AL-KAFI #1236: KHIDIR; SEORANG NABI ATAU WALI ALLAH?

Gambar Khidir Seorang Nabi atau Wali Allah

 

SOALAN

Adakah Khidir seorang Nabi atau wali Allah? Mohon penjelasan S.S. Datuk Seri Tuan Mufti.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Khidir merupakan seorang lelaki soleh yang hidup di zaman Nabi Musa AS. Kisah Khidir telah diceritakan di dalam al-Qur’an sepertimana yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi, daripada ayat ke-60 sehingga ayat ke-82.

Khidir adalah nama yang diberikan kepadanya disebabkan peristiwa ajaib yang telah berlaku dengan izin Allah ke atasnya sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا سُمِّيَ الخَضِرَ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ، فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ

Maksudnya: “Sesungguhnya dinamakan Khidir kerana dia telah duduk di atas tanah putih (tanah yang kering tanpa tumbuhan), lalu bergoncang di belakangnya dan menjadi berwarna hijau (subur dengan tumbuhan).”

Riwayat al-Bukhari (3402)

Persoalan yang sering berlegar dalam masyarakat kita mengenai lelaki yang bernama Khidir adalah mengenai statusnya, sama ada Khidir merupakan seorang Nabi ataupun wali Allah. Kami akan menjawab persoalan ini berdasarkan pandangan para ulama’.

Kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa Khidir adalah salah seorang nabi daripada nabi-nabi Allah. Pendapat ini dipegang oleh al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam ibn Hajar al-Haitami, Imam ibn Hazm al-Andalusi, Imam Syihabuddin ar-Ramli, Imam asy-Syatibi, Imam al-Qurtubi, Imam ibn ‘Atiyyah al-Andalusi, Sheikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, Sheikh Abdul Razzaq al-‘Afifi Rahimahumullah, Sheikh Yusof al-Qaradhawi Hafizahullah dan ulama’-ulama’ selain daripada mereka. Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (1/221), Fatawa al-Hadithiyyah (hlm.93), al-Muhalla bi al-Athar (1/71), Fatawa ar-Ramli (4/222), al-Muwafaqat (2/507), Adwa’ al-Bayan fi Idhoh al-Qur’an bi al-Qur’an (3/322-323), al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (11/16), al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz (3/537), Fatawa al-Mu’asirah (1/161-163).

Ini adalah pendapat yang kuat berdasarkan dalil-dalil berikut:

  1. Firman Allah SWT:

فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا

Maksudnya: “Lalu mereka (Nabi Musa AS dan pembantunya) mendapati seorang hamba (Khidir) dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami”.

Surah al-Kahfi: 65

Telah berkata Sheikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti Rahimahullah: “Ulama berbeza pandangan adakah Khidir seorang nabi, atau wali, atau malaikat, tetapi dapat difahami daripada ayat-ayat tersebut bahawa rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat kenabian dan ilmu ladunni adalah wahyu yang diberikan kepada Khidir” Rujuk Adwa’ al-Bayan fi Idhoh al-Qur’an bi al-Qur’an (3/323).

Telah berkata Imam al-Qurtubi Rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas:

“Khidir adalah nabi di sisi majoriti ulama’. Dikatakan (pendapat kedua) bahawa dia adalah lelaki soleh, bukannya seorang nabi. Ayat al-Qur’an menunjukkan bahawa Khidir adalah seorang nabi kerana perbuatan-perbuatannya tidak boleh dilakukan melainkan dengan panduan wahyu.

Seorang manusia juga tidak menuntut ilmu atau mengikuti seseorang itu kecuali kepada mereka yang lebih tinggi kedudukannya (dari sudut ilmu), dan tidak harus bagi seorang yang bukan berstatus nabi untuk memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada nabi.

Dikatakan (pendapat ketiga) Khidir adalah seorang malaikat yang diperintahkan oleh Allah untuk Nabi Musa AS mengambil daripadanya ilmu batin. Pendapat yang sahih adalah pendapat yang pertama. Wallahu’alam.” Rujuk al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (11/16).

 

  1. Firman Allah SWT:

وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut akal fikiranku sendiri”

Surah al-Kahfi: 82

Ayat ini menunjukkan bahawa Khidir tidak melakukan semua perkara seperti yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi mengikut kehendaknya sendiri, tetapi bertindak mengikut wahyu yang diterimanya daripada Allah SWT. Imam al-Qurtubi Rahimahullah telah berkata: “Ayat ini menunjukkan sesungguhnya Khidir adalah seorang nabi” Rujuk al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (11/39)

Telah berkata Imam ibn ‘Atiyyah al-Andalusi Rahimahullah: “Kata-kata Khidir: (وَما فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي) menunjukkan bahawa Khidir adalah seorang nabi” Rujuk al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz (3/537).

 

Pendapat Lain

Pendapat-pendapat lain pula mengatakan bahawa Khidir adalah seorang wali Allah atau lelaki soleh. Ada juga pendapat yang mengatakan Khidir adalah seorang Malaikat yang diutuskan oleh Allah kepada Nabi Musa AS. Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (5/187), al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (11/16), an-Nukat wa al-‘Uyun (3/325).

Telah berkata Sheikh Abdur Rahman bin Nasir as-Sa’adi Rahimahullah: “Sesungguhnya hamba Allah yang ditemui oleh Nabi Musa AS bukanlah seorang nabi, tetapi dia adalah seorang lelaki soleh kerana dia telah disifatkan sebagai seorang hamba Allah yang dikurniakan dengan rahmat serta ilmu, dan tidak disebut bahawa dia dikurniakan risalah kenabian. Jika dia adalah seorang nabi, nescaya perkara tersebut akan disebut sepertimana halnya ke atas nabi-nabi lain” Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan (hlm.482).

Imam al-Mawardi Rahimahullah telah berkata: “Pendapat kedua: Sesungguhnya Khidir bukanlah seorang nabi. Dia adalah seorang lelaki soleh yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ilmu batin yang mana tidak dikurniakan kepada orang lain. Ini kerana seorang nabi sifatnya menyampaikan dan pergi kepada mad’u (orang yang hendak disampaikan), tetapi berbeza keadaannya dengan Khidir yang mana Nabi Musa AS telah pergi kepadanya untuk menuntut ilmu darinya. Rujuk an-Nukat wa al-‘Uyun (3/325).

 

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa pendapat yang kuat dalam perkara ini adalah Khidir merupakan salah seorang nabi daripada nabi-nabi Allah berdasarkan dalil daripada ayat-ayat al-Qur’an dan tafsiran kebanyakan ahli tafsir mengenai ayat-ayat tersebut. Imam ibn Kathir dan Imam al-Mawardi Rahimahumullah pula telah menukilkan pendapat-pendapat lain mengenai status Nabi Khidir AS, tetapi mereka hanya sekadar menyebutnya tanpa memberikan apa-apa tarjih ke atas mana-mana pandangan.

Kami juga ingin menukilkan apa yang ditulis oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh Rahimahullah dalam tahfiq beliau ke atas kitab Sahih ibn Hibban berdasarkan apa yang dinukilkannya daripada al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah:

وَكَانَ بَعْضُ أَكَابِر العُلَماءِ يَقُولُ: أَوَّل عَقْدٍ يُحِلُّ مِنْ الزَّنْدَقَةِ اِعْتِقَاد كُونِ الخضر نَبِيًّا لِأَنَّ الزَّنَادِقَةَ يَتَزَرَعُونَ بِكَوْنِهِ غَيْرَ نَبِيٍّ إِلَى أَنَّ الوَلِيَّ أَفْضَلُ مِنْ النَّبِيِّ

Maksudnya: “Sebahagian ulama’-ulama’ besar mengatakan: Ikatan pertama yang dirosakkan oleh orang-orang zindik (orang yang sesat) adalah mengenai status Khidir sebagai seorang nabi. Ini kerana orang-orang zindik memanfaatkan status Khidir sebagai seorang yang bukan nabi untuk beralasan bahawa wali lebih baik daripada nabi”. Rujuk al-Isobah fi Tamyiz as-Sohabah (2/248), Tahqiq Sahih Ibnu Hibban (14/110).

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.