AL-KAFI #1313: PERTELINGKAHAN MANUSIA DI HADAPAN ALLAH SWT PADA HARI KIAMAT

 kafi pertelingkahan manusia.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Saya pernah mendengar bahawa pada hari Kiamat nanti, kita akan saling bertengkar, bertelingkah dan bermusuh-musuhan di hadapan Allah SWT. Benarkah begitu?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

Maksudnya: Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.

Surah al-Zumar (31)

Ibnu 'Abbas R.Anhuma diriwayatkan berkata:

نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ , وَمَا نَعْلَمُ فِي أَيِّ شَيْءٍ نَزَلَتْ {ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِنْدَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ} قُلْنَا : مَنْ نُخَاصِمُ ، لَيْسَ بَيْنَنَا وَبَيْنَ أَهْلِ الْكِتَابِ خُصُومَةٌ ؟ حَتَّى وَقَعَتِ الْفِتْنَةُ ، قَالَ ابْنُ عُمَرَ: هَذَا الَّذِي وَعَدَنَا رَبُّنَا أَنْ نَخْتَصِمَ فِيهِ

Maksudnya: “Ayat ini telah turun dan kami tidak mengetahui berkenaan apakah ayat ini diturunkan. Kami bertanya: Dengan siapakah kami saling bertelingkah? Di antara kami dengan Ahl al-Kitab tidak terjadi permusuhan. Maka dengan siapa kami saling bertelingkah? Sehinggalah berlaku zaman fitnah, lalu Ibn Umar R.Anhuma berkata: Inilah yang dijanjikan oleh Rabb kami Azza wa Jalla, di mana kami saling bertelingkah padanya.”

Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11383)

Imam al-Tabari menukilkan bahawa Ibnu 'Abbas R.Anhuma turut berkata:

يُخَاصِمُ الصَادِقُ الْكَاذِبَ ، وَالْمَظْلُومُ الظَّالِمَ ، وَالْمُهْتَدِي الضَّالَّ ، وَالضَّعِيفُ الْمُسْتَكْبِرَ

Maksudnya: "Orang yang jujur bertengkar dengan pendusta, orang yang dizalimi dengan orang yang dizalimi, orang yang mendapat hidayah dengan orang yang sesat dan orang yang lemah dengan orang yang sombong." (Lihat Jami’ al-Bayan fi Tafsir al-Quran, 20/201. Lihat juga Tafsir al-Quran al-Azim, 7/105 dan Ma’alim al-Tanzil, 7/118)

Abu Sa'id al-Khudri R.A berkata: Dulu kami berkata, "Tuhan kita sama, agama kita sama dan Nabi kita pun juga sama, lantas apa penyebab perbantahan itu? Kemudian ketika Perang Siffin, sebahagian daripada kami memerangi sebahagian yang lain. Maka ketika itu, kami pun faham." (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 18/276)

Ibnu Zaid pula berkata: "Yang dimaksudkan adalah orang-orang Islam dan orang-orang kafir." (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 7/105)

Al-Wahidi berkata: “Yakni orang yang beriman dengan orang kafir serta orang yang dizalimi dengan orang yang zalim.” (Lihat al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-'Aziz, 8/100)

Imam Ibn Kathir setelah menukilkan pendapat-pendapat yang pelbagai, menyebut: “Pendapat yang sahih adalah bersifat umum. Wallahu a'lam.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 7/105)

Imam al-Suyuti berkata: Orang yang dizalimi menuntut (haknya) daripada orang yang zalim, orang yang dhaif daripada yang menindas, sehinggalah setiap mereka dipulangkan hak-hak mereka. Apabila telah dipulangkan hak masing-masing, maka diperintahkan kepada ahli syurga untuk masuk ke syurga manakala ahli neraka untuk masuk ke dalam neraka.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/16)

Syeikh al-Maraghi mentafsirkan ayat di atas dengan menyebut: “Kamu semua akan mati, dan mereka juga akan mati. Kemudian kamu akan berbantah-bantahan dengan mereka di hadapan Tuhanmu. Dalam hal ini, kamu akan dapat mengalahkan hujah-hujah mereka sehingga ternyatalah kamu benar-benar telah menyampaikan risalah Allah SWT, namun mereka tetap juga mendustakanmu.

Kemudian antara orang musyrik itu bertengkar dan saling melimpahkan tanggungjawab kesesatan masing-masing. Orang yang dahulu hanya sebagai pengikut berkata: “Kami telah mengikut kamu, tetapi kamu menyesatkan kami.” Sedangkan orang yang menjadi pemimpin mereka berkata: “Kami sendiri disesatkan oleh syaitan dan oleh bapa kami yang terdahulu.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5888)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir (12/250-253) berkata: Di hadapan Allah SWT, dilaksanakan pengadilan berkait dengan perselisihan mereka di dunia daripada tauhid dan syirik. Allah SWT akan menghakimi di antara kamu, lalu menyelamatkan orang-orang Mukmin yang mukhlis dan muwahhid dan mengazab orang-orang kafir yang ingkar, musyrik dan mendustakan.

Ayat (ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ) tidak hanya khusus berkait dengan perselisihan antara orang-orang Mukmin dan orang-orang kafir di akhirat. Ayat ini bersifat umum mencakupi semua orang yang bersengketa ketika di dunia, lalu di akhirat persengketaan mereka diteliti dan diadili. Ini juga menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW akan berhujah dengan kaum Baginda dan membentangkan hujah bahawa Baginda telah menyampaikan risalah kepada mereka dan memperingatkan mereka, namun mereka membantah dan menyanggah dengan dalih yang tidak bermakna. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 12/250-253)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Zubair bin Awwam, dia berkata: Ketika turunnya ayat 30 dan 31 Surah al-Zumar (di atas), Zubair bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara yang terjadi di antara kita di dunia akan diungkit kembali di samping dosa-dosa peribadi?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ

Maksudnya: Ya, benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya.

Riwayat al-Tirmizi (3236), Ahmad (1434) dan
al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (10638)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada 'Uqbah bin Amir, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

أَوَّلُ خَصْمَيْنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ جَارَانِ

Maksudnya: Dua orang yang pertama yang akan berbantah-bantahan pada hari Kiamat adalah dua orang yang berjiran.

Riwayat Imam Ahmad (17372) dan al-Tabarani
dalam al-Mu’jam al-Kabir (836)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri R.A, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، إِنَّهُ لَيَخْتَصِمُ حَتَّى الشَّاتَانِ فِيمَا انْتَطَحَتَا

Maksudnya: Demi jiwaku yang berada dalam genggaman-Nya, sungguh setiap sesuatu akan bersengketa. Bahkan dua ekor kambing akan bersengketa berkaitan perkara yang menyebabkan keduanya saling menanduk.

Riwayat Imam Ahmad (11238)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Anas R.A, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

يُجَاءُ بِالإِمَامِ الْخَائِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، فَتُخَاصِمُهُ الرَّعِيَّةُ ، فَيفلحوا عَلَيْهِ ، فَيُقَالُ لَهُ: سُدَّ ركنا من أَرْكَانِ جَهَنَّمَ

Maksudnya: “Pada hari Kiamat, didatangkan seorang pemimpin yang khianat, lalu rakyatnya berhujah dengannya. Akhirnya mereka menang ke atas dirinya. Lalu dikatakan kepadanya: Ke sana! Tempati salah satu sudut neraka Jahannam.”

Riwayat al-Bazzar (7004)

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami nukilkan kenyataan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili yang menyebut: Pengakhiran makhluk adakah kesemuanya akan kembali kepada Allah SWT untuk menjalani hisab, penyelesaian pelbagai persengketaan mereka, memberi hukuman adil buat mereka, baik orang-orang Mukmin mahupun orang-orang kafir. Maka orang kafir dan orang Mukmin, pelaku kezaliman dan korban kezaliman, kesemuanya di akhirat akan saling berbantah-bantahan. Dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, disebutkan: "Perbantahan pada hari Kiamat sehinggalah pada keadaan di mana ruh berbantah-bantahan dengan jasadnya."

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَتْ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ مِنْ أَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ مَالِهِ فَلْيَتَحَلَّلْهُ الْيَوْمَ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ حِينَ لَا يَكُونُ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ ، وَإِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَجُعِلَتْ عَلَيْهِ

Maksudnya: Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham. Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya.

Riwayat al-Bukhari (2282), al-Tirmizi (2356), Ahmad (10357)
dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (10587)

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bertanya:

أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ؟ قَالُوا : الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ ، فَقَالَ : إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ ، وَصِيَامٍ ، وَزَكَاةٍ ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا ، وَقَذَفَ هَذَا ، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا ، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا ، وَضَرَبَ هَذَا ، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Maksudnya: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?" Para sahabat menjawab: "Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda." Baginda bersabda: "Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, Namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”

Riwayat Muslim (2581), Ahmad (8829) dan
al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (338)

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada golongan mereka dinaungi rahmat-Nya serta diselamatkan daripada azab-Nya. Amin.