AL-KAFI #1371 : HUKUM SOLAT DI BELAKANG IMAM YANG TIDAK BETUL TAKBIRATUL IHRAMNYA

af 1371 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya hendak bertanya saya tahu bahawa takbiratul ihram merupakan salah satu rukun qauli yang wajib untuk dilakukan di dalam solat. Akan tetapi soalan saya, apakah hukum solat di belakang orang tidak betul takbiratul ihramnya. Sebagainya contoh ketika menyebut الله أكبر dia memanjangkan alif dengan kadar yang lebih dari biasa. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Takbiratul ihram merupakan salah satu rukun qauli yang tidak boleh ditinggalkan. Ini berdasarkan teguran Nabi SAW kepada seorang lelaki yang buruk solatnya kerana dia solat dalam keadaan yang tidak sempurna. Nabi SAW bersabda :

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا

Maksudnya :” Jika engkau telah berdiri untuk menunaikan solat maka bertakbirlah kemudian bacalah apa-apa daripada Al-Quran yang mudah bagi engkau kemudian rukuklah sehingga engkau tenang sebentar ketika rukuk. Kemudian bangun semua sehingga engkau betul-betul berdiri. Kemudian sujudlah sehingga engkau tenang sebentar ketika sujud. Kemudian bangun sehingga engkau tenang sebentar ketika duduk kemudian sujudlah sehingga engkau tenang sebentar ketika sujud. Kemudian lakukanlah perbuatan tersebut di dalam kesemua solat engkau.”

Riwayat Al-Bukhari (757 &759)

Al-Imam Al-Nawawi menyebut :

“Ketahuilah bahawa solat tidak akan sah tanpa takbiratul ihram. Sama ada solat fardu atau solat sunat. Kesemua ulama bermazhab Syafi’i dan lain-lain menyatakan bahawa takbiratul ihram ada sebahagian daripada solat dan ianya termasuk di dalam rukun solat.” (Rujuk Al-Azkar, 1/89)

Bahkan beliau menyatakan bahawa jika imam atau makmum meninggalkan takbiratul ihram secara sengaja ataupun terlupa maka solatnya tidak diangggap sebagai solat yang sah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/291)              

Takbiratul ihram juga merupakan satu perbuatan yang mengharamkan segala perbuatan yang boleh membatalkan solat seperti bercakap, makan, minum dan lain-lain. Daripada Ali R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

Maksudnya : “Kunci bagi solat ialah bersuci, yang mengharamkan (dari perkara membatalkan solat) adalah takbir dan penyelesainya ialah salam.”

Riwayat Abu Daud (58)

Lafaz takbiratul ihram ialah الله أكبر. Jika seseorang menyebutkan selain daripada lafaz الله أكبر maka solatnya terbatal kerana dianggap tidak sah. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Malik Bin Al-Huwairith. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda :

صلُّوا كما رأيتُموني أُصلِّي

Maksudnya : "Solatlah seperti mana kalian melihat aku solat..

Riwayat Al-Bukhari (6819)

Bahkan para ulama meletakkan beberapa syarat bagi takbiratul ihram agar ianya boleh disempurnakan dengan cara yang betul. Sheikh Al-Sayyid Al-Bakri Al-Dimyati menyebut :

شروط لتكبير سماعك أن تقم***وبالعربي تقديمك الله أولا
ونطق بأكبر لا تمد لهمزة***كباء بلا تشديدها وكذا الولا
علي الألفات السبع في الله لا تزد***كواو ولا تبدل لحرف تأصلا
دخول لقوت واقتران بنية***وفي قدوة أخر وللقبلة اجعلا
وصارفا اعدم وقطعن همزة أكبر***لقد كملت عشرون تعدادها انجلا

“ Syarat bagi takbiratul ihram ialah :

  1. Mendengar sendiri bacaan Al-Fatihah
  2. Berdiri dengan betul ketika membaca
  3. Dengan bahasa arab
  4. Menyebut lafaz Allah dahulu kemudian baru lafaz Akbar
  5. Tidak boleh memanjangkan hamzah
  6. Tidak boleh mentasydidkan huruf Ba’
  7. Tidak boleh memanjangkan huruf Ba’
  8. Tidak boleh menambah huruf wau
  9. Tidak boleh menukar mana-mana huruf
  10. Masuk waktu
  11. Takbiratul ihram sambil disertakan dengan niat
  12. Ketika menjadi makmum dilambatkan takbir
  13. Menghadap kiblat
  14. Pada lafaz Akbar menggunakan hamzah qoto’ (Rujuk Nail Al-Raja’ Fi Syarh Safinat Al-Naja, hlm 72)

Kembali kepada persoalan yang telah dikemukakan, jika seseorang imam melakukan kesalahan ketika takbiratul ihram dan kesalahan itu adalah kesalahan yang tidak merosak maksud maka solatnya tetap sah. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Syihabuddin Ahmad Al-Qalyubi bahawa jika kesalahan itu kesalahan yang kecik maka tidak merosakkan solatnya.(Rujuk Hasyiah Al-Qalyubi ‘Ala Syarh Al-Muhalla ‘Ala Minhaj Al-Talibin, 1/162).

Begitu juga keadaannya bagi imam-imam yang ada sedikit pelat ketika melafazkan takbiratul ihram. Solatnya tetap sah dan tidak merosakkan solat. Ibnu Hajar Al-Haitami menyebut bahawa jika seseorang ada sedikit pelat seperti huruf Ra’ bertukar menjadi huruf tidak mengapa dan sah solatnya dengan syarat keluar dari makhraj yang sama walaupun tidak jelas. (Rujuk Tuhfah Al-Minhaj Bi Syarh Al-Minhaj,7/295).

Namun begitu, jika kesalahannya terlalu jelas sehingga merubah makna seperti memanjangkan huruf alif pada lafaz الله kami melihat itu sememangnya satu kesalahan yang besar. Ini kerana jika seseorang memanjangkan huruf alif pada lafaz الله maka ia akan membawa kepada maksud yang lain iaitu dengan lafaz أالله . Lafaz ini adalah lafaz syak terhadap kewujudan Allah.

Al-Khatib Al-Syarbini menyebut tidak boleh memanjangan huruf alif pada lafaz jalalah. (Rujuk Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’, 1/197).

Sheikh Muhammad Nawawi Al-Jawi Al-Bantani menyebut bahawa jika alif pada lafaz الله dipanjangkan maka ia akan mengubah struktur ayat daripada khabar insya’i kepada lafaz istifham (kata tanya). Ini jelas-jelas membawa kepada kekufuran kerana mempersoalkan kewujudan Allah. (Rujuk Kasyifah Al-Saja Syarh Safinat Al-Naja, hlm 240).

Kesimpulannya, jika seseorang imam melakukan kesalahan yang kecil yang mana tidak mengubah makna dari takbiratul ihram maka solatnya tetap sah. Akan tetapi sebaliknya jika kesalahan itu besar sehingga mengubah makna maka solatnya tidak sah dan batal kerana takbiratul ihram adalah rukun yang utama di dalam solat.

Oleh sebab itu kami menasihati agar para imam sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan khususnya berkaitan fiqh solat. Ini adalah sebagai satu bekalan agar solat yang dilakukan betul-betul di atas landasan ilmu yang dipelajari bukan hanya mengagak-agak sehingga boleh mendatangkan kesan kepada makmum. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud Al-Ansari :

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِى الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ

Maksudnya : “Yang menjadi imam bagi satu-satu kaum adalah mereka yang mahir terhadap kitabullah. Jika kesemuanya sama tahap maka yang menjadi imam adalah yang tahu dan mahir di dalam sunnah.

Riwayat Muslim (1564)

Semoga Allah mengurniakan kefahaman kepada kita semua.Wallahua’alam.