Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL KAFI #913 : DANA DARI "BUSKING" UNTUK PEMBINAAN PUSAT TAHFIZ

AK913.png

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Pihak kami ada mengusahakan sebuah Pusat Tahfiz (swasta) yang mengambil dana dari masyarakat awam. Kaedah kutipan dana tersebut melalui aktiviti “busking” yang akan menyanyi di jalan-jalan. Hasil daripada kutipan tersebut akan dibahagikan kepada tiga iaitu 60 peratus kepada kumpulan “busking”, 30 peratus kepada pusat tahfiz dan 10 peratus kepada pengetua pusat tahfiz. Persoalan saya ialah adakah dibolehkan kaedah kutipan serta pembahagian seperti ini dilakukan? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Berdasarkan kepada isu di atas, amalan menderma adalah satu amalan yang mulia di sisi agama. Allah SWT menyuruh hambanya untuk saling tolong-menolong ke arah kebaikan. Ini jelas dalam firman Allah SWT berikut:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya: “Maka berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan”

(Surah al-Baqarah: 148)

Menjawab kepada persoalan di atas “busking” adalah satu persembahan atau pertunjukan nyanyian jalanan yang dijalankan oleh kumpulan busker. Hukum “busking” ini adalah termasuk dalam hukum muzik. Menurut Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Islam membolehkan nyanyian selama mana ianya tiada unsur maksiat, kata-kata yang kotor, lirik yang lucah dan menghasut kepada penyelewengan akidah. Tidak mengapa jika ianya diiringi dengan alat-alat muzik yang tidak membangkitkan syahwat.”(Rujuk Halal dan Haram dalam Islam, hlm. 564-566)

Demikian juga keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-2 yang bersidang pada 12-13 Mei 1981 menyatakan seperti berikut:

  1. Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
  2. Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
  3. Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;
  4. Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
  5. Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Cadangan Dan Nasihat

Kami turut nyatakan di sini beberapa cadangan dan nasihat untuk dipertimbangkan bagi menambahbaik pembahagian dana yang sedia ada:

Pertama: Hasil kutipan dana yang terkumpul perlu dibahagikan dengan melebihkan bahagian yang diterima oleh pelajar-pelajar tahfiz berbanding yang lain. Hal ini kerana, tujuan derma tersebut dihulurkan adalah untuk pembinaan pusat tahfiz sahaja. Justeru, matlamat orang ramai menyumbang perlu dilaksanakan. Sebagai contoh, 60 peratus kepada pusat tahfiz termasuklah kos pengurusan yang berkaitan dan 40 peratus kepada kumpulan “busking”.

Kedua: Sekiranya mahu melaksanakan pembahagian secara yang telah dinyatakan, maka tujuan kutipan derma tersebut perlu diumumkan sahaja. Ini bermakna, tidak perlu menyatakan bahawa kutipan derma tersebut adalah kepada pusat tahfiz semata-mata. Ini bagi mengelakkan orang ramai tidak tenang hatinya apabila mendapat tahu sumbangannya tidak disalurkan kepada yang patut.

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa hukum mengutip derma dengan aktiviti “busking” adalah diharuskan selagimana aktiviti tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Ini masih kekal dengan matlamat asal kutipan dibuat iaitu bagi mengumpulkan dana pembinaan pusat tahfiz. Ini berdasarkan kaedah:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: “Setiap perkara itu terikat dengan tujuannya”

Sehubungan dengan itu, kami syorkan kepada pihak yang membuat kutipan derma untuk menilai kembali peratusan pembahagian yang telah dilakukan selari dengan tujuan utama kutipan derma dibuat.

Semoga dengan penerangan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam melayari kehidupan dengan syariat Islam yang sebenar. Amin.