AL-KAFI #1190: TINGGAL BERSAMA DENGAN KELUARGA BUKAN ISLAM

gambar tinggal bersama dengan keluarga bukan islam

 

SOALAN

Saya baru berkahwin dengan seorang wanita yang baru memeluk agama Islam. Saya kini tinggal bersama dengan keluarga isteri saya yang masih belum memeluk agama Islam. Mohon pandangan S.S. Mufti berkenaan status saya yang tinggal bersama dengan keluarga isteri saya.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Ibu bapa merupakan dua insan yang wajib ditaati oleh anak-anak selagi mana mereka tidak menyeru kepada perkara-perkara maksiat. Anak-anak wajib berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Hubungan ibu bapa dan anak-anak akan kekal walaupun berlainan agama. Allah SWT telah berfirman:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

Surah Luqman: 15

Imam Ibn Kathir Rahimahullah telah berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kamu kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam pada masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik. Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh berhikmah sehingga akhirnya ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya.” Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (6/402).

عن أَسْمَاءُ بِنْتُ أَبِي بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَتْ أَتَتْنِي أُمِّي رَاغِبَةً فِي عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آصِلُهَا قَالَ نَعَمْ. قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى فِيهَا: لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Daripada Asma’ binti Abu Bakar RA, dia telah berkata: Ibuku telah datang kepadaku pada zaman Nabi SAW, dan aku telah bertanya Nabi SAW, adakah aku boleh menyambung silaturrahim dengan ibuku?. Nabi SAW menjawab: “Ya”. Telah berkata ibn Uyainah: Maka Allah telah menurunkan ayat kepadanya: ((Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil))”

Riwayat al-Bukhari (5978)

 

Hukum Bekas Yang Digunakan oleh Orang Bukan Islam

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa hukum bekas yang digunakan oleh orang bukan Islam adalah sama seperti hukum bekas yang digunakan oleh ahli kitab. Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (1/124). Dalam mazhab asy-Syafi’e, harus untuk menggunakan bekas yang digunakan oleh orang bukan Islam jika diyakini kesuciannya. Jika tidak diyakini kesuciannya, maka hukumnya adalah makruh menggunakannya sehinggalah dibasuh bekas tersebut. Ini adalah berdasarkan hadith Nabi SAW:

عن أَبُو ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيُّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَال: قُلْتُ: يَا رَسُول اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ أَهْل كِتَابٍ، أَنَأْكُل فِي آنِيَتِهِمْ؟ فَقَال: لاَ تَأْكُلُوا فِي آنِيَتِهِمْ إِلاَّ إِنْ لَمْ تَجِدُوا عَنْهَا بُدًّا، فَاغْسِلُوهَا بِالْمَاءِ، ثُمَّ كُلُوا فِيهَا

Maksudnya: “Daripada Abu Tha’labah al-Khusyaniy RA, aku telah berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya kami tinggal di negeri ahli Kitab, adakah boleh bagi kami untuk makan menggunakan bekas-bekas mereka? Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu makan menggunakan bekas-bekas mereka kecuali jika tiada pilihan bagimu, maka basuhlah bekas-bekas tersebut dengan air, kemudian kamu makanlah menggunakan bekas tersebut”

Riwayat al-Bukhari (5496)

Daripada hadith ini, asal kepada larangan Nabi SAW adalah haram dan dapat difahami bahawa larangan menggunakan bekas orang bukan Islam adalah ketika mana terdapat bekas lain yang boleh digunakan sebagai alternatif.

Namun di sana terdapat hadith sahih yang mana Nabi SAW pernah makan menggunakan bekas ahli kitab dan ayat Quran dalam surah al-Maidah (وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ) yang mana dapat difahami bahawa makanan ahli kitab dihasilkan oleh tangan-tangan mereka dan menggunakan bekas-bekas mereka. Oleh itu, larangan dalam hadith tersebut bukanlah membawa kepada haram, tetapi ia membawa kepada makruh. Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (1/123), Nihayah al-Muhtaj (1/127), al-Majmu’ (1/263).

 

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa tidak menjadi masalah untuk tinggal bersama dengan ahli keluarga yang masih belum memeluk Islam, bahkan ia boleh dijadikan satu peluang dakwah yang terbuka luas untuk dimanfaatkan dengan menunjukkan contoh dan akhlak yang baik serta dapat memberi penerangan secara lansung mengenai Islam kepada ahli keluarga yang masih belum memeluk agama Islam. Allah SWT telah berfirman:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik”

Surah an-Nahl: 125

Marilah kita mengambil pengajaran daripada sirah Nabi SAW yang terus berusaha menyampaikan dakwah kepada bapa saudara Baginda, Abu Talib sehingga ke saat-saat akhir usianya. Baginda tidak jemu berdakwah walaupun akhirnya Allah SWT mentakdirkan bapa saudara Baginda tidak mati di dalam Islam.

Mengenai makanan dan minuman, kami menasihatkan agar tidak mengambil makanan yang dilarang dalam Islam seperti daging khinzir, arak dan sembelihan yang tidak syar’ie, namun ia bukanlah bermakna kita tidak boleh duduk makan bersama dengan ahli keluarga kita lain yang bukan Islam. Carilah alternatif yang sesuai untuk kita mampu kekal duduk bersama mereka tanpa sebarang rasa kekok.

Mengenai bekas yang digunakan oleh ahli keluarga yang bukan Islam, harus digunakan bekas tersebut jika diyakini bersih. Jika tidak mendatangkan fitnah dan syak wasangka di kalangan ahli keluarga lain, adalah lebih baik untuk membasuh bekas-bekas tersebut terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Namun begitu, kami ingin menasihatkan agar diusahakan untuk berpindah ke tempat lain jika berpeluang berbuat demikian di samping berterusan menjaga silaturrahim dengan ahli keluarga yang masih belum memeluk Islam. Ini lebih memberi ketenangan dan keselesaan dalam mengamalkan seluruh ajaran Islam tanpa sebarang halangan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.