AL-KAFI # 1565 : ADAKAH DIANGGAP NUSYUZ MEMOHON FASAKH SEKIRANYA SUAMI TERDAPAT AIB ?

fasakh

Soalan

Adakah isteri dianggap nusyuz jika memohon fasakh dalam keadaan suami yang terdapat aib?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri Baginda, keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat

Kami akan bahaskan konsep nusyuz seorang  isteri serta perkara yang membolehkan  fasakh bagi merungkaikan persoalan berkaitan tanggapan nusyuz sekiranya memohon fasakh dalam keadaan suami terdapat aib.

Definisi nusyuz  ialah isteri yang menderhakai suami  dengan mengingkari ketaatan terhadap suami yang diwajibkan Allah SWT.  Ulama empat mazhab berpendapat isteri nusyuz ialah isteri keluar daripada mentaati perintah suaminya. 

Antara sebab berlaku  nusyuz ialah isteri keluar rumah  mahupun musafir tanpa izin suami, tidak  membuka pintu untuk suaminya  masuk dan  tidak membenarkan suaminya menyetubuhi tanpa sebab keuzuran [al-Fiqh al-Manhaji (2/102-103)]. Walaubagaimanapun sabitan nusyuz seseorang isteri tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan ia memerlukan prosedur dan pembuktian di mahkamah syariah.  

Sementara maksud  fasakh adalah jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat aib-aib yang telah ditentukan syarak. Secara asasnya, para fuqaha’ telah menyenaraikan beberapa aib-aib yang dibolehkan untuk membawa kepada tuntutan fasakh. Aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, iaitu gila, kusta, sopak, faraj tersumbat dengan daging, faraj terhalang dengan tulang, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong [ Lihat al-Mu’tamad (4/96)].

Aib yang berlaku pada pasangan suami isteri   terbahagi kepada dua:

  1. Aib menghalang persetubuhan  seperti zakar terputus, mati pucuk, faraj tersumbat oleh tulang atau daging
  2. Aib yang tidak menghalang persetubuhan seperti penyakit yang menjijikkan atau mengundang bahaya seperti sopak, kusta dan gila

Aib tersebut jelas menunjukkan telah menghalang tujuan perkahwinan. Walaubagaimanapun sekiranya aib yang dialami oleh suami boleh dirawat dengan kaedah perubatan, maka sebab yang membolehkan fasakh telah gugur [al-Fiqh al-Manhaji  (2/ 109) ]. Kes tuntutan fasakh  memerlukan prosedur dan pembuktian di mahkamah syariah kerana hakim mempunyai kuasa untuk membubarkan  perkahwinan.

Bacaan tambahan berkaitan nusyuz dan fasakh pada  ruangan berikut:

Kesimpulan

Tuntasnya, berdasarkan hujah yang dikemukakan, seorang isteri tidak dikatakan nusyuz bahkan mempunyai hak untuk  menuntut fasakh  sekiranya terdapat aib  pada suami  seperti yang  telah ditentukan oleh syarak. Bagi kes tersebut, isteri perlu mengemukakan bukti perubatan kepada pihak mahkamah syariah. Namun, sekiranya sakit suami tersebut  tidak termasuk dalam perkara-perkara aib  yang  membolehkan fasakh dan boleh dirawat, maka  amatlah wajar seorang isteri berdamping   menjaga suaminya ketika sakit dan mencari alternatif untuk  mendapatkan rawatan. Akhir kalam,  semoga Allah  SWT memberi  kita kefahaman yang mendalam dalam beragama.  Ameen