AL-KAFI #1134: KENDURI KAHWIN JEMPUT ORANG KAYA SAHAJA

kahwin kaya.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah kenduri majlis perkahwinan dijemput kepada orang-orang kaya sahaja?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Walimah (الوليمة) ialah perkataan Arab yang berasal daripada kalimah al-Walam (الولم), yang bermaksud perhimpunan. Ia demikian kerana suami dan isteri akan bertemu dan berhimpun dalam majlis perkahwinan ini. Walimah juga bermaksud makanan pengantin atau semua jenis makanan yang dibuat untuk jemputan dan sebagainya.

Mengadakan walimah, hukumnya sunat muakkad. Hal ini berdasarkan hadith berikut:

أَوْلَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى بَعْضِ نِسَائِهِ بِمُدَّيْنِ مِنْ شَعِيرٍ

Maksudnya: “Nabi SAW mengadakan walimah perkahwinan dengan sesetengah isterinya dengan dua cupak gandum.”

Riwayat al-Bukhari (4877)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa para ulama’ telah menentukan beberapa syarat majlis walimah yang wajib dihadiri, antaranya ialah: Tuan rumah tidak mengkhususkan jemputannya kepada orang kaya sahaja. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA katanya:

بِئْسَ الطَّعَامُ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى إِلَيْهِ الأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْمَسَاكِينُ 

Maksudnya: “Seburuk-buruk makanan ialah jamuan di majlis walimah yang khusus untuk orang kaya sahaja dan meninggalkan orang miskin."

Riwayat Muslim (1432)

Dr. Muhammad Yusri bin Ibrahim berkata: Makanan walimah atau kenduri kahwin adalah makanan yang diberkati. Justeru, tidaklah baik dijemput terhad hanya kepada orang yang kaya tanpa dilibatkan orang yang miskin bahkan terdapat tegahan daripada melakukan perbuatan tersebut. (Lihat Syarh Umdah al-Ahkam min Kalam Khair al-Anam dalam Bab Wasaya, hlm. 10)

Hadith ini menjelaskan keadaan umat manusia yang selepas wafatnya Rasulullah SAW. Mereka hanya meraikan orang kaya dalam majlis-majlis walimah, mengkhususkan jemputan kepada mereka dan mengistimewakan mereka dengan hidangan yang bagus-bagus, sebagaimana yang biasa berlaku kini. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/623-624)

Semoga majlis perkahwinan yang dihadiri oleh semua golongan termasuk fakir miskin dan orang-orang soleh serta anak yatim boleh memberkati majlis tersebut dengan doa-doa daripada mereka. Amin.

Cetak