Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #824 : BUAT SESUATU BUKAN NIAT MENUNJUK. ADAKAH ITU RIYA'?

Soalan :

Saya sering dengar kata-kata “ seeloknya kita sembunyikan ibadat kita.” Sedangkan kalau kita buat sesuatu bukan niat untuk menunjuk, kemungkinan akan jadi ikutan pada sesetengah orang. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan riya’ ini?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perlu kita fahami apa yang dimaksudkan dengan riya’. Ini supaya tidak tersalah faham tentang makna riya’ yang sebenar.

Jika kita amati,  Allah ada menjelaskan berkaitan sifat riya dalam beberapa ayat di dalam al-Quran  :

ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ ﴿٥﴾ ٱلَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ

Maksudnya :” (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).”

(Surah al-Ma’un :5-6)

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa riya’ ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama.

Rujuk Mafatih al-Ghaib ( 32/301)

Firman Allah di dalam ayat yang lain :

فَمَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَـٰلِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًۢا

Maksudnya :” Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

(Surah al-Kahfi : 110)

Dalam sebuah hadis Qudsi. Allah berfirman :

أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ مَنْ عَمِلَ عَمَلاً أَشْرَكَ فِيهِ مَعِى غَيْرِى تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ

Maksudnya :” Aku bebas dari segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikan-Ku dengan yang lain. Maka aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu.”

Riwayat Muslim (7666)

Al-Qadhi Iyadh menyebut :

“ Hadis ini membawa makna (seakan-akan Allah menyebut) Aku menolak amalannya. Sifat riya’ itu adalah dalil kebodohan, pandangan yang teruk dan juga tanda buruknya amalan.”

Rujuk Faid al-Qadir (4/483)

Dalam hadis yang lain, Nabi saw pernah menjelaskan tentang makna riya’. Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Mahmud Bin Labid ;

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

Maksudnya :”  Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kcil wahai Rasulullah. Nabi saw berabda : Itulah Riya’. Allah swt akan befirman pada hari kiamat kelak : pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).”

Riwayat Ahmad ( 23630) di dalam Musnadnya

Kesemua ayat al-Quran dan hadis yang telah kami sebutkan merupakan penjelasam berkenaan apa itu riya. Sheikh Farid al-Ansari membahagikan riya’ kepada beberapa bahagian. Iaitu riya’ pada agama,tubuh badan, percakapan, percakapan dan lain-lain.

  • Contoh Riya’ pada agama dan badan ialah menzahirkan kekurusan dan ketidak kemasan supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat
  • Riya’ pada percakapan ialah memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang islam ataupun berzikir kuat-kuat di hadapan orang ramai.
  • Riya’ pada amalan seperti contoh menzahirkan qiyam dan ruku’ yang panjang ketika bersolat di hadapan orang ramai.

Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata :” Hei kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah.”

Kami tegaskan disini seperti berikut :

  • Jika ibadat suruhan yang mesti dilakukan maka hendaklah dilakukan juga sekalipun datang riya’ tetapi hendaklah mujahadah untuk hilangkan riya’ seperti pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jemaah.
  • Jika sekiranya ibadat tersebut ada pilihan maka lebih baik dilakukan secara sembunyi kalau riya’ boleh datang dalam dirinya seperti sedekah. Maka aula baginya sedekah secara sembunyi tanpa terang-terangan.
  • Jika sekiranya menunjuk itu dengan niat sebagai menggalakkan seseorang untuk mengikuti sebagai satu sunnah yang baik maka dibolehkan. Ini yang disabdakan oleh Rasulullah SAW daripada Jarir :

 

مَنْ سَنَّ سُنَّةَ خَيْرٍ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا فَلَهُ أَجْرُهُ وَمِثْلُ أُجُورِ مَنِ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ سَنَّ سُنَّةَ شَرٍّ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهُ وَمِثْلُ أَوْزَارِ مَنِ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا

 

Maksudnya :” Sesiapa yang buat satu ikutan yang baik lalu diikuti maka baginya pahala dan pahala yang serupa bagi sesiapa yang mengikutinya tanpa ada pengurangan sikit pun pahala mereka. Dan barangsiapa yang buat satu ikutan yang jahat lalu diikuti, maka baginya dosa dan dosa yang serupa bagi yang mengikutinya tanpa ada pengurangan sedikit pun.”

Riwayat al-Tirmizi (2890). Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sohih.

Semoga Allah menjauhkan kita dari sifat riya’ dan berdoa agar amalan kita terpelihara dari sebarang kekotoran.