Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #940 : ADAKAH MAKMUM PERLU MENJAWAB SALAM IMAM DALAM SOLAT?

Screen Shot 2018 12 07 at 4.55.58 PM

Soalan

 

Saya ingin bertanya, apabila imam memberi salam ketika selesai solat, adakah makmum dibelakang perlu menjawab salam imam tersebut?

 

Jawapan

 

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

 

Dalam permasalahan ini, terdapat sebuah hadis Samurah bin Jundub berkata:

 

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ نُسَلِّمَ عَلَى أَنْفُسِنَا وَأَنْ يُسَلِّمَ بَعْضُنَا عَلَى بَعْضٍ

 

Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kepada kami untuk kami memberi salam kepada diri kami, dan memberikan salam sebahagian daripada kami untuk sebahagian yang lain”

Riwayat Abu Daud (1001)

Dalam hadis yang lain, Saidina Ali RA menceritakan tentang solat Nabi SAW, beliau berkata:

 

يَفْصِلُ بَيْنَ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ بِالتَّسْلِيمِ عَلَى الْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِينَ وَالنَّبِيِّينَ وَالْمُرْسَلِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ ‏

 

Maksudnya: “Baginda memisahkan setiap dua rakaat dengan salam kepada para malaikat (yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah), para Nabi, para Rasul , dan mereka yang mengikut mereka daripada golongan orang yang beriman dan orang-orang Islam”

Riwayat al-Tirmizi (598)

 

Berdasarkan dua hadis ini, kami nyatakan bahawa isu ini dibahaskanoleh sebahagian ulama’. Antaranya, para ulama’ mazhab al-Syafie menyatakan disunatkan kepada orang yang mendirikan solat, berniat ketika memberi salam yang pertama untuk malaikat, manusia dan jin yang beragama Islam di sebelah kanan. Kemudian disunatkan pada salam kedua diniatkan bagi yang berada di sebelah kiri. Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/131)

Bagi Imam pula boleh menambah di dalam niat salam kepada makmum yang mengikut, begitu juga makmum boleh berniat untuk memberi atau menjawab salam imam dan sesiapa sahaja yang berada bersama di dalam jemaah solat itu. Lihat Hasyiah al-Baijuri (1/304).

 

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan nas dan hujah di atas, sunat bagi imam ketika memberi salam di dalam solat untuk meniatkan salam tersebut buat makmum yang mengikutinya. Begitu juga sunat bagi makmum ketika memberi salam sebagai untuk meniatkan salam tersebut sebagai mengucapkan salam kepada imam atau menjawab salam kepada imam dan orang lain. Walaupun begitu bagi mereka yang hanya memberi salam tanpa niat seperti yang disebutkan di atas, dibolehkan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala suruhan-Nya. Amin.