Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #952: SAAT KEMATIAN IMAM AL-SYAFI’E

kematian i.syafie.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Boleh jelaskan tentang saat kematian Imam al-Syafi’e?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Imam al-Syafi’e atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdi Manaf lahir di sebuah tempat bernama Ghazzah di kota ‘Asqalan. Ketika umurnya dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Hijaz dan hidup bersama orang-orang keturunan Yaman disebabkan ibunya adalah daripada suku Azdiyah. Apabila umurnya mencecah 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah kerana khuatir nasabnya yang mulia akan lenyap. (Lihat Manaqib al-Syafi’e oleh Imam al-Baihaqi, 1/472 dan Tawali al-Ta'sis li Ma'ali Muhammad ibn Idris, hlm. 51)

 

Kewafatan Imam Al-Syafie

Sifat Imam al-Syafi’e yang begitu tekun dengan ilmu pengetahuan menjadikan dirinya kurang rehat dan menghidap penyakit yang berat. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam menceritakan keadaan Imam al-Syafie yang menderita kesakitan: “Al-Syafie menderita penyakit buasir yang sangat parah dan membimbangkan. Dia menyedari, sakitnya itu kerana kurang penjagaan dan tidak mempedulikan pantang-larang.”

Imam al-Muzani berkata, beliau masuk menemui Imam al-Syafie Rahimahullah ketika sakit yang membawa kematiannya seraya bertanya: “Bagaimana keadaanmu tuan guru?”

Lantas beliau menjawab:

أصبحت من الدنيا راحلاً، وللإخوان مفارقا، وعلى الله وَارِداً، وبكأس المنية شاربا، ولسوء أعمالي ملاقيا، فلا أدري نفسي إلى الجنة تصير فأهنّيها، أو إلى النار فأعزيها

Maksudnya: Keadaanku pada pagi ini dari dunia akan berkelana, dari sahabat-sahabat akan berpisah, kepada Allah aku akan menemui, segelas kematian akan kuhirup dan buruk amalanku akan ku tempuhi. Aku tidak tahu adakah diriku menuju ke syurga, maka aku ucapkan tahniahnya atau ke neraka maka aku ucapkan takziahnya. (Lihat Manaqib al-Syafi’e oleh Imam al-Baihaqi, 2/294)

Kemudian, Imam al-Syafi’e menangis dan mengalunkan sya’ir seperti berikut:

وَلَمّا قَسا قَلبي وَضاقَت مَذاهِبي          جَعَلتُ الرَجا مِنّي لِعَفوِكَ سُلَّما

تَعاظَمَني ذَنبي فَلَمّا قَرَنتُهُ                بِعَفوِكَ رَبّي كانَ عَفوُكَ أَعظَما

فَما زِلتَ ذا عَفوٍ عَنِ الذَنبِ            لَم تَزَل تَجودُ وَتَعفو مِنَّةً وَتَكَرُّما

 

Tatkala kerasnya hatiku dan sempitnya jalan-jalanku

          Aku jadikan harapanku untuk ampun-Mu sebagai tangga

Maka besarlah dosaku tapi tatkala aku bandingkannya

          Dengan ampun-Mu Tuhanku, adalah ampun-Mu itu lebih besar

Maka sentiasalah Kamu ampunkan dosa

          Dan sentiasalah-Mu Pemurah, Pengampun, kurniaan dan kemuliaan

 

Imam al-Syafie Rahimahullah meninggal dunia di Mesir pada hari Khamis, awal bulan Sya’ban tahun 204 H dalam usia sekitar 54 tahun. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 10/76)

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi muridnya yang setia, iaitu Imam al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi Rahimahullah. Beliau meninggal dunia di kediaman Abdullah bin Abdul Hakam dan meninggalkan wasiat terakhir kepada Abdullah bin Abdul Hakam.

Jenazah Imam al-Syafie dikebumikan pada hari Jumaat selepas Asar pada keesokan harinya. Anak-anak Abdul Hakam mengebumikannya di tanah perkuburan mereka, iaitu di sebelah Barat al-Khandak. Di sekelilingnya ialah kubur-kubur anak Zahrah. Yakut berkata: “Kuburnya sangat masyhur di sana sebagai dalil bagi kebenarannya.”

 

Selepas Imam al-Syafie Meninggal Dunia

Ibn Farhun menceritakan di dalam kitab al-Dibaj al-Mazhab bahawa sekumpulan manusia duduk di dalam majlis ilmu Imam al-Syafie selepas beliau meninggal dunia. Tiba-tiba, datanglah seorang Arab mengucapkan salam dan bertanya: “Di manakah Imam al-Syafie? Di manakah bulan dan matahari bagi majlis ini? Mereka menjawab kepadanya: “Beliau telah meninggal dunia!”

Lalu orang itu pun menangis dengan kuat dan berkata: “Semoga Allah mengasihaninya dan mengampunkan dosa-dosanya.” Katanya lagi: “Beliau adalah pembuka kepada pintu-pintu hujah yang tertutup, juga penutup lawannya dengan hujah yang terang. Beliau juga menyucikan air muka yang hitam. Beliau pembuka pintu fikiran-fikiran yang tertutup rapat. Semoga Allah meredainya!”

Semoga Allah SWT merahmati Imam al-Syafi’e dan meletakkannya bersama para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan para solehin. Amin.