Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #796 : TAFSIRAN PERKATAAN ‘MAZID’ DALAM AYAT 35 SURAH QAAF

Soalan

Bolehkah jelaskan berkenaan tafsiran perkataan ‘mazid’ atau tambahan dalam ayat 35 Surah Qaaf ?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ

Maksudnya: Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).

(Surah Qaaf: 35)

Ayat ini bermaksud apa yang mereka pilih akan mereka dapati daripada sebarang bentuk kelazatan yang mereka inginkan akan diberi kepada mereka. Berkata Kathir bin Marrah: “Daripada tambahan nikmat Allah ialah, awan akan melalui penghuni syurga sambil berkata: Apakah yang kamu mahu supaya aku turunkan kepada kamu hujan? Maka tidaklah mereka meminta dengan sesuatu kecuali aku akan turunkan mereka hujan.

Dalam hadis yang lain, sepertimana diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

إِنَّكَ لَتَنْظُرُ إِلَى الطَّيْرِ فِي الْجَنَّةِ فَتَشْتَهِيهِ فَيَجِيءُ مَشْوِيًّا بَيْنَ يَدَيْكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu inginkan burung dalam syurga, maka ia datang terhidang kepada kamu dalam keadaan dipanggang.”

Riwayat al-Bazzar (2032) dalam Musnad-nya

Tafsir ayat ini jelas menunjukkan bahawa bagi penghuni syurga, setiap apa yang mereka inginkan pasti dapat dan bagi kami dengan tambahan nikmat kurniaan dan kemuliaan iaitu dapat melihat wajah Allah SWT. Perkataan al-mazid seperti yang diriwayatkan Anas dan Jabir bin Abdillah bahawa Allah tajalli untuk mereka sehingga mereka dapat melihat-Nya, yang demikian itu ialah setiap hari Jumaat. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 26/190. Lihat juga Sofwah al-Tafasir, 3/1387)

Dalam al-Mausu’ah al-Quraniyyah, mereka menafsirkan ayat ini dengan golongan yang bertaqwa, yang bercita-cita dan kehendak mereka daripada  pelbagai bentuk nikmat bahkan Allah tambah lagi pelbagai bentuk nikmat yang tidak pernah terlintas pada fikiran mereka.

Semoga kita semua menjadi ahli Syurga. Ameen.