Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #839 : KELUAR DARAH SETITIK DUA BERSAMA KEPUTIHAN

af839 compressed

Soalan:

Saya ada soalan berkaitan haid ibu yang sedang menyusukan anak. Tujuh bulan selepas bersalin saya barulah saya didatangi sebanyak tiga kali, kali terakhir adalah pada bulan Ogos, dan tidak didatangi haid sehingga sekarang. Namun timbul masalah beberapa hari lalu apabila keluar darah setitik dua bersama dengan cairan keputihan daripada kemaluan saya  Ia bukan selalu ada, kadang-kadang keluar maghrib, isyak tiada, subuh tiada, zohor ada, asar tiada, maghrib ada, selepas itu tiada, sampailah asar esoknya baru ada. Buat masa ini belum keluar darah haid seperti kebiasaannya, semuanya yang setitik dua pada keputihan adakah ini dikira haid atau istihadah?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perlu difahamai bahawa tempoh sekurang-kurang keluarnya haid ialah sehari semalam, bersamaan 24 jam (Rujuk Asna al-Matolib, 1/99). Jika darah itu keluar kurang daripada tempoh tersebut maka darah itu dianggap sebagai darah fasad (darah rosak/penyakit atau disebut juga istihadah). Cara keluar ini boleh berlaku sama ada dengan muttasil (bersambung) atau terputus-putus (mutaqatti`/mutafarriq) selama mana ia keluar dalam tempoh 15 hari, yakni tempoh sepanjang-panjang keluar haid, dan keluarnya itu adalah dalam waktu kebiasaan haid (bukan waktu suci). 

Keluarnya darah haid secara terputus-putus itu berlaku dengan cara darah itu keluar beberapa jam kemudian berhenti dan datang semula, dan mungkin ada hari yang langsung tidak keluar darah. Di dalam tempoh 15 hari, perlu dikira waktu tempoh keluarnya darah haidh, sekiranya kiraan tempoh lebih dari 24 jam maka barulah dikira sebagai haid, sekalipun penentuan itu berlaku pada hari ke-15. Namun, jika jumlah tempoh keluar darah itu kurang daripada sehari semalam, atau kurang 24 jam, maka itu adalah darah penyakit. (Rujuk Tuhfah al-A`izza’, hlm. 101).

Berdasarkan fakta dalam soalan di atas, darah yang keluar setitik dua dengan keputihan, serta tidak cukup jumlahnya keluarnya sehari semalam dan mungkin hanya beberapa minit, bukanlah darah haid, bahkan adalah darah fasad.

Hukum ini berlaku hanya sekiranya perempuan terbabit sudah memeriksa farajnya daripada darah menggunakan kapas dan seumpamanya, yang dimasukkan dalam keadaan mencangkung sewaktu istinjak, lalu didapati tiada kesan darah. Sekiranya ada kesan darah, maka perempuan terbabit masih dikira dalam fatrah (tempoh) keluar darah sekalipun tidak keluar di permukaan.

Perlu untuk diingatkan bahawa apabila keluar darah maka hendaklah perempuan itu berhenti melakukan perkara yang diharamkan sewaktu haid seperti solat dan lain-lain. Cuma apabila sudah pasti bahawa darah itu bukanlah darah haid, maka hendaklah dia mengqadhakan kembali solatnya. Namun jika darah itu terlalu sedikit, seperti kes di atas, maka cukuplah dia izalah (basuh najis darah itu), berwudhuk (kerana keluar sesuatu membatalkan wudhu’) dan wajiblah dia menunaikan solat.

Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman yang sebaiknya.

Wallahua’lam.