Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #930 : HUKUM MENGGUNAKAN PRODUK BANTUAN MEMBUANG AIR KECIL KETIKA DALAM KECEMASAN

 

PPPP.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum Ustaz, Saya ada soalan berkenaan produk bantuan buang air kecil WWIGYN. Berikut adalah beberapa perkara penting memerlukan pandang Dato’ Seri Mufti serta pengesahan beliau untuk produk berkenaan:

  • Adakah produk tersebut memerlukan pengesahan halal disebabkan ianya bukan bahan makanan atau tidak bersentuhan dengan kulit dan sebagainya. Harap pihak ustaz dapat memberikan pengesahan atau pengesahan tentang sijil halal untuk produk berkenaan.
  • Apakah tindakan berikutnya selepas produk digunakan termasuk proses penyucian dan seterusnya kebersihan untuk tujuan ibadah.
  • Adakah produk ini memberi kepentingan terutama untuk jemaah Haji dan Umrah serta kegunaan seharian seperti kecemasan ketika dalam perjalanan jauh, untuk tujuan penggunaan orang-orang tua yang tidak mampu untuk ke tandas, di dalam kenderaan terutamanya ketika kesesakan trafik di musim perayaan dan sebagainya.

Diharap pihak ustaz dapat membantu saya di dalam perkara-perkara di atas. Kerjasama dan perhatian ustaz saya dahului dengan ucapan terima kasih.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Mutakhir ini, terdapat beberapa produk seperti Peepis, WiWiGyn, Nazifah Kantong Urine dan sebagainya yang berada di pasaran yang bertujuan sebagai alat bagi membantu untuk membuang air kecil pada waktu kecemasan.

Menerusi isu ini, jelas dalam menentukan dan memperakui status Halal bagi sesuatu barangan atau produk merupakan bidang tugas bagi agensi Halal Jakim. Namun begitu, hasil pertemuan pemilik produk WiWiGyn bersama agensi Halal Jakim menyatakan bahawa produk ini tidak perlu untuk disahkan halal kerana ia tidak termasuk di dalam kriteria-kriteria yang diwajibkan untuk menentukan status halal.

Kedua: Air kencing merupakan najis. Selepas membuang air maka wajib bagi si pelaku untuk membersihkannya. Sepertimana yang diajar oleh Nabi SAW:

 

وَهَرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاً مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: "Tuangkanlah atas air kencingnya (Arab Badwi yang kencing di masjid) dengan setimba air"

(Hadis riwayat Bukhari No.220)

Begitu juga menggunakan produk bantuan membuang air kencing adalah tidak terkecuali kewajipan bagi pengguna untuk berinstinja’. Sunnahnya adalah dengan menggunakan batu atau air, namun jika sulit dan sukar untuk mendapatkan air, maka boleh digantikan dengan menggunakan tisu kering kerana ia dikira sebagai pengganti kepada batu. Akan tetapi, elakkan mengguna tisu yang basah/lembab kerana ia tidak memenuhi syarat sebagai alatan untuk berinstinja’.

Ketiga: Pada pandangan kami, produk ini bersesuaian dengan tujuan ciptaannya bagi mereka yang berada pada waktu kecemasan untuk membuang air seperti berada di dalam kenderaan yang tersekat di dalam kesesakan lalu lintas atau orang uzur yang tidak mampu untuk ke tandas dan sebagainya. Tambahan pula, produk ini juga memberi manfaat kepada jemaah Haji dan Umrah yang digunakan ketika berada di Tanah Haram, khususnya ketika jutaan jemaah haji berkumpul di Mina dan Muzdalifah. Namun begitu, harus diingatkan bahawa menggunakan produk ini atau menyimpan produk ini selepas digunakan ketika jemaah melakukan tawaf atau mendirikan solat adalah tidak dibenarkan kerana perbuatan tersebut adalah menyamai bagi perbuatan menanggung najis. Perbuatan menanggung najis ketika bertawaf dan mendirikan solat adalah tidak sah. Begitu juga keadaannya ketika melakukan saie kerana perlakuan ini wajib dilakukan pada keadaan suci.

Keempat: Bagi isu bahan pengahasilan produk ini, kami melihat plastik yang digunakan adalah plastik yang berjenis PP (Polypropylene) iaitu plastik yang mempunyai ketahanan yang tinggi dan disertakan dengan klip dibahagian atas. Selepas digunakan, debu yang berada di dalam plastik akan bertindak balas kepada air dan membuatkan debu tersebut berubah menjadikan gel. Gel tersebut juga mampu membuatkan bau hancing kencing hilang. Dengan merapatkan klip plastik tersebut ia dapat menjamin najis yang berada di dalam plastik supaya tidak terkeluar.

Secara keseluruhan, hukum menggunakan produk bantuan untuk membuang air adalah Harus. Begitu juga, kami bersetuju dan menyokong produk ini dipasarkan di Malaysia. Namun begitu, saya menasihatkan bahawa ketika menggunakan produk ini:

- Hendaklah ia dilakukan di tempat yang sembunyi dari penglihatan manusia lainnya supaya auratnya terpelihara.

- Hendaklah berhati-hati supaya air kencing tidak terpercik ke pakaian.

Sekiranya air kencing terkena pada pakaian, badan dan tempat solat, maka tidak sah untuk bersolat kerana suci daripada najis adalah syarat sah solat. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Fiqh al-Manhaji :

Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. (Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Syafi’i: 1/43).

Berkenaan hukum bagi seseorang membuang air kecil secara berdiri, hukum tersebut telah kami jawab dan boleh merujuk di laman web kami: http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1321-al-kafi-429-hukum-kencing-secara-berdiri.  

WallahuA’lam.