Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #765 : BENARKAH RASULULLAH S.A.W PERNAH TERLEPAS SOLAT SUBUH

Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti, adakah Rasulullah S.A.W pernah terlepas solat subuh disebabkan tidur. Pada masa itu, apakah yang baginda terus lakukan ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam isu ini, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa riwayat yang menjelaskan berkenaan hal tersebut. Di antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ قَفَلَ مِنْ غَزْوَةِ خَيْبَرَ سَارَ لَيْلَهُ حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْكَرَى عَرَّسَ وَقَالَ لِبِلاَلٍ ‏"‏ اكْلأْ لَنَا اللَّيْلَ ‏"‏ ‏.‏ فَصَلَّى بِلاَلٌ مَا قُدِّرَ لَهُ وَنَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَصْحَابُهُ فَلَمَّا تَقَارَبَ الْفَجْرُ اسْتَنَدَ بِلاَلٌ إِلَى رَاحِلَتِهِ مُوَاجِهَ الْفَجْرِ فَغَلَبَتْ بِلاَلاً عَيْنَاهُ وَهُوَ مُسْتَنِدٌ إِلَى رَاحِلَتِهِ فَلَمْ يَسْتَيْقِظْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلاَ بِلاَلٌ وَلاَ أَحَدٌ مِنْ أَصْحَابِهِ حَتَّى ضَرَبَتْهُمُ الشَّمْسُ فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَوَّلَهُمُ اسْتِيقَاظًا فَفَزِعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏"‏ أَىْ بِلاَلُ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ بِلاَلٌ أَخَذَ بِنَفْسِي الَّذِي أَخَذَ - بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ - بِنَفْسِكَ قَالَ ‏"‏ اقْتَادُوا ‏"‏ ‏.‏ فَاقْتَادُوا رَوَاحِلَهُمْ شَيْئًا ثُمَّ تَوَضَّأَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَمَرَ بِلاَلاً فَأَقَامَ الصَّلاَةَ فَصَلَّى بِهِمُ الصُّبْحَ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ قَالَ ‏"‏ مَنْ نَسِيَ الصَّلاَةَ فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا فَإِنَّ اللَّهَ قَالَ  أَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِي‏

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W ketika mana selesai pulang daripada peperangan Khaibar, baginda pun berjalan pada satu malam sehinggalah baginda berasa mengantuk lalu berkata kepada Bilal: ‘’Awasilah kami pada malam ini’’. Bilal pun kemudiannya menunaikan solat dengan kadar yang beliau mampu, dalam keadaan Rasulullah S.A.W dan para sahabat lainnya tidur. Apabila hampir waktu fajar, Bilal pun bersandar kepada haiwan tunggangannya sambil menghadap ke arah tempat terbitnya fajar. Lalu Bilal berasa mengantuk dalam keadaan sedang tersandar di haiwan tunggangannya. Rasulullah S.A.W tidak bangun, begitu juga Bilal, dan tidak ada seorang pun dari kalangan sahabat yang bangun sehinggalah pukulan matahari terpancar ke arah mereka. Rasuullah S.A.W adalah yang paling awal terjaga dari kalangan mereka lalu baginda berasa terkejut dan bekata: ‘’Wahai Bilal’’. Lalu Bilal pun berkata: Sesuatu mengatasi aku dan turut mengatasi dirimu wahai Rasulullah. Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda: ‘’Pimpinlah (haiwan tunggangan) lalu kesemua mereka pun membawa haiwan tunggangan mereka ke suatu tempat kemudian Rasulullah S.A.W berwudhu’ dan mengarahkan Bilal untuk iqamah dan baginda seterusnya mengimamkan solat subuh bersama mereka. Sesudah melaksanakan solat baginda bersabda: ‘’Sesiapa yang terlupa untuk solat, maka hendaklah dia menunaikan solat apabila dia mengingatinya. Kerana sesungguhnya Allah S.W.T berfirman: Dirikanlah solat untuk mengingati Aku’’.

Riwayat Muslim (680)

Berdasarkan hadis di atas, terdapat beberapa faedah dan hukum-hakam yang boleh dikeluarkan. Di antaranya adalah beberapa perkara yang kami senaraikan seperti berikut:

Pertama: Hadis di atas menunjukkan kepada tuntutan melakukan qadha solat yang tertinggal disebabkan tertidur atau terlupa. Juga dianjurkan untuk ia dilakukan dengan segera.

Oleh kerana itulah Imam al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau meletakkannya di bawah tajuk: ‘’Bab qadha’ solat yang terlepas dan tuntutan untuk menyegerakannya’’. Kemudian Imam al-Nawawi berkata di dalam syarahannya ke atas hadis ini: Kesimpulan mazhab adalah, seseorang itu apabila terlepas kewajipan solat fardhu ke atas dirinya, adalah wajib untuk dia mengqadha’nya. Dan sekiranya ia terlepas disebabkan ada keuzuran, maka digalakkan untuk dia menggantikannya dengan segera dan boleh untuk dilewatkan menurut pendapat yang paling sahih. Lihat Syarah al-Nawawi ‘ala al-Minhaj (5/181).

Hal ini adalah jelas berdasarkan perbuatan Nabi S.A.W yang segera mengambil wudhu’ dan memberikan arahan kepada Bilal bin Rabah untuk melaungkan iqamah dan terus mengimamkan solat subuh kepada para sahabat tanpa berlengah-lengah dalam perlaksanaannya.

Kedua: Riwayat ini juga menunjukkan sifat basyariah (kemanusiaan) yang ada pada diri Rasulullah S.A.W seperti keletihan anggota badan, terlupa, dan tertidur sehingga terlepas waktu solat.

Keadaan seperti ini berlaku pastilah berdasarkan hikmah Allah S.W.T yang tersendiri kepada para makhluknya. Perkara ini dapat kita lihat berdasarkan sabda baginda S.A.W sebaik sahaja selesai dari melakukan qadha’ solat tersebut dengan sabdanya:

مَنْ نَسِيَ الصَّلاَةَ فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا

Maksudnya: Sesiapa yang terlupa solat (terlepas solat disebabkan terlupa) maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia mengingatnya semula.

 

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W penah terlepas solat subuh disebabkan tidur. Seterusnya baginda segera melaksanakan qadha solat tersebut sebaik sahaja terjaga daripada tidur sekalipun matahari telah meninggi.

Namun, perlu juga dijelaskan bahawa keletihan Rasulullah S.A.W itu bukanlah disengajakan. Akan tetapi ia mengambil kira situasi baginda yang baru pulang dari peperangan, diteruskan dengan permusafiran, kemudian baginda tertidur. Ini tidak sama dengan situasi kita pada hari ini yang sengaja tidur lewat, kemudian tidak menjalankan konsep arahan Nabi kepada Bilal untuk berjaga malam agar boleh mengejutkan baginda dan para sahabat untuk menunaikan solat, iaitu dengan cara berpesan kepada orang lain supaya mengejutkan kita untuk solat ataupun dengan cara memasang penggera (alarm) pada telefon bimbit atau jam loceng.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.