Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1233: HUKUM SOLAT TANPA MENUTUP KEPALA BAGI LELAKI

 solat tanpa tutup kepala hmm.JPG

Soalan:

Benarkah solat tanpa memakai kopiah, songkok atau serban itu makruh bagi orang lelaki? Mohon Penjelasan SS Mufti.

Jawapan:

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Menurut hukum asal, sah solat seorang lelaki yang tidak menutup kepalanya sebagaimana yang disebut oleh para ulama seperti Imam al-Nawawi. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 2/51)

Namun tidak dinafikan, memang terdapat ulama yang memakruhkan solat orang lelaki tanpa menutup kepala. Menurut Syeikh Abu Bakar al-Dimyathi- salah seorang ulama mazhab Syafi’e- mendedahkan kepala dan bahu ketika solat bagi lelaki adalah makruh, kerana ia bertentangan dengan anjuran sunnah agar memperelokkan pakaian sewaktu dalam solat dengan menutup kepala dan bahu. (Rujuk I’anatu al-Tolibin 1/194).

Begitu juga dengan al-Imam Ibn Nujaim al-Hanafi dan al-Imam Burhanuddin ibn Mazzah yang menghukumkan makruh solat tanpa menutup kepala kerana malas, sedangkan ada padanya penutup kepala. (Rujuk Al-Bahr al-Ra’iq 2/27, Al-Muhith al-Burhani 5/137)

Namun demikian, pandangan beliau ini perlu juga dilihat dan diperhalusi menurut konteks zaman dan juga konteks setempat.

Menurut majlis fatwa negara Jordan, tiada satupun hadith yang sahih yang boleh dijadikan sandaran untuk menghukumkan sunat menutup kepala ketika solat, mahupun ketika keluar dari rumah bagi orang lelaki. Namun di sebahagian negara, menutup kepala ketika solat merupakan satu adat kebiasaan yang dianggap baik dan dianjurkan, maka ia boleh menjadi satu perkara sunat menurut syara’, berdasarkan keumuman firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

Surah al-A’raf (31)

Maka hukum dalam isu ini kembali kepada perbezaan adat masyarakat dan cara pemakaian mereka. Jika masyarakat tersebut menganggap menutup kepala merupakan satu bentuk perhiasan, maka ia menjadi sunat. (Rujuk laman rasmi majlis fatwa Jordan pada pautan https://bit.ly/2FTDfdq )

Al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi juga turut menyebut bahawa menutup kepala berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain. Di sesetengah negara, tidak menutup kepala merupakan satu perkara yang mencacatkan maruah dan air muka serta menjejaskan ‘adalah (kredibiliti sebagai muslim yang soleh), sedangkan di sebahagian negara lain, ia tidak demikian. (Rujuk Al-Muwafaqat 2/489)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa kopiah, serban dan songkok merupakan antara contoh pakaian yang baik yang sering dilazimi oleh umat Islam ketika solat, dan ia merupakan satu perkara sunat.

Satu qaedah fiqhiyyah yang masyhur ada menyebut:

العادَةُ مُحَكَّمَةٌ

Maksudnya: Adat dan uruf itu boleh dijadikan sandaran hukum (pada perkara yang tiada dalil padanya).

Banyak hadis yang menunjukkan keadaan Nabi SAW memakai serban atau berimamah sehingga riwayat yang masyhur, Rasulullah SAW memakai ‘imamah hitam ketika pembukaan Kota Mekah. Begitu juga, ada yang menisbahkan serban Rasulullah SAW yang dipamerkan di muzium Topkapi di Turki. Justeru, kami nyatakan bahawa serban tanpa khilaf sebagai sunnah al-‘adah, tetapi dalam isu ibadah, jika ada pun hadisnya adalah amat dha’if. Antaranya hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالْعَمَائِمِ ، فَإِنَّهَا سِيمَا الْمَلَائِكَةِ ، وَأَرْخُوهَا خَلْفَ ظُهْورِكُمْ

Maksudnya: Hendaklah kamu memakai ‘imamah kerana ia merupakan tanda para malaikat dan labuhkannya di belakang kamu.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir (13248)

Maka kami nyatakan bahawa berdasarkan adat setempat, solat dengan tidak menutup kepala dengan songkok, serban atau kopiah hanyalah bersifat khilaf al-aula (menyelisihi perkara yang lebih utama), dan tidaklah dihukumkan sebagai haram atau makruh.

Semoga pencerahan ini memberikan kita kefahaman dalam agama kita terutamanya dalam isu-isu yang menjadi pakaian harian kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.