AL-KAFI # 1549: HUKUM MEMBACA AL-QURAN TANPA TADABBUR

 

alq

Soalan:

Adakah tidak digalakkan  membaca al-Quran sekiranya tanpa tadabbur? Hal ini kerana saya pernah dilarang  membaca al-Quran kerana tidak memahami maksudnya.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri Baginda, keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagai mukadimah kami bentangkan dalil-dalil  kelebihan serta ganjaran membaca al-Quran berdasarkan  beberapa riwayat berikut:

 Daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa  taat kepada Allah    dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

Riwayat riwayat Muslim (798) 

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan dua ganjaran yang diperolehi adalah daripada pembacaannya serta kepayahannya dalam membaca al-Quran.[Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (6/85)]

 Daripada Uthman RA, daripada Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

MaksudnyaOrang yang paling baik di antara kamu adalah seseorang yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya."

Hadis riwayat Bukhari: (5027)

Allah SWT akan mengurniakan kemuliaan dan kelebihan kepada mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. [Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari  (15/152)]. Pengajaran daripada hadis tersebut ialah umat Islam dituntut mempelajari al-Qur’an serta mengajarkannya sama ada untuk memperbetulkan bacaan,memahami isi kandungan dan beramal segala  hukum hakam yang telah ditetapkan [ Rujuk Nuzhat al-Muttaqin Syarh Riyaad al-Salihin (740)]

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi  SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ

وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya :. Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”.

[Hadis riwayat al-Tirmizi :2910, hadis  hasan]

Tuntutan Membaca Al-Quran Dengan Tadabbur

Tadabur menurut bahasa   adalah memikirkan di sebalik sesuatu akibatnya. Ia hampir dengan makna tafakkur. Namun makna tafakkur adalah menggerakkan hati atau memikirkan dalil. [Lihat Ta’lim tadabbur al-Quran al-Karim Asalib Amaliyyah wa Marahil Manhajiyyah,(11)]  Sementara, Ibn Kathir memberi makna tadabbur ialah  memahami makna  lafaz-lafaz  serta  berfikir tentang ayatnya yang  merangkumi  isyarat  peringatan, nasihat sehingga terkesan pada hati seterusnya  mengambil pengajaran  dan taat segala perintahNya.[  [ Lihat  Tafsir al-Quran al-Azim (1/8)]

Matlamat  al-Quran diturunkan bukan sekadar  untuk dibaca bahkan Allah menyeru seluruh hambanya untuk menghayati inti pati  al-Quran  sebagaimana firman-Nya:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Al-Quran ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan  kepdamu penuh dengan berkah supaya mereka memerhatikan  ayat-ayatNya, dan supaya  mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

 Surah Saad (29)

Imam al-Tabari  menyatakan  makna ayat tersebut ialah tujuan  penurunan  al-Quran supaya  umat Nabi Muhammad SAW  mentadabbur makna ayat al-Quran  serta beramal dengan segala yang telah disyariatkanNya. [al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari ( 20/79)]. Justeru, memahami isi kandungan al-Quran untuk diambil pelajaran dan diamalkan di dalam kehidupan.

Seterusnya, terdapat   teguran bagi  orang yang membaca al-Quran tetapi tidak berusaha memahami serta menghayati intipati al-Quran sebagaimana firman Allah swt:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

Surah Muhammad (24)

Berdasarkan ayat tersebut dapat difahami bahawa  mereka yang membaca al-Quran tanpa menghayati inti pati al-Quran, maka jantung hatinya terkunci mati  untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Quran. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Quran. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati inti pati al-Quran. [Tafsir adhwa’ al-Bayan tafsiral-Quran bi al-Quran (7/458)]. Disebalik kefahaman ayat tersebut, dapat juga  difahami bahawa sekiranya mereka membaca al-Quran dengan  tadabbur, maka  jiwa-jiwanya  mereka akan diberikan kelapangan untuk menerima hidayah serta hikmah daripada Allah ﷻ.

Kesimpulan

Tuntasnya, berdasarkan dalil yang dikemukakan, dapat difahami bahawa membaca al-Quran tanpa  memahami maksud  tetap diberikan ganjaran pahala. Namun, membaca  al-Quran dengan  penghayatan serta  memahami isi kandungannya jauh lebih baik berbanding membaca  ayat al-quran tanpa memahami makna isi kandungannya. Oleh itu, umat Islam digesa untuk memahami makna serta menghayati inti pati  kalamullah untuk diambil iktibar dan beramal terhadap segala perintah serta laranganNya. Tadabbur al-quran sangat dituntut agar memberi kesan kepada jiwa manusia sekaligus menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Akhir kalam, marilah kita berusaha memahami kalamullah dan berdoa agar al-Quran  menjadi penolong kita pada hari kiamat kelak sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ:

اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ

Maksudnya : "Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa'at kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya).

Sahih Muslim  (804)