Rasulullah bersabda :

خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. فَقَالَ هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهُنَّ قَالَ  لاَ. إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ

Maksudnya :”  Lima kali solat pada siang dan malam. Lelaki itu bertanya : Adakah ada solat selain dari itu. Nabi saw menjawab : Tiada kecuali solat Tatawwu’ (solat sunat).”

Riwayat al-Bukhari (1758) & Muslim (109)

Begitu juga melakukan solat sunat rawatib merupakan sunnah Nabi saw yang mana Baginda tidak pernah meninggalkannya. Ini berdasarkan kenyataan dari Ibnu Umar r.a. Kata beliau :

صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْجُمُعَةِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ.

Maksudnya :” Aku solat bersama Rasulullah dua rakaat sebelum zohor, dua rakaat selepasnya, dua rakaat selepas jumaat, dua rakaat selepas maghrib dan dua rakaat selepas isyak.”

Riwayat al-Bukhari ( 1165)

Berkenaan persoalan yang dikemukakan, kami melihat tiada kesalahan dan larangan untuk melakukan solat sunat rawatib  sejurus selepas menunaikan solat zohor dan asar secara jamak. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi. Kata beliau :

“Ketika menjamakkan solat maghrib dan isyak, dia perlu menunaikan dua solat fardu (dahulu), kemudian (sudah selesai) baru solat sunat maghrib, kemudian solat sunat Isyak kemudian solat witir.

Aku (Imam al-Nawawi) menyatakan ini juga adalah pandangan Imam al-Rafi’i. Adapun jika menjamakkan solat zohor dan zsar, maka cara tersebut adalah syaz (ganjil) lagi lemah. Yang paling benar menurut para ulama yang muhaqqiq adalah melakukan solat sunat sebelum zohor dahulu, kemudian baru menjamakkan solat zohor dan asar kemudian tunaikan solat sunat ba’diah zohor kemudian baru solat sunat asar.”

Rujuk Raudhah al-Talibin ( 1/146)

Imam al-Nawawi juga menyatakan di dalam kitabnya Raudhah al-Talibin bahawa solat sunat ba’diah zohor dan qabliah asar hanya boleh dilakukan setelah selesai melakukan kedua-dua solat tersebut.

Pandangan ini juga disokong oleh tokoh di dalam mazhab Syafi’I iaitu Sheikh Zakariya al-Ansari. Kata beliau :

“Jika seseorang menjamakkan solat zohor dan asar secara jamak taqdim ataupun ta’khir, dia solat sunat qabliah zohor dahulu, kemudian baru menjamakkan dua solat fardu (iaitu zohor dan asar), kemudian solat sunat ba’diah zohor kemudian baru solat sunat asar.”

Rujuk Asna Matalib Fi Syarh Raud al-Talib (1/245)

Ringkasan apa yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan Sheikh Zakariyya al-Ansari adalah seperti berikut :

  1. Jika menjamakkan solat zohor dan asar sama ada jamak taqdim atau ta’khir, lakukan solat sunat qabliah dahulu kemudian baru menjamakkan solat zohor dan asar kemudian solat sunat ba’diah zohor kemudian baru tunaikan solat sunat asar.
  2. Jika menjamakkan solat maghrib dan isyak. Tunaikan solat maghrib dan isyak terlebih dahulu kemudian solat sunat maghrib. Kemudian solat sunat isyak dan baru diikuti dengan solat sunat witir.

Kesimpulannya, kami nyatakan bahawa tiada halangan dan dibenarkan untuk menunaikan solat sunat rawatib sejurus selepas menjamakkan solat zohor dan asar. Semoga Allah memberi kita hidayah dan kekuatan untuk sentiasa menunaikan solat sunat sebagai tambahan dan bekalan menuju hari akhirat.

Wallahua’alam