Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #890 : IMAM TAKBIR 5 KALI DALAM SOLAT JENAZAH

af890 33913627 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Imam sedang solat jenazah lalu dia bertakbir untuk kali kelima. Apa hukumnya ustaz?

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Jumlah takbir di dalam solat jenazah adalah sebanyak 4 kali takbir. Ini berdasarkan perbuatan Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

نَعَى لِلنَّاسِ النَّجَاشِىَ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ فَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى وَكَبَّرَ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ

Maksudnya :” Rasulullah menangisi Najasyi di hadapan orang ramai pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar ke tempat solat dan bertakbir sebanyak 4 takbir.”

Riwayat Muslim (2247)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau mengatakan :

“Di dalam hadis ini terdapat dalil yang mana jumlah takbir solat jenazah adalah empat kali takbir. Ini adalah mazhab kami dan mazhab jumhur.”

Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (7/23)

Ia menjadi dalil bahawa takbir di dalam solat jenazah itu berjumlah empat kali.Ini merupakan pandangan jumhur fuqaha. Imam al-Nawawi menyatakan hal ini ketika mengulas berkenaan rukun solat jenazah di dalam kitabnya Minhaj al-Talibin.

Rujuk Minhaj al-Talibin (1/332)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan kata-kata Umar yang direkodkan oleh Imam al-Baihaqi daripada Said bin Musayyab. Kata Saidina Umar r.a :

“Jumlah takbir pernah dibuat empat, lima dan 6 kali. Lalu kami putuskan untuk dibuat 4 sahaja.”

Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (2/301)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan,seorang imam jika dia bertakbir sebanyak 5 kali di dalam solat jenazah, maka solatnya tetap sah dan tidak memudaratkan solat yang sedang dilakukan. Ini telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam Minhaj al-Talibin. Kata beliau :

Jika seseorang melakukan takbir sebanyak 5 kali maka ianya tidak membatalkan solat menurut qaul al-asah. Jika Imam bertakbir sebanyak 5 kali maka tidak boleh diikut menggikut qaul al-asah. Bahkan sama ada dia boleh memberi salam atau menunggu untuk salam bersama imam.”

Rujuk Minhaj al-Talibin (1/333)

Ibnu Qasim al-Ghazzi menyatakan :

“Jika dia bertakbir kali ke lima (di dalam solat jenazah) maka solatnya. Akan tetapi jika imam yang buat,tidak boleh diikuti. Sama ada makmum memberi salam (mufaraqah) ataupun tunggu untuk salam bersama-sama dengan imam. Itu adalah lebih baik.”

Rujuk Fath al-Qarib al-Mujib Fi Syarh alfaz al-Taqrib (hlm 114)

Imam al-Baijuri menyatakan :

“Kata musonnif (Ibnu Qasim) tidak diikuti imam yang bertakbir 5 kali iaitu tidak disunatkan ikut tambahan takbir yang dilakukan oleh imam. Jika dia tetap ikut, maka tidaklah membatalkan solatnya seperti mana yang difatwakan oleh Imam al-Ramli. Kata beliau : dia boleh bagi salam selepas niat mufaraqah ataupun tunggu sebentar sehingga dia boleh salam bersama imam. Inilah yang lebih baik.”

Rujuk Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja (1/480)

Imam al-Nawawi menyatakan sekali lagi di dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa jika dia terlebih dari empat kali takbir tidak perlu untuk sujud sahwi. Beliau mengatakan lagi,ini berbeza dengan solat biasa yang mana wajib diikuti setiap perbuatan imam. Tidak lazim untuk dia ikut zikir-zikir yang tidak dikira untuk makmum

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (5/188)

Kesimpulannya, jika imam bertakbir 5 kali ketika solat jenazah maka tidaklah membatalkan solat. Dan menjadi pilihan bagi makmum untuk ikut ataupun tidak. Jika dia mahu mengikut imam, maka selepas itu bacalah doa untuk si mati walauupun sudah dibaca pada takbir sebelumnya, Sebaliknya jika dia tidak mahu mengikut imam,dia diberi pilihan kepadanya untuk mufaraqah dengan memberi salam ataupun tunggu sebentar untuk memberi salam bersama imam.

Semoga Allah memberi kita kefahaman di dalam agama. Wallahu’alam.