AL-KAFI #1577: HAD UMUR TAHNIK BAYI

 

AK1577.png

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ingin bertanya, berapakah had umur bayi yang disunatkan untuk tahnik?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertamanya, kami sudah membahaskan sedikit sebanyak berkaitan hukum tahnik dalam artikel-artikel berikut, sila rujuk:

Dalam artikel di atas, kami telah menerangkan tentang hukum tahnik adalah sunat, manakala cara untuk mentahnik bayi yang baru lahir iaitu dengan sesuatu yang manis, seeloknya buah tamar dan ditahnikkan oleh seorang yang soleh dan bertaqwa.

Berbalik kepada soalan yang ditanya, secara asasnya bayi disunatkan untuk tahnik seawal usia dia dilahirkan. Hal ini berdasarkan kepada hadith daripada Anas bin Malik RA bahawa beliau membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari kepada Rasulullah SAW selepas Abdullah RA baru dilahirkan. Katanya:

ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ ‏"‏ هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ ‏"‏ ‏.‏ فَقُلْتُ نَعَمْ ‏.‏ فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ حُبُّ الأَنْصَارِ التَّمْرَ ‏"‏ ‏.‏ وَسَمَّاهُ عَبْدَ اللَّهِ

Maksudnya: “Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”

Hadith riwayat Muslim: (2144)

Berkaitan hal ini, Imam al-Nawawi juga menyebutkan dalam syarah Muslim:

أنَّ تحنيك المولودِ يومَ ولادته سُنَّةٌ بالإجماع، ويحنِّكُه صالحٌ مِن رجلٍ أو امرأةٍ، ويُسْتَحَبُّ التحنيكُ بالتمر

Maksudnya: Bahawasanya amalan tahnik bayi pada hari kelahirannya hukumnya adalah sunat secara ijma’ dan hendaklah ditahnikkan bayi tersebut dengan seorang lelaki soleh atau perempuan yang solehah. Disunatkan digunakan tamar untuk bertahnik. (Rujuk Syarh al-Minhaj ‘ala Sahih Muslim, 14:123)

Selain itu, Imam al-Bukhari telah menamakan satu bab di dalam kitab sahihnya dengan nama:

باب تسمية المولود غداة يولد لمن لم يعق عنه وتحنيكه

Maksudnya: Bab pada menyatakan perbuatan menamakan bayi dan mentahniknya pada waktu petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akikah. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9:399)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam mensyarahkan tajuk ini mengatakan bahawa, perbuatan mentahnik tersebut diikat dengan ‘waktu petang’ itu bagi mengikut kepada hadith yang ada di dalam bab tersebut. Ini kerana, jika seseorang bayi dilahirkan pada waktu pagi, maka ditahnikkan dan diberi namanya pada waktu petang. Ini menunjukkan bahawa tahnik disunatkan pada hari selepas bayi itu dilahirkan.

Begitu juga, dalam satu hadith yang diriwayatkan dalam bab ini, iaitu daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa beliau berkata:

ولد لي غلام فأتيت به النبي صلى الله عليه وسلم فسماه إبراهيم فحنكه بتمرة ودعا له بالبركة

Maksudnya: Telah lahir bagiku seorang anak lelaki, maka aku datang kepada Rasulullah SAW dan Baginda SAW menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji tamat serta mendoakannya dengan keberkatan.

Hadith riwayat al-Bukhari: (5467)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam syarahan hadith ini menyebutkan bahawa ia menunjukkan bahawa Abu Musa RA bersegera untuk membawa bayi yang dilahirkan kepada Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW mentahnikkannya selepasd diberikan nama. Ini bermakna Rasulullah SAW mempercepat perkara demikian seperti menamakan bayi (dan tahnik) pada hari pertama ia dilahirkan dan tidak perlu menunggu sehingga ke hari ketujuh. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9:502)

Berdasarkan nas di atas, jelaslah bahawa perbuatan mentahnik bayi seelok-eloknya pada hari yang sama bayi tersebut dilahirkan. Jika bayi dilahirkan pada waktu pagi, maka seeloknya pada petang tersebut ditahnikkan dan diberikan nama tanpa perlu menunggu hari ketujuh. Ia perlu disegerakan jika tiada apa-apa sebab yang menghalangnya. Namun jika ada halangan dan kekangan untuk melakukan demikian, seperti bayi perlu dijaga dan mendapatkan rawatan di hospital, maka tidak mengapa untuk melewatkkannya dalam tempoh masa tujuh hari atau lebih, selepas bayi sudah kembali sihat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa sunat ditahnikkan bayi sesudah bayi dilahirkan dan seelok-eloknya pada hari yang sama bayi itu dilahirkan. Hal ini berdasarkan kepada hadith-hadith yang diriwayatkan menunjukkan bahawa para sahabat bersegera untuk mentahnikkan bayi kepada Rasulullah SAW setelahmana bayi tersebut lahir tanpa menunggu hari ketujuh.

Namun jika sekiranya terdapat halangan dan kekangan, maka tidak mengapa untuk melewatkannya sedikit. Jika lebih daripada tempoh tersebut, tidak disunatkan lagi tahnik kerana sudah berlalu waktunya serta faedah dan manfaat darinya iaitu bagi melatih bayi yang baru lahir untuk makan atau minum. Adapun jika masih dilakukan juga, tidak mengapa, moga-moga mendapat kebaikan dan keberkatan sepertimana yang dihajatkan, inshaAllah.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.