Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #846 : ZAKAT WANG SIMPANAN KWSP

 

AF846 compressed

 

 

Soalan

Saya ingin bertanya adakah sama peratus (2.5%) jika ingin membayar zakat duit simpanan EPF.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Saya mulakan dengan takrif zakat.

Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشيء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).

         (Surah al-Syams: 9)

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.

Pengertian zakat menurut istilah syara’ ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan.Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan zakat. Ini adalah kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang ada dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/629-630)

Zakat wang simpanan merupakan zakat yang dikeluarkan oleh pendeposit daripada simpanan yang telah cukup haul (genap setahun) dan cukup nisabnya sama ada di dalam akaun simpanan biasa, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, amanah saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) serta lain-lain yang dikategorikan  dalam bentuk simpanan.

Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ أَوَاقٍ مِنَ الْوَرِقِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat perak jika jumlahnya kurang daripada lima Uqiyah (40 dirham).”

Riwayat al-Bukhari (1413) dan Muslim (980)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata: Tidak dikenakan zakat pada emas sehingga jumlahnya 20 mithqal, manakala perak pula 200 Dirham. Ini berdasarkan hadith daripada Ali bin Abu Talib RA, Rasulullah SAW bersabda Rasulullah SAW juga bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Apabila kamu memiliki 200 dirham, dan telah cukup setahun zakatnya sebanyak 5 dirham. Kamu tidak wajib berzakat emas sehinggalah memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar, dan telah cukup setahun, maka zakatnya 1/2 dinar. Jika kamu memilikinya lebih daripada itu, maka ikutilah cara pengiraan tersebut.”

Riwayat Abu Daud (1573)

Berdasarkan hadis kadar zakat emas dan perak jika dikira ialah sebanyak 2.5%.

Kesimpulannya, zakat simpanan dikira sebanyak 2.5% seperti mana zakat emas dan perak dan diambil kira baki terendah dalam simpanan seseorang yang telah cukup syarat-syaratnya. Manakala untuk pembayaran zakat wang simpanan KWSP, kami bersetuju dengan keputusan mesyuarakat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 dan kali ke-74 yang menyatakan pandangan hukum seperti berikut:

  1. Wang simpanan KWSP wajib dikeluarkan bagi pekerja-pekerja Islam sebagai zakat bila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya.
  2. Pencarum KSWP digalakkan mengeluarkan zakat sejurut menerima wang wang KWSP jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.

Dimohon juga agar saudara merujuk kepada pusat zakat yang berdekatan iaitu badan yang beroutoriti dalam perkara ini.

Semoga kita menjadi golongan yang membayar zakat.