AL-KAFI #1416: NISAB ZAKAT KERBAU SERTA KERBAU YANG BEKERJA

 

AK1416.PNG

SOALAN

Assalamualaikum wbt Dato’ Seri Mufti. Saya bekerja sebagai penternak kerbau di mana saya mempunyai sebanyak 25 ekor kerbau di dalam kandang. 5 ekor daripada jumlah lembu tersebut saya gunakan untuk bekerja di sawah milik saya sebagai tenaga buruh menarik bajak. Bagaimanakah pengiraan nisab zakat yang wajib dikenakan ke atas ternakan belaan saya? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Mengeluarkan zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima dimana ianya wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah cukup syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh al-Maraghi menyebut, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888)

Nisab binatang ternakan seperti lembu dan kerbau yang dikenakan zakat adalah 30 ekor dan haulnya adalah setahun cukup pemilikan ke atasnya. Nisab bermaksud jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi sesuatu harta yang wajib dikeluarkan zakat. Justeru, sekiranya harta yang dimiliki seseorang mukallaf tidak sampai kepada jumlah tersebut, maka zakat tidak diwajibkan ke atasnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/29)

Jumlah nisab yang dinyatakan ini adalah berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Mu’az R.A, katanya:

بَعَثَنِى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَمَنِ، فَأَمَرَنِي أَنْ آخُذَ مِنْ كُلِّ ثَلاَثِينَ بَقَرَةً تَبِيعًا أَوْ تَبِيعَةً، وَمِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ مُسِنَّةً

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengutusku ke Yaman. Baginda menyuruhku mengambil zakat daripada setiap 30 ekor lembu, seekor lembu yang setahun, jantan atau betina dan daripada setiap 40 ekor lembu, zakatnya lembu betina 2 tahun.” [Riwayat al-Tirmizi (623) dan Abu Daud (1576)]

Berdasarkan kepada hadith ini, sekiranya jumlah lembu atau kerbau yang dimiliki mencapai jumlah 30 ekor, maka wajib dikeluarkan zakat iaitu seekor lembu berumur setahun.

Dalam isu lembu atau kerbau yang digunakan untuk bekerja di sawah bendang sebagai tenaga buruh menarik bajak, ianya dikecualikan di dalam nisab yang diwajibkan zakat. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW telah bersabda:

لَيْسَ فِي اَلْبَقَرِ اَلْعَوَامِلِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat pada lembu yang digunakan untuk membuat kerja.” [Riwayat Abu Daud (1573) dan al-Tabrani (987) Imam al-Sayuti menghukum hadith ini sebagai ‘hasan’ dalam kitabnya al-Jami’ al-Saghir.]

Berdasarkan kepada persoalan di atas, bilangan 25 ekor kerbau yang dimiliki tersebut adalah tidak wajib dikenakan zakat kerana nilai tersebut masih belum memenuhi jumlah nisab zakat ternakan lembu dan kerbau iaitu 30 ekor. Begitu juga, jumlah 25 ekor tersebut akan dikira berkurangan kerana sebanyak 5 ekor daripada jumlah tersebut digunakan sebagai tenaga buruh di sawah bendang di mana ianya dikecualikan dalam pengiraan nisab wajib zakat.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kewajipan berzakat ke atas orang Islam merupakan satu sumber ekonomi utama umat Islam sejak dahulu lagi. Kewajipan berzakat ini jatuh kepada jenis-jenis harta tertentu seperti emas dan perak, haiwan ternakan, tanam-tanaman, perniagaan dan lain-lain. Zakat bagi ternakan seperti lembu dan kerbau adalah wajib sekiranya mencapai nisab 30 ekor dan haul setahun. Bagi haiwan yang digunakan untuk bekerja, haiwan tersebut tidak dikira di dalam jumlah nisab yang diwajibkan tersebut.

Semoga pencerahan serta penjelasan di atas memberi kefahaman kepada kita semua dalam memahami serta mengamalkan syariat Islam dalam kerangka syarak yang sebenar. Amin.