AL-KAFI #806 : ADAKAH ANAK ZINA MENJADI MAHRAM APABILA DISUSUKAN ISTERI?

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Ada rakan saya memberitahu bahawa anak zina berstatus perempuan ajnabi dengan ayah kandungnya. Justeru, mereka boleh berkahwin. Persoalan saya; bukankah aurat anak angkat yang telah disusukan oleh seorang wanitanya, dan cukup syarat-syarat, maka suami kepada wanita itu juga dianggap sebagai sebagai mahram yakni ayah susuan? Justeru, sepatutnya dalam kes anak zina, di mana ibu kandungnya telah berkahwin dengan ayah biologinya, dan telah disusukan, ayah biologi itu dan saudara-saudara lelakinya yang lahir daripada perkahwinan antara ibu dan ayah biologinya, juga menjadi mahram. Betulkah kefahaman saya ini?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Kami telah menghuraikan dengan panjang lebar isu penasaban anak tidak taraf kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya, atau bapa biologinya dalam BAYAN LINNAS SIRI KE-106 : ISU PENAMAAN “BIN/BINTI ABDULLAH” KEPADA ANAK TIDAK SAH TARAF OLEH MAHKAMAH RAYUAN. Berdasarkan mazhab Imam al-Syafie, anak zina tidak sabit nasab kepada bapa biologinya sehingga ia harus berkahwin dengan bapa biologinya walaupun hukumnya makruh. Mazhab lain seperti mazhab Abu Hanifah, mengharamkan perkahwinan antara anak zina dan bapa biologinya sekalipun tidak menasabkan anak perempuan itu kepada bapa biologinya. Rujuk al-Mu`amad fi al-Fiqh al-Syafie (4/29) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili; al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (16/222).    

Perlu diketahui bahawa keharusan berkahwin dengan bapa biologi itu hanya berlaku disebabkan ketidaksabitan nasab. Namun demikian, jika terdapat sebab pengharaman nikah daripada sudut penyusuan atau musaharah (persemendaan) maka di sana terdapat pengecualian seperti berikut:

Justeru, hukum asal antara anak zina dengan ayah biologinya adalah ajnabi tetapi faktor penyusuan dan persemendaan boleh mengharamkan perkahwinan antara mereka berdua. Manakala anak-anak lelaki lain yang lahir daripada perkahwinan tersebut juga adalah mahram dengan anak zina itu disebabkan oleh nasab (saudara seibu). Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua.