AL-KAFI #1041: HUKUM MENAMBAH PADA LAFAZ SALAM

 

 

kafi-1041.png

 

 

Soalan:

Apakah hukum menambah lafaz “وبركاته” ketika memberi salam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Memberi salam pertama di dalam solat termasuk di dalam rukun-rukun solat dan jika seseorang itu tidak memberi salam pertama di dalam solatnya maka solatnya adalah tidak sah. Hal ini sebagaimana dijelaskan di dalam sebuah hadith:

 

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

Maksudnya: “Kunci solat (tanpanya solat tidak sah) adalah bersuci (berwudhuk), pengharamannya (haram daripada melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah ketika bertakbir (takbirat al-Ihram) dan penghalalannya (halal untuk melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah setelah memberi salam.” [Riwayat Abu Daud (618)][Hadith dinilai hasan lighairihi oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

 

Adapun berkaitan penambahan lafaz pada salam, memang terdapat riwayat yang menyatakan sedemikian iaitu:

 

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، وَعَنْ شِمَالِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ

Maksudnya: “Aku solat dibelakang Nabi SAW dan Baginda SAW memberi salam di sebelah kanan dengan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ” dan disebelah kiri dengan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ”.” [Riwayat Abu Daud (997)][Sanad hadith ini dinilai sahih pada sanadnya dan perawi-perawinya adalah thiqah oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

 

Berdasarkan soalan di atas, hukum menambah perkataan “وبركاته” di dalam salam pertama adalah menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama kerana kewujudan dalil yang berbeza. Imam al-Nawawi (676 H) menyatakan bahawa disunatkan mengucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” dan ini adalah yang sahih lagi tepat. [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 478/3] Manakala, Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (620 H) menyatakan bahawa sunnah diucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” dan ini adalah riwayat Ibn Mas’ud, Jabir bin Samurah R.anhuma dan selain daripada mereka berdua. Adapun Wa’il bin Hujur RA juga ada meriwayatkan bahawa Nabi SAW mengucapkan pada salam yang disebelah kanan (salam pertama) dengan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهُ وَبَرَكَاتُهُ” dan ia adalh baik di dalam Sunan Abu Daud. Akan tetapi, ucapan yang pertama (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ) adalah lebih baik kerana jalurnya (riwayatnya) banyak dan jalurnya lebih sahih (berbanding jalur atau riwayat daripada Wa’il bin Hujur). [Lihat: al-Mughni, 397/1]

Kami cenderung kepada pandangan yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa mengucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” adalah lebih baik kerana riwayatnya banyak berbanding riwayat yang terdapat penambahan pada lafaz salam tersebut. Akan tetapi, jika seseorang itu mengucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهُ وَبَرَكَاتُه” pada salam yang pertama, maka tidak boleh kita menyatakan bahawa hal itu adalah bid’ah kerana riwayat tersebut (riwayat yang ada penambahan) juga adalah sahih daripada Nabi SAW dan ini merupakan khilaf yang maqbul (diterima) sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama dan ia tidak termasuk di dalam khilaf yang dicela.

 

Penutup

Kesimpulannya, penambahan lafaz “وبركاته” di dalam salam merupakan penambahan yang warid (terdapat) di dalam hadith Nabi SAW sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Tambahan pula, tidak menjadi kesalahan untuk seseorang untuk mengucapkan pada salam yang pertama dengan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهُ وَبَرَكَاتُه” dan solatnya adalah sah. Akan tetapi, kami menasihati agar tidak melakukannya di tempat-tempat yang sekiranya dengan melakukannya boleh menimbulkan fitnah seperti ketika menjadi imam di masjid kerana tidak semua orang mengetahui akan perkara-perkara seperti ini dan bimbang ada yang mendakwa solat tidak sah dengan penambahan tersebut. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini. Amin.

 

Wallahua’lam