AL-KAFI #1199: HUKUM AZAN BERDUET ADAKAH IA DIBOLEHKAN

ak1199

Soalan

Assalamualaikum
Ustaz,Apakah hukum azan berduet dengan cara azannya sambung-menyambung ustaz? Mohon ustaz jelaskan hukum ini.

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Pendahuluan

Azan: Seruan, pemberitahuan, ini seperti firman Allah SWT:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ

Maksudnya: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji

(Surah al-Hajj, 27)

Maksud dari segi Syarak: Azan merupakan seruan apabila masuknya waktu solat fardhu. Dengan lafaz yang yang ditetapkan nas dengan ciri-ciri yang khusus. Sesetengah ulama berpendapat ia merupakan seruan yang menandakan masuknya waktu fajar sahaja.

(Lihat: Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 2/357)

Syarat-syarat Azan

Dr. Wahbah Zuhaili menggariskann di dalam kitab beliau bahawa syarat-syarat azan:

(Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/697-701)

Azan Secara Berkumpulan (Azan al-Sultani, Azan al-Jouq atau Azan al-Jami’e)

Di antara syarat azan Dr Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitab beliau:

كونه من شخص واحد: فلو أذن مؤذن ببعضه، ثم أتمه غيره لم يصح

Maksudnya: Mestilah muazzin itu berseorangan: Sekiranya seorang muazzin itu melaungkan azan dan kemudiannya disempurnakan oleh muazzin yang lain, maka azan itu tidak sah.

Selain itu Dr. wahbah Zuhaili juga menyatakan di dalam kitabnya bahawa: “Secara sohihnya mestilah melaungkan azan secara sempurna ini kerana azan merupakan ibadah badaniah tidak sah sekiranya dilakukan secara bersama dalam satu masa”. (lihat: al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu: 1/699).

Syeikh Abdul Rahman al-Jaziri menyatakan di dalam kitab beliau: “Keempat mazhab bersepakat syarat azan itu mestilah dilaungkan oleh seorang muazzin dengan sempurna. Tidak sah azan itu sekiranya dilakukan bergilir-gilir dengan dua atau tiga orang dalam satu masa (melaungkan satu azan) seperti seorang melaungkan satu ayat daripada azan dan seorang lagi menyambung ayat yang lain. Ini dinamakan sebagai Azan al-Jouq atau Azan al-Sultani, dan ini merupakan satu kejahilan. Dan barang siapa yang melakukannya maka ia telah membatalkan sunnah azan itu” (Lihat: al-Fiqh Ala al-Mazhab al-Arba’ah: 1/285).

Diceritakan syeikh Bakr Abu Zaid di dalam kitabnya bahawa Azan al-Sultani terdiri daripada empat orang muazzin dengan melaungkan satu azan. Dan pada mulanya dilakukan oleh Khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Kemudian dibatalkan oleh Raja Farouk pertama di mesir dengan mengambil fatwa Syekh Muhammad Mustafa al-Maraghi. Dan Azan ini di dirikan di Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi sehinggalah dibatal pada tahun 1400H. (Lihat: Tashih al-Dua’, hlm 376).

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas, azan secara berkumpulan ini merupakan perbuatan yang dilarang dan berbeza dengan Sunnah yang diamalkan Nabi SAW dan Sahabatnya.

Ini kerana melaungkan azan merupakan syarat kepada seorang individu sahaja. Dan ia merupakan ibadah badaniah yang dikhususkan kepada seorang individu sahaja.

Oleh itu perkara ini dapat dielakkan supaya di jauhkan daripada bermain-main dengan syiar agama. Seperti mana firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّـهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

(Surah al-Taubah, 65)

Wallahualam.