Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #821 : BERHUTANG UNTUK MEMBELI BARANG BUKAN KEPERLUAN

Soalan :

Assalamualaikum. Bolehkan kita berhutang untuk membeli sesuatu yang tidak penting dan tidak berkeperluan?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Hukum berhutang pada asalnya adalah harus. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَٱكْتُبُوهُ ۚ

Maksudnya :” Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya).”

(Surah al-Baqarah : 282)

Kata Said Bin Musayyab yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi :

“ Telah sampai kepadaku bahawa yang paling panjang diceritakan oleh al-Quran ialah ayat tentang hutang.”

                      Rujuk Tafsir al-Qurtubi (3/376)

Bahkan Nabi saw menggalakkan untuk memberikan hutang kepada yang memerlukan dengan menyebut kelebihan tertentu. Nabi saw bersabda :

مَنْ أَقْرَضَ لله مَرَّتَيْنِ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ أَحَدِهِمَا لَوْ تَصَدَّقَ بِهِ

Maksudnya :” Sesiapa yang memberi hutang kerana Allah sebanyak dua kali, baginya pahala salah satu darinya jika dia menghalalkan hutang tersebut.”

Riwayat Ibnu Hibban (5040)

Allah swt juga menjanjikan pelepasan dari kesusahan di akhirat bagi orang yang menyelesaikan masalah saudaranya yang ditimpa kesusahan di dunia. Sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

مَنْ نَفَّسَ عَنْ أَخِيهِ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya :” Sesiapa yang meyelesaikan kesusahan saudaranya di dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat kelak.”

Riwayat al-Tirmizi (2945)

Berbalik pada persoalan yang dilontarkan, orang yang ingin berhutang mestilah ada hajat dan keperluan yang mendesak. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas RA :

و المستقرض لا يستقرض إلا من حاجة

Maksudnya :” Orang yang ingin berhutang tidak akan berhutang melainkan dia mempunyai hajat (yang mendesak).”

Riwayat al-Baihaqi (3566) di dalam Syu’ab al-Iman

Dapat kita fahami, bahawa berhutang adalah kerana ada keperluan dan hajat bukannya untuk bermewah. Ini kerana maksud keperluan yang dijelaskan oleh para ulama adalah keperluan yang mendesak. Seperti ingin memiliki kereta yang mana ia merupakan satu keperluan pada zaman ini. Adapun berhutang kerana ingin memiliki kereta mewah atau ingin memperoleh telefon canggih yang sebenarnya tidak perlu pun, Inilah yang dilarang oleh para Ulama.

Kata pengarang al-Taqrirat al-Sadidah :

“Hukum berhutang kadang boleh jadi haram, boleh jadi wajib dan boleh jadi harus. Adapun haram berhutang bagi mereka yang tiada keperluan(yang mendesak) dan dia tidak boleh membayarnya dengan segera atau tidak boleh membayar pada waktu yang ditentukan.”

Rujuk Al-Taqrirat al-Sadidah qism Muamalat (m/s 45)

Bahkan Imam al-Ramli berpandangan bahawa jika orang yang memberi hutang tahu bahawa hutang yang diberikan akan disalahguna maka tidak dibenarkan untuk memberi hutang kepada individu tersebut.

Rujuk Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj (4/221)

Kesimpulannya, jika tiada keperluan yang mendesak, kami nasihatkan agar janganlah berhutang. Jangan kerana ingin memenuhi hawa nafsu, kita sanggup berhutang beribu-ribu yang akhirnya menyusahkan diri. Kami juga menasihatkan agar adanya satu kesedaran berkaitan pengurusan kewangan agar kita tahu mana satu keperluan mendesak dan mana yang bukan.Kami khatamkan jawapan kami  ini dengan nasihat Uqbah Bin Amir Ra kepada keluarganya tatkala beliau hampir wafat katanya :

“Janganlah kamu lakukan 3 perkara ini. Jangan kamu hafaz al-Quran bersama nasyid, jangan kamu ambil hadis kecuali daripada orang yang thiqah dan jangan kamu berhutang sekalipun kamu terpaksa memakai kain bulu.”

Ini menunjukkan perlunya kita menjarakkan daripada berhutang dengan sengaja atau sewenang-wenangnya. Semoga Allah menjadikan kita tenang dan bahagia serta selamat daripada hutang. Amin.