AL-KAFI #1037 : HUKUM MAKAN KULIT LEMBU YANG TIDAK DISEMBELIH

af1037 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Ustaz, saya pernah dengar bahawa kulit haiwan yang mati tidak disembelih, boleh digunakan apabila sudah disamak dan menjadi suci. Isunya, boleh tak kita makan kulit tersebut seperti yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat yang memakan kulit lembu? Halal atau tidak?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Firman Allah ﷻ:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan (Allah) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk.”

(Surah Al-A’raf: 157)

Dalam Tafsir al-Jalalain (hlm.217), “segala yang buruk” ditafsirkan sebagai bangkai dan seumpamanya. Beliau berkata dalam Raudoh al-Tolibin (1/42): “Dan diharuskan memakan kulit haiwan yang disamak berdasarkan qaul jadid (baru Imam al-Syafie), sekiranya ia daripada jenis haiwan yang dagingnya halal dimakan. Sekiranya bukan, maka haram hukumnya berdasarkan pendapat mazhab. Aku berkata: Pendapat yang azhar (lebih kuat), di sisi lebih ramai ulama (Syafieyyah) bahawa haram juga memakan kulit haiwan yang dimakan.”

Ini dihuraikan dengan lebih jelas oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal dalam Hasyiah-nya (1/95) ketika membincangkan isu perpindahan kulit yang disamak daripada daging kepada pakaian: “Justeru, ia tidak dikira sebagai makanan yang boleh dimakan, sekalipun diharuskan memakannya jika diambil daripada haiwan yang disembelih secara kesepakatan ulama. Pendapat jadid (Imam al-Syafie) yang menyatakan hukum harus memakannya sekalipun kulit daripada bangkai haiwan yang halal jika disembelih, adalah marjuh (lawan bagi rajih). Pendapat yang difatwakan dengannya ialah haram memakan kulit yang telah disamak jika datangnya daripada kulit bangkai (yakni yang tidak disembelih) sekalipun bangkai haiwan yang boleh dimakan.”

Ini kerana menurut beliau, kulit yang telah disamak boleh digunakan untuk beristinja’ dan sedangkan makanan tidak boleh digunakan untuk beristinja’. Justeru, apabila kulit itu sudah disamak, maka bertukarlah statusnya daripada tabiat daging kepada tabiat pakaian. Oleh itu, kulit yang disamak tidak boleh dianggap sebagai makanan. Rujuk Hasyiah al-Jamal (1/94).

Namun begitu, perkara ini adalah perkara khilaf dalam mazhab Syafie, kerana Imam al-Rafi’e tidak mengharamkan dan mentarjihkan pendapat jadid Imam al-Syafie. Syeikh Abu Bakr al-Hisni menyebut dalam Kifayah al-Akhyar (hlm. 18): “Adakah diharuskan untuk memakan kulit yang datang daripada haiwan yang dihalalkan makan (tetapi tidak disembelih)? Al-Rafi’ie merajihkan keharusannya sementara al-Nawawi merajihkan pengharamannya.”

Kami cenderung kepada pendapat bahawa tidak seharusnya kulit haiwan yang halal itu dimakan, apabila ia tidak disembelih, dan sebaiknya dimanfaatkan sebagai pakaian dan perhiasan. Namun jika berlaku keadaan hajat dan darurat, maka boleh memakannya dan diutamakan berbanding makanan yang disepakati haram seperti khinzir dan arak. Wallahua’lam.