AL-KAFI #1512 : MANA LEBIH UTAMA, SOLAT AWAL WAKTU SENDIRIAN ATAU LEWAT TAPI BERJEMAAH?

SOLAT SENDIRI JEMAAH.JPG

 

Soalan:

Antara solat pada awal waktu dengan solat berjemaah, mana patut diutamakan? Contohnya si isteri ingin solat pada awal waktu, tetapi suami jenis solat lewat tetapi ingin berjemaah bersama.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri Baginda, keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat pada awal waktu dan solat berjemaah sememangnya tsabit kelebihannya dalam banyak hadith, antaranya:

أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ ‏"‏ الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا ‏"‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ ‏"‏ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏"‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ ‏"‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏"‏‏

Maksudnya: Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT? Nabi menjawab “Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “Jihad pada jalan Allah SWT”.

Sahih al-Bukhari (5970)

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat sendirian sebanyak 27 rakaat.

Sahih Muslim (1509)

Maka pada asalnya, yang paling utama ialah menghimpunkan kedua-dua solat berjemaah dan dilakukan pada awal waktu. Namun apabila tidak mampu menghimpunkan kedua-duanya, mana yang lebih diutamakan? Menurut Imam Nawawi, para ulama mazhab Syafie berselisih pandangan dalam isu ini.

Abu al-Qasim al-Daraki, Abu Ali al-Tobari dan Imam al-Mawardi mengutamakan kelebihan solat berjemaah meskipun lewat berbanding solat sendirian pada awal waktu, sementara Imam al-Juwaini dan Imam al-Ghazali mengutamakan solat sendirian pada awal waktu ke atas melewatkan solat untuk mendapat kelebihan berjemaah.

Imam al-Ruyani pula membawakan dua nukilan daripada Imam al-Syafie yang saling bertentangan, di mana nukilan pertama daripada kitab al-Imlaa’ yang mewakili qaul qadim (pandangan lama) mazhab Syafie yang mensunatkan melewatkan solat untuk mendapat pahala berjemaah, manakala nukilan kedua daripada kitab al-Umm (qaul jadid atau pandangan baharu) pula mengutamakan solat sendirian pada awal waktu.

Qadhi Abu al-Toyyib pula meletakkan syarat, jika diyakini akan dapat berjemaah, maka melewatkan solat itu lebih utama, adapun jika diyakini tidak sempat berjemaah, maka lebih baik solat pada awal waktu secara sendirian.

Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa yang paling afdhal ialah isteri solat pada awal waktu secara sendirian terlebih dahulu untuk mendapat kelebihan awal waktu, kemudian dia solat bersama suami untuk kelebihan berjemaah.

Namun jika hanya ingin berpada dengan solat sekali sahaja, maka yang lebih afdhal ialah menunggu suami untuk solat berjemaah, dengan syarat diyakini akan dapat berjemaah, dan masih banyak waktu berbaki. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 2/262-263)

Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Dzar R.A bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya:

كَيْفَ أَنْتَ إِذَا بَقِيتَ فِي قَوْمٍ يُؤَخِّرُونَ الصَّلاَةَ عَنْ وَقْتِهَا ‏"‏ ‏.‏ قَالَ قَالَ مَا تَأْمُرُ قَالَ ‏"‏ صَلِّ الصَّلاَةَ لِوَقْتِهَا ثُمَّ اذْهَبْ لِحَاجَتِكَ فَإِنْ أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَأَنْتَ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلِّ

Maksudnya: “Bagaimana keadaanmu sekiranya kamu berada di dalam kalangan satu kaum yang melewatkan solat mereka?” Abu Dzar bertanya Nabi SAW.: “Apa yang kamu perintahkan supaya aku lakukan?” Nabi SAW bersabda: “Solatlah pada waktunya, kemudian pergilah tunaikan hajatmu. Sekiranya solat jemaah didirikan dan engkau pada waktu itu berada di dalam masjid, solatlah bersama mereka pula.”

Sahih Muslim (648) dan Sunan al-Nasa’ie (859)

Begitu juga dengan hadith lain, di mana Nabi SAW bersabda:

لَعَلَّكُمْ سَتُدْرِكُونَ أَقْوَامًا يُصَلُّونَ الصَّلاَةَ لِغَيْرِ وَقْتِهَا فَإِنْ أَدْرَكْتُمُوهُمْ فَصَلُّوا الصَّلاَةَ لِوَقْتِهَا وَصَلُّوا مَعَهُمْ وَاجْعَلُوهَا سُبْحَةً

Maksudnya: Kelak kalian akan bertemu dengan sekolompok manusia yang solat di luar waktunya (di luar waktu ikhtiyar); jika ini berlaku, hendaklah kalian tetap solat pada waktunya, dan solatlah sekali lagi bersama mereka, dan solat yang kedua itu menjadi solat sunat bagi kalian.

Sunan al-Nasa’ie (779)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, yang terbaik ialah untuk isteri solat pada awal waktu secara sendirian terlebih dahulu, kemudian solat berjemaah bersama suami, dan solat yang kedua menjadi solat sunat baginya. Adapun jika ingin berpada dengan solat sekali sahaja, maka lebih utama untuk menunggu suami dan melewatkan sedikit solat untuk mendapat kelebihan berjemaah, dengan syarat tidak sampai terlajak daripada waktu solat.

Situasi ini juga terpakai bagi solat jemaah bersama rakan sekerja di pejabat atau solat jemaah di musolla asrama, di mana dalam banyak keadaan solat berjemaah pada awal waktu tidak dapat dilakukan kerana kekangan jadual kerja dan kelas. Maka dalam keadaan ini, diutamakan untuk melewatkan sedikit solat berjemaah berbanding solat sendirian pada awal waktu.

Wallahu a’lam.