AL-KAFI #1499: HUKUM PERTANDINGAN MENAMPAR MUKA

pertandingan tampar muka.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum pertandingan menampar muka?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami terlihat di dalam facebook satu pertandingan menampar pipi kepada lawan masing-masing. Setelah dilihat dan diamati, kami berpendapat hukumnya adalah haram. Ini kerana:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah Al-Baqarah (195)

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh seseorang itu memberi kemudaratan atau membalas kemudaratan dengan kemudaratan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibnu Majah (2340)

إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu memukul maka jauhilah muka.”

Riwayat Ahmad (7323)

Manakala dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبْ الْوَجْهَ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka.”

Riwayat al-Bukhari (2559) dan Muslim (6817)

Imam Nawawi menyebut: Hadis ini menyebut secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana ia sesuatu yang lembut yang menghimpunkan segala keelokan. Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga sering terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mengurangkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas lagi zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi. Apabila ia dipukul maka biasanya tidak selamat dari berlakunya kecacatan. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 8/437)

Imam al-Son’ani pula menyebut: Hadis ini merupakan dalil haram memukul muka dan ia (muka) dielakkan, tidak dipukul, tidak ditampar sekalipun dalam hudud yang disyariatkan dan sekalipun dalam jihad). (Lihat Subul al-Salam, 7/161)

Semoga jawapan ringkas ini memberi satu pencerahan serta mudah-mudahan ia tidak menjadi amalan atau sukan yang dibawa ke Malaysia. Di sana terlalu banyak sukan yang lebih baik untuk membina fizikal, akal dan kecekapan.