Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #865: BOLEHKAH WANITA BERTASBIH UNTUK MENEGUR IMAM

TASBIH WANITA.png

 

Soalan

Assalamualaikum wbt, sebagai seorang wanita, apakah saya juga bertasbih seperti orang lelaki ketika imam melakukan kesalahan dalam solat?

 

Jawapan

Waalaikumsalam wbt. Alhamdulillah segala Puji bagi Allah, selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan keatas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Dalam menjawab persoalan ini, ulama Mazhab Syafie berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ التَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ ‏‏

Maksudnya: “Bertasbih untuk lelaki, dan bertepuk untuk wanita”

Riwayat al-Bukhari (1203)

Berdasarkan hadith ini ulama’ berpendapat:

  • Imam Nawawi menyebut, bahawa di sisi Mazhab al-Syafie, bertasbih untuk orang lelaki dan bertepuk bagi orang perempuan. (Rujuk al-Majmu’, 4/13)
  • Imam Mawardi juga berpendapat bahawa bertepuk adalah cara wanita menegur imam, kerana suara wanita adalah aurat, bimbang menjadi fitnah keatas orang yang mendengar. Dan beliau menyebut bahawa bertepuk lebih tepat berbanding tasbih keatas wanita berdasarkan hadis di atas. (Rujuk al-Hawi al-Kabir, 2/162)
  • Manakala pendapat Mazhab Imam Malik mengatakan bahawa lelaki dan perempuan bertasbih di dalam solat, dan melarang wanita bertepuk di dalam solat. (Rujuk Fath al-Qadir, 1/356)

 

Maka berdasarkan perbincangan ulama di atas, jelas menurut pendapat Mazhab Syafie, bahawa menegur imam dengan cara bertasbih hanya untuk lelaki manakala perempuan dengan cara bertepuk.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan syariat-Nya. Amin.