AL-KAFI #1615: APAKAH MANUSIA DISERU PADA HARI KIAMAT DENGAN NAMA AYAHNYA ATAU IBUNYA

ak1615

Assalamualaikum, Dato saya ada satu kemusykilan. Adakah pada hari kiamat nanti Allah SWT akan mepanggil nama kita dengan nama ibu seperti dalam bacaan talqin yang dilakukan di perkuburan atau di seru dengan nama ayah kita. Mohon pencerahan daripada dato. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumsalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Hari kiamat merupakan hari yang dihimpunkan segala makhluk untuk dihitung segala amalan yang dikerjakan di dunia. Pada hari itu juga akan diberi segala balasan dan ganjaran oleh Allah SWT tuhan semesta alam. Firman Allah SWT:

يَوْمَ يَجْمَعُكُمْ لِيَوْمِ الْجَمْعِ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ التَّغَابُنِ ۗ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ وَيَعْمَلْ صَالِحًا يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: (Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), - itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.

(Surah Al-Taghabun, 9)

Di Hari Kiamat Nanti Akan Diseru Dengan Nama Ibu atau Ayahnya

Timbul persoalan disini, apakah pada hari yang dihimpunkan nanti akan dipanggil namanya berserta dengan nama ibu atau ayah.? Oleh itu, bagi menjelaskan lebih lanjut di dalam hal ini kami datangkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَيُقَالُ هَذِهِ غَدْرَةُ فُلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ

Maksudnya: Sesungguhnya pengkhianat itu akan dipancang baginya bendera (sebagai balasan dihadapan orang ramai) pada hari kiamat. Lalu, diseru ke atasnya “Ini adalah pengkhianatan si fulan bin si fulan”

Riwayat al-Bukhari (6178)

Imam Bukhari meletak hadis di atas di bawah tajuk “Adakah manusia diseru pada hari kiamat dengan nama ayahnya”. Di dalam mensyarahkan hadis ini, Ibnu Battal menyebut di dalam syarahnya, ayat (هَذِهِ غَدْرَةُ فُلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ) menyangkal dakwaan bagi mereka yang menyatakan pada hari kiamat itu diseru manusia dengan nama ibunya. Begitu juga Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam kitabnya, bahawa hadis di atas merupakan dalil manusia dipanggil pada hari akhirat dengan namanya serta nama bapanya. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari li Ibnu Battal, 9/335; al-Tazkirah bi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah, hlm 699).

Imam Badruddin al-A’ini menyebut (هَذِه غدرة فلَان) iaitu dikhususkan dengan namanya dan nama ayahnya. Dinukilkan pandangan Ibnu Battal sesungguhnya apabila diseru dengan nama ayahnya maka ia lebih jelas dan lebih sempurna seruannya. (Lihat Umdah al-Qari, 22/201)

Selain itu, di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda’ RA, Sabda Nabi SAW:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.

Riwayat Abu Daud (4948)

Maka dengan ini, ia menggambarkan dalil umum daripada hadis yang dinyatakan di atas bahawa pada hari kiamat nanti akan diseru nama seseorang itu dengan nama ayahnya.

Selain itu terdapat pandangan yang menyatakan diseru dengan panggilan nama ibunya ketika hari kiamat, hal ini disandarkan dengan hadis talqin yang disunatkan menyebut nama si mati berserta nama ibunya. Dan sekiranya tidak mengetahui nama ibunya maka ia boleh dinisbahkan kepada Saidatina Hawa AS. (Lihat Kasyaf al-Qina’, 2/135)

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah menyatakan sekiranya aku mati, maka lakukan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW:

إذا مات أحدٌ من إخوانِكم فسوَّيتم التُّرابَ على قبرِه، فليقُمْ أحدُكم على رأسِ قبرِه، ثمَّ ليقُلْ: يا فلانُ بنُ فلانةَ،

Maksudnya: apabila telah mati salah seorang daripada saudara kamu, maka ratakanlah tanah di atas kuburnya. Maka hendaklah salah seorang daripada kamu berdiri di sisi kepala kuburnya, kemudian ucaplah “wahai Fulan bin Fulanah”.

Riwayat al-Tabrani (7979)

Imam Ibnu hajar al-Asqalani menyatakan bahawa sanad hadis ini baik dan terdapat syawahid. (Lihat al- Talkhis al-Habir, 2/311)

Syeikh abu Bakr Usman al-Dimyati menyebut di dalam kitabnya di sunatkan melakukan talqin selepas mengkafankan mayat dan perkara ini masyhur, dan panggillah dengan nama ibunya jika mengetahuinya dan apabila tidak mengetahui ibunya, maka panggil dengan nama Saidatina Hawa AS… Selain itu, panggilan dengan nama ibu tidak bermakna menafikan panggilan dengan nama bapanya pada hari kiamat, ini kerana perkara tersebut adalah perkara tauqifi (diwahyukan). (Lihat I’anah al-Talibin, 2/161)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada soalan dan dalil yang diberikan, dapat kami simpulkan bahawa dengan keumuman hadis dan athar yang sohih menyebut bahawa seruan nama seseorang itu pada hari kiamat adalah dengan nama bapanya bukan nama ibunya. Selain itu, seseorang itu disebut namanya serta ibunya apabila ketika membaca talqin selepas dikebumikannya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.