Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #981: ADAKAH PERLU MELAPORKAN KESALAHAN MAJIKAN KEPADA PIHAK BERKUASA?

 Screen Shot 2018 12 24 at 10.17.35 AM

SOALAN

 

Dato’ Seri, saya bekerja di sebuah organisasi. Pengarah organisasi saya melakukan salah guna kuasa dalam organisasi. Sekiranya ada staff yang menegur kesalahan ini, pasti akan dipecat. Adakah saya perlu melaporkan kepada pihak berkuasa?

 

JAWAPAN

 

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

 

Dalam menjawab persoalan ini, perlu untuk kita memahami bahawa Islam adalah agama yang sentiasa menyeru umatnya untuk melakukan kebaikan dalam masa yang sama turut mengajak orang lain ke arah kebaikan dan mencegah segala kemungkaran yang berlaku di dalam masyarakat sekeliling. Hal ini jelas, berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ 

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

(Surah al-Imran ayat ke: 104)

 

Ayat di atas mengajar tentang perlunya wujud suatu kumpulan atau puak dalam satu-satu organisasi atau masyarakat yang tugasnya mengajak setiap ahli dalam masyarakat atau organisasi untuk melakukan kebaikan dalam masa yang sama turut berfungsi sebagai golongan yang mencegah kemungkaran. Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya, bahawa ayat di atas mengandungi perintah untuk sebahagian daripada anggota ummah, untuk melakukan perintah yang terkandung di dalam ayat. Tangungjawab ini diletakkan sebagai suatu fardhu kifayat, iaitu kewajipan yang wajib disempurnakan sebahagian daripada sesuatu kelompok, sekiranya tiada yang melakukan, maka berdosalah seluruh ahli dari kelompok itu. Lihat Tafsir al-Qurtubi (4/165).

Selain itu, dalam masalah mencegah kemungkaran, terdapat sebuah hadis yang menguatkan lagi galakan untuk menegur pelaku mungkar, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

Maksudnya: Siapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan (kuasa), sekiranya tidak mampu, ubahlah dengan lisan (kata-kata), sekiranya tidak mampu maka dengan hati, dan dengan itu adalah selemah-lemah iman”

Riwayat Muslim (49)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini mengatakan lafaz “ubahlah” adalah perkataan yang didatangkan dalam bentuk perintah, dan mengubah kemungkaran adalah suatu perintah wajib yang telah disepakati oleh seluruh ummah. Menjadi tanggungjawab orang awam dan ulama’ untuk menegur dalam perkara wajib dan haram yang masyhur seperti kewajipan menunaikan solat, puasa,zakat dan perkara haram seperti zina,arak dan sebagainya. Manakala dalam perkara yang lebih khusus tentang perbuatan atau pertuturan manusia, maka itu adalah kewajipan khusus untuk ulama’ sahaja. Lihat Syarah al-Nawawi ala Muslim (1/219).

Namun begitu, Allah SWT sangat mengasihani dan merahmati hamba-hamba-Nya. Walaupun perintah dan larangan itu bersifat wajib ke atas hamba-Nya namun sifat kasih sayang-Nya mengatasi segalanya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

 

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)

(Surah al-Taghabun ayat ke: 16)

Hal ini diperkuatkan lagi, dengan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ ‏"‏‏.

Maksudnya: “Apabila aku melarang kepada kamu akan sesuatu, maka jauhilah, dan apabila aku perintahkan kepada kamu, maka datangkanlah (berbuatlah) sedaya kamu”

Riwayat al-Bukhari (7288)

Kesimpulan

 

Berdasarkan perbincangan nas dan hujah di atas, kami berpendapat bahawa mengubah kemungkaran adalah fardhu kifayah yang wajib dilakukan oleh sebahagian daripada anggota masyarakat agar terangkat kewajipan dan dosa ke atas semua masyarakat. Oleh tu, menegah salah laku majikan dengan cara menegur atau mengadu kepada pihak berkuasa adalah fardhu kifayah.

Namun begitu, disebabkan ini adalah fardhu kifayah maka tidak wajib ke atas setiap anggota masyarakat. Maka, tidaklah berdosa sekiranya bagi mereka yang bimbang hilang pekerjaan, atau dikenakan tindakan tatatertib untuk tidak mencegah salah laku tersebut, tetapi hendaklah menolak sekeras-kerasnya salahlaku tersebut di dalam hati seperti yang disebutkan dalam nas di atas.

Kami juga menasihatkan kepada yang bertanya supaya dapat mengamalkan prinsip yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

 

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

(Surah al-‘Asr ayat ke: 3)

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala suruhan-Nya. Amin.