AL-KAFI #1292: HUKUM MENGEBUMIKAN MAYAT BERSAMA AL-QURAN DAN MEWASIATKANNYA

ELKAFI 1292

SOALAN:

Assalamualaikum Dato’ SS Mufti. Saya ingin bertanya, apakah hukum mengebumikan mayat bersama dengan al-Quran seperti yang diwasiatkan oleh si mati ketika hayatnya? Mohon penjelasan Tuan Mufti.

Terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat. Allah SWT mengagungkan dan memuliakan kedudukan al-Quran al-Karim sebagai kitab suci di sisiNya. Antara keagungan dan kemuliaan al-Quran ialah Allah SWT menjaganya daripada diselewengkan oleh tangan-tangan jahat seperti yang telah dilakukan kepada kitab-kitab suci sebelumnya seperti Injil dan Taurat. Allah SWT berfirman:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

(Surah al-Hijr: 9)

Telah berlaku ijma’ dalam kalangan ulama’ Islam wajib untuk mengagungkan mushaf al-Quran, menghormatinya, menjaganya dan memeliharanya daripada segala perkara yang kotor dan menjijikkan. Para fuqaha’ telah menetapkan bahawa seseorang itu wajib suci daripada hadath kecil dan besar terlebih dahulu sebelum memegang mushaf al-Quran. Haram bagi perempuan yang berada dalam keadaan haid dan nifas, serta orang yang berhadath untuk menyentuhnya. Allah SWT berfirman: 

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: (Al-Quran itu) yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.

(Surah al-Waqi’ah: 79)

Disebabkan hal ini, Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang untuk lembaran al-Quran al-Karim dibawa bermusafir ke wilayah negara musuh. Ini kerana dikhuatiri bahawa al-Quran sampai ke tangan musuh, lalu mereka mencemarkan kemuliaan dan kesucian al-Quran. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1:79)

Allah SWT menyifatkan al-Quran dengan ‘al-‘azim’ bermaksud yang agung dan dengan ‘al-karim’ bermaksud yang mulia. Justeru itu dapatlah difahami bahawa Allah SWT mengagungkan dan memuliakan al-Quran tersebut sebagai kitab suci yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Begitulah betapa Allah SWT mengagungkan al-Quran al-Karim sebagai kitab suci yang terakhir diutuskan kepada Nabi Muhammad SAW. Berbalik kepada hukum mengebumikan mayat bersama dengan al-Quran, hukumnya adalah haram serta tidak boleh untuk mewasiatkan perkara tersebut kerana beberapa sebab: 

Disamping itu, Syeikh Hasanain Makhluf dalam fatwanya menyatakan: “Tidak syak lagi bahawa mayat yang dikebumikan akan mengalami proses pereputan yang menyebabkan keluar najis dan cecair yang kotor daripada jasadnya. Jika diletakkan mushaf al-Quran bersama-sama dengan mayat di dalam kubur, maka sudah tentu najis dan kotoran tersebut akan terkena al-Quran dan akan mengotorinya. Justeru itu, perkara tersebut menyebabkan perbuatan meletakkan mushaf al-Quran bersama dengan mayat di dalam kubur adalah haram dari sudut syarak.” (Rujuk Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiah, 1:45)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum mengebumikan mayat bersama dengan al-Quran adalah haram atas sebab akan terdedah kepada penghinaan dan tidak hormat terhadap kesucian alQuran daripada perbuatan tersebut.

Begitu juga, tidak boleh untuk mewasiatkan untuk meletakkan al-Quran bersama mayat kerana perkara tersebut perbuatan yang haram dari sudut syarak. Jika si mati telah mewasiatkan perkara tersebut, waris daripada ahli keluarga si mati tidak perlu untuk melaksanakannya.

Sebaliknya, kami mencadangkan bahawa al-Quran tersebut diwaqafkan di tempat yang sesuai untuk dimanfaatkan oleh orang ramai seperti surau, masjid, madrasah tahfiz dan yang seumpamanya. Maka, pahala orang yang membaca al-Quran tersebut akan terus mengalir kepada si mati selama mana ia dimanfaatkan oleh orang ramai.

Selain itu, haruslah juga kita menginsafi bahawa meletakkan mushaf al-Quran sahaja tidak membantu menyelamatkan kita dari azab kubur kelak. Yang membantu kita menghadapi ujian di dalam alam kubur kelak ialah amalan bacaan al-Quran dan amal soleh yang kita lakukan semasa masih hidup. Dalam satu haditih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.

Hadith riwayat Muslim: (1631)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih kepada kita terhadap agamanya dan memberikan taufiq kepada kita untuk terus melakukan ibadah dengan ikhlas kepadaNya. Amin.

WaAllahu a’lam.