Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #787: SERTU PERALATAN PERUBATAN YANG TERKENA NAJIS MUGHALLAZAH

 

Soalan

Saya pelajar master kepakaran pembedahan tulang (orthopaedic) tahun akhir. Saya perlu untuk membuat satu case study tentang permasalahan yang berkaitan hukum Islam dan pembedahan.

Satu praktis yang dijalankan di hospital tempat saya bekerja di mana apabila ada suatu kes di mana seorang pesakit itu digigit oleh anjing atau babi liar (najis mughallazah). Pesakit akan dimasukkan ke dalam dewan bedah untuk pembedahan cuci luka dan membuang tisu-tisu yang telah mati dan kotor.

Selepas selesai pembedahan, para staff dewan bedah akan membasuh alat-alat pembedahan tersebut dengan air dan disertu alat-alat tersebut. Selepas itu barulah alat-alat itu melalui proses autoclave (nyahkuman) untuk kegunaan pesakit lain.

Adakah perlu untuk menyertu alat-alatan berkenaan dengan tanah? Untuk SOP biasa, alat-alatan yang telah digunakan akan dibasuh dan dibersihkan dengan air. Kemudian dimasukkan ke dalam autoclave untuk nyah kuman.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan jawapan ini dengan definisi sertu iaitu: Menyertu bermaksud menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, menyamak. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Pensyariatan sertu sabit melalui hadith Baginda SAW:

طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.

Riwayat Muslim (279)

Justeru berdasarkan soalan saudara, kalau ia telah mengambil sifat kesertuan, maka hukumnya adalah suci dan bersih selepas disertu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006 telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

“Sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.”

Saya mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan menangani isu seperti ini dengan dilaksanakan satu proses atau SOP yang menepati pembersihan mengikut syarak. Hal ini bertujuan supaya tidak lagi timbul perasaan was-was atau ragu-ragu terutamanya yang membabitkan isu Najis Mughallazah. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bersedia untuk memberi pandangan dan contoh pelaksanaan sertu terhadap alat-alat yang digunakan dengan jelas.

Wallahua’lam.