AL-KAFI #1008: PENDAPAT ULAMA’ TASAWWUF DAN FEQAH BERTENTANGAN

tasawwuf.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Jika sekiranya ulama’-ulama’ tasawwuf bertentangan dengan ulama’ feqah, ada yang menyatakan kena ikut ahli tasawwuf. Apa pandangan Dato’ Seri?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan takrif tasawwuf. Syeikh Abd. Wahab al-Sya’rani mendefinisikan tasawwuf sebagai ilmu yang terbit dari dalam hati para wali apabila mereka mempraktikkan al-Quran dan al-Sunnah.

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Ulama’-ulama’ salaf yang terdahulu mengambil Islam secara keseluruhannya berdasarkan aturan seperti yang terdapat dalam hadis Jibril yang masyhur itu, dalam martabat-martabat seperti berikut:

  1. Islam
  2. Iman
  3. Ihsan

Kemudian lahir ulama fiqah yang mengkhususkan kepada rukun-rukun Islam yang zahir sahaja dan ahli ilmu kalam pula mengkhususkan persoalan iman dan kajian-kajian yang berkaitan dengannya. Manakala ahli tasawwuf pula khusus kepada martabat ihsan.

Praktis-praktis dalam tasawwuf bermatlamat untuk merealisasikan tujuan yang praktikal iaitu menyelamatkan diri daripada kemurkaan Allah SWT dan azab di akhirat melalui cara berzuhud, meninggalkan kemewahan serta berjihad melawan hawa nafsu. Mereka melakukannya dengan bersumberkan kepada adab syarak dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Kemudian lahir pula golongan ulama dan pendidik yang menyatukan aspek ketakutan dan perasaan takutkan Allah seperti Hasan al-Basri. Setelah itu, muncul satu elemen baru ekoran daripada aspek ketakutan tadi iaitu perasaan cintakan Ilahi (atau kecintaan Ilahi). Unsur tersebut menerangkan bahawa mereka tidak hanya mentaati Allah dan menunaikan kewajipan semata-mata kerana takutkan api neraka dan bukan juga kerana mahukan kenikmatan syurga sebaliknya, mereka melakukan kerana kasihkan Allah dan mencari jalan untuk mendekatkan diri kepadanya.

Dalam isu di atas, ulama’-ulama’ besar tasawwuf sendiri pun mengarahkan supaya mengikut ulama’-ulama’ feqah. Syeikh Abdul Halim Mahmud menyebut dalam mukadimah Syarah Hikam Syeikh Zarruq, bahawa terdapat sepuluh perkara yang menjadi asas hak dan hakikat, iaitu:

Berdasarkan persoalan di atas, perlunya gabungan antara tasawwuf dan feqah dan pada saat yang sama keperluan untuk memahami Syari’ah dengan sebaiknya. Dengan cara itu maka perjalanan kehidupan seseorang Muslim lebih sempurna sepertimana yang berlaku kepada Imam al-Ghazali yang pada peringkat awalnya sebagai ahli fiqah yang terkenal. Hal ini dibuktikan dengan karya fiqh yang besar seperti al-Wasit, al-Basit, al-Wajiz dan al-Khulasah. Begitu juga dengan kitab Usul Fiqhnya seperti al-Mustasfa. Selepas itu, apabila beliau menekuni ilmu tasawwuf, akhirnya lahirlah kitab-kitab yang bernilai tinggi dari segi kerohanian yang disulami dengan neraca fiqh seperti Ihya’ Ulum al-Din, Minhaj al-‘Abidin dan lain-lain.

Semoga Allah SWT menjadikan kita benar-benar memahami konsep sebagai hamba Allah di muka bumi untuk mengabdikan kepada-Nya. Amin.