Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ak917

Apakah hukum berimamkan anak luar nikah

Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Melihat kepada persoalan di atas anak luar nikah ini bukanlah seorang yang berdosa. Tidak seharusnya kita menghukum anak hasil zina di atas kesalahan yang dilakukan oleh dua pasangan berzina sepertimana firman Allah S.W.T:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَى حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى إِنَّمَا تُنذِرُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُم بِالغَيْبِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَمَن تَزَكَّى فَإِنَّمَا يَتَزَكَّى لِنَفْسِهِ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

Maksudnya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.

(Surah Al-Faathir: 18)

Begitu juga Sabda Nabi S.A.W menceritakan setiap yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi.

(Hadis riwayat Bukhari 1385)

Berkenaan dengan kriteria menjadi imam, ia berdasarkan hadis Nabi S.A.W:

عن أبي مسعود عقبة بن عمرو البدري الأنصاري رضي الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ‏:‏يؤم القوم أقرؤهم لكتاب الله، فإن كانوا في القراءة سواء، فأعلمهم بالسنة، فإن كانوا في السنة سواء، فأقدمهم هجرة، فإن كانوا في الهجرة سواء، فأقدمهم سنًا

Maksudnya: Daripada Abi Masud Uqbah bin Amru Al-Badri Al-Ansari ‏Radiallahuanhu berkata: Sabda rasullullah S.A.W: Yang berhak menjadi imam sesuatu kaum ialah yang paling pandai membaca kitab Allah (Al-Quran). Sekiranya bacaan mereka sama, maka lihat kepada yang lebih mengetahui tentang Sunnah. Dan sekiranya (pengetahuan) Sunnah mereka sama, maka lebihkanlah kepada mereka yang lebih dahulu berhijrah, sekiranya sama pada hijrahnya, maka dahuluilah mereka yang berumur.

(Hadis Riwayat Muslim 348)

Hadis di atas dengan jelas menerangkan kriteria umum untuk mengimami solat jamaah yang disebutkan oleh Nabi S.A.W. Ia sebagaimana yang dihuraikan di dalam kitab-kitab Fiqh antara syarat-syarat untuk menjadi imam adalah: Islam; baligh; berakal; baik bacaannya; tidak mempunyai penyakit kencing tidak lawas dan bersih dari hadas. Ini merupakan keutamaan dalam syarat pemilihan imam.

Berikut merupakan susunan orang yang layak menjadi imam ketika ketiadaan imam khusus yang dilantik masjid menurut Ibn Naqib al-masri di dalam kitabnya:

  • 1) Yang paling faqih (iaitu yang paling mengetahui dan memahami) hukum-hakam syariah Islam, terutamanya perkara yang berkaitan solat seperti sah dan batalnya solat dan lain-lain.
  • 2) Yang paling baik bacaan al-Quran
  • 3) Yang paling warak (iaitu mereka yang menjauhi syubhah)
  • 4) Yang paling awal berhijrah ke kerajaan islam madinah dan anak cucunya
  • 5) Yang paling awal memeluk islam
  • 6) Yang mulia nasabnya atau keturunan mengikut turutan bermula daripada bani hashim, bani muthalib, kemudian diikuti quraish, kemudian bangsa arab, diutamakan anak orang yang soleh dan alim daripada yang disebutkan dari nasab
  • 7) Yang paling baik keperibadian
  • 8) Yang paling bersih tubuh badan dan pakaian
  • 9) Yang paling lunak suara
  • 10) Yang paling baik penampilan

(Umdah al-Salik: 128)

(rujuk: http://bit.ly/SiapaYangLebihLayakMenjadiImam)

Dalam hal berimamkan anak luar nikah ulama berbeza pendapat seperti yang dinukilkan Imam An-Nawawi:

قَالَ الْجُمْهُورُ لَا بَأْسَ بِهِ مِمَّنْ قَالَ بِهِ عَائِشَةُ أَمُّ المؤمنين وعطاء الحسن وَالزُّهْرِيُّ وَالنَّخَعِيُّ وَعَمْرُو بْنُ دِينَارٍ وَسُلَيْمَانُ بْنُ موسى والثوري والاوزاعي واحمد واسحق وداود وابن المنذر

Bermaksud: Jumhur ulama berpendapat tidak mengapa berimamkan anak luar nikah. Daripada yang berpendapat sedemikian adalah Saiditina Aisyah Radiallahuanha, Imam Ata’ Al-Hasan,Imam Zuhri, Nakhai’,Amru bin Dinar ,Sulaiman bin Musa, Iman Assauri ,Auzai’, Imam Ahmad, Imam Daud, dan Ibnu Manzur.

(Majmuk Syarah Muhazzab 4/290)

Namun begitu, ada yang memakruhkannya seperti yang dinukilkan Imam Khathib al-Syarbini:

أَنَّ إمَامَةَ وَلَدِ الزِّنَا وَمَنْ لَا يُعْرَفُ أَبُوهُ مَكْرُوهَةٌ

Bermaksud: Sesungguhnya berimamkan anak zina yang tidak mengenali bapanya adalah makruh

(Mugni Muhtaj 1/487)

Pendapat ini mungkin kerana anak hasil zina itu kebiasaannya tidak dididik dalam keadaan yang baik. Namun demikian jika anak tersebut dididik dengan didikan agama yang baik sehingga menjadi seorang hafiz Al-Quran, boleh jadi dia jauh lebih baik untuk menjadi imam berbanding orang lain yang tidak berpendidikan sedemikian.

Kesimpulan

Anak zina dilahirkan dalam keadaan fitrah sepertimana yang disabda oleh nabi S.A.W dan berkenaan dengan persoalan di atas, kami berpendapat berimamkan anak hasil zina ini jika memiliki syarat-syarat yang ditetapkan seperti baik bacaan Al-Quran dan tinggi ilmunya berbanding dengan orang lain maka ia dibolehkan.

Wallahualam.