AL-KAFI #1357: UMUR KAMBING UNTUK DILAKSANAKAN AQIQAH

 umur kambing utk aqiqah.JPG

SOALAN

Saya ingin bertanya kepada mufti berkenaan umur kambing untuk diaqiqahkan. Setahun sehari atau dua tahun satu hari?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Aqiqah adalah salah satu daripada syiar Islam yang disunatkan ketika menyambut kelahiran bayi sama ada bayi lelaki atau bayi perempuan sebagai melambangkan rasa syukur kepada Allah SWT di atas kurniaan anak. Asal kepada pensyariatan aqiqah ini disandarkan kepada perbuatan Baginda Nabi SAW sendiri ketika menyambut kelahiran cucu Baginda. Ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata:

عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ رضى الله عنهما بِكَبْشَيْنِ كَبْشَيْنِ

Maksudnya: (Baginda SAW) melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husain R.Anhuma, dua ekor kambing (untuk Hasan) dua ekor kambing (untuk Husain).

Riwayat Abu Daud (2841)

Imam al-Nawawi menyatakan hukum bagi aqiqah adalah sunat muakkad. Lihat al-Majmu’(8/408). Manakala dari sudut bilangan kambing untuk diaqiqahkan, kami telahpun menjawab di dalam artikel yang bertajuk: Al-Kafi #1013: Hukum Menyembelih Dua Ekor Kambing Aqiqah Secara Berasingan[1].

 

Perbezaan Nama

Kami mengemukakan di sini jenis kambing atau biri-biri yang dipanggil dalam bahasa Arab berdasarkan yang makruf dan masyhur. Begitu juga dalam memberi pencerahan, kami sertakan gambar foto nama binatang yang berkaitan. Antaranya:

download.jpg

280px-Barbary_Sheep_Tennoji.jpg

 

sheep-farming.jpg

hqdefault.jpg

 

kharuffff.JPG

   kambing biasaaaaa.JPG

Di sana terdapat juga jenis-jenis kambing seperti:

boer.jpg

katjang.jpg

 

CASHMERE.jpg

saneen.jpg

Toggau.jpg

 

alpine-goat.jpg

anglo.jpg

jamna.jpg

Semua penerangan jenis kambing boleh diakses dalam banyak laman web dan carian google.

Menjawab persoalan berkenaan umur kambing untuk aqiqah, Syeikh Muhammad al-Zuhaily menyebutkan bahawa syarat-syarat binatang sembelihan untuk diaqiqahkan adalah mengikut syarat binatang sembelihan korban. Maka umur binatang sembelihan adalah seperti berikut:

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/563) menyebut: “Umur kambing (المعز) yang hendak diqurban disyaratkan telah masuk tahun ketiga, manakala umur biri-biri (الضأن) pula telah masuk tahun kedua atau telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

نِعْمَتِ الْأُضْحِيَّةُ الْجَذَعُ مِنْ الضَّأْنِ

Maksudnya: Biri-biri yang paling baik dibuat qurban ialah yang dalam usia Jaza’”

Riwayat al-Tirmizi (1499)

Syeikh Ali bin al-Syeikh Ahmad berkata: Al-Jaza' (الْجَذَعُ) adalah biri-biri yang berusia setahun dan masuk ke dua tahun. (Lihat al-Siraj al-Munir Syarh al-Jami' al-Saghir fi Hadis al-Basyir al-Nazir, 4/355)

Pada pendapat kami, ini boleh jadi dagingnya lembut dan enak.

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, umur bagi kambing yang hendak dikorbankan hendaklah genap dua tahun atau sedang masuk tahun ketiga sekiranya yang dimaksudkan oleh soalan ialah kambing biasa.

Sekiranya yang dimaksudkan adalah biri-biri, maka umurnya mestilah genap setahun atau sedang masuk tahun kedua. (Rujuk juga Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiah, hlm. 698)

Kami berpendapat, boleh jadi sifat biri-biri dan jenisnya cepat membesar berbanding kambing kampung atau kambing biasa. Hal ini amat jelas apabila kita melihat betapa besarnya biri-biri di Australia, New Zealand dan lain-lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita dengan lebih baik di samping sentiasa memperolehi taufiq dan hidayah dalam memahami syariat-Nya. Amin

[1] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2965-al-kafi-1013-hukum-menyembelih-dua-ekor-kambing-aqiqah-secara-berasingan?highlight=WyJ1bXVyIiwiYXFpcWFoIl0=