AL-KAFI #1638 : PASCA PERUBAHAN WAKTU SUBUH; ADAKAH WAKTU SYURUK DAN IMSAK BERUBAH?

if1638 compressed

 

Soalan:

Assalamualaikum wbt.,

Umum mengetahui bahawa waktu masuk untuk solat fardu Subuh di dalam takwim kebanyakan negeri di Malaysia telah berubah baru-baru ini. Soalan saya adakah waktu Imsak dan Syuruk juga berubah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kepada Junjungan Nabiﷺ, para isteri dan keluarga baginda ﷺ, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda ﷺ hingga ke Hari Akhirat.

Isu pertambahan waktu 8 minit purata (7-10 minit pada hari-hari tertentu) bagi waktu subuh di dalam takwim telah kami bahas dalam artikel  Bayan Linnas Khas: Isu Tambahan Waktu 8 Minit Bagi Permulaan Azan Subuh Dan Hukum Solat Subuh Sebelum Masuk Waktu. Secara ringkas, pada 20-21 November 2019, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) Kali Ke-116 telah bersidang dan bersetuju memutuskan bahawa permulaan waktu solat subuh di Malaysia adalah menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk. Perubahan ini menyebabkan waktu solat Subuh sedia ada perlu ditambah sebanyak 8 minit purata berbanding kriteria sebelum ini yang menggunakan parameter altitud matahari pada 20° di bawak ufuk. Keputusan ini dibuat berdasarkan penyelidikan komprehensif selama 18 bulan yang telah dilaksanakan oleh JAKIM bersama kumpulan pakar daripada Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi MARA berkaitan Penentuan Hukum Nilai Altitud Matahari di Bawah Ufuk Bagi Penentuan Awal Waktu Solat Subuh di Malaysia. Justeru, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 2 Disember 2019 telah memutuskan bahawa Permulaan waktu solat Subuh hendaklah dita’khirkan (dilewatkan) 8 minit purata daripada taqwim asal dan solat Subuh yang telah lalu tidak perlu diqadha’ kerana telah dilaksanakan berdasarkan kepada ijtihad.

Untuk mengetahui sejarah penentuan altitud 20° di bawak ufuk yang telah digunakan sebelum ini sejak tahun 1938, pembaca dicadangkan untuk membaca artikel Penilaian Semula Hitungan Waktu Subuh di Alam Melayu yang diterbitkan Jurnal Antarabangsa Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk maklumat lanjut.

Adapun berkenaan waktu Syuruk dan Imsak; adakah waktu masuk bagi kedua-dua waktu itu turut berubah, maka terdapat perbezaan pada kedua-duanya. Waktu “Syuruk” didefinisikan sebagai “waktu terbit matahari menandakan habisnya waktu subuh.” Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. Waktu Subuh ialah ketika terbit fajar sodiq dan berterusan hingga matahari terbit.

Ini berdasarkan hadith, sabda Rasulullah ﷺ:

وَقْتُ صَلاَةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Waktu solat Subuh adalah dari terbit fajar selama matahari belum terbit.”

Riwayat Muslim (612)

Ertinya, waktu Syuruk ialah waktu tamatnya waktu subuh apabila matahari mula terbit. Justeru, dapat kita fahami bahawa waktu Syuruk tidak ada kaitan dengan waktu permulaan Subuh. Adat menunjukkan boleh jadi sebahagian tempat waktu Subuhnya lebih panjang daripada tempat lain, dan begitulah sebaliknya.

Manakala waktu Imsak pula ialah waktu untuk ihtiyat (berjaga-jaga) agar tidak makan melebihi waktu yang telah ditetapkan yang mana boleh membatalkan puasa seseorang itu. Rujuk Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #76: Adakah Bermulanya Puasa Setelah Masuk Waktu Imsak?. Tujuan penandaan waktu imsak ini ialah sebagai langkah mengelakkan syak, sama ada sudah terbit fajar atau belum, dengan afdal meninggalkan makan dan minum sedikit masa sebelum terbitnya fajar. Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/189). Ini berdasarkan hadis Rasulullah ﷺ daripada Anas bin Malik RA ketika bersama Zaid bin Thabit RA berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟  قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً.

Maksudnya: “Kami telah bersahur bersama Nabikemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.

Riwayat Al-Bukhari (1921) & Al-Tirmizi (703)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di mengatakan kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana. Tidaklah ayat yang penjang, tidak juga ayat yang  terlalu pendek. Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (4/138).

Dalam takwim kebanyakan negeri, waktu Imsak ini ditetapkan 10 minit sebelum masuk solat Subuh. Justeru, disebabkan telah berlaku perubahan pada takwim permulaan waktu solat Subuh, maka waktu Imsak juga perlu berubah kerana waktu Imsak terkait dengan waktu permulaan waktu Subuh.

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, maka jelaslah kepada kita bahawa waktu Syuruk tidak mengalami perubahan akibat perubahan waktu permulaan Subuh di dalam takwim kerana kriteria waktu Syuruk ialah terbitnya bulatan matahari, manakala waktu Imsak itu terkait dengan perubahan takwim, kerana penentuan waktu Imsak itu berlaku sebelum masuknya waktu Subuh sebagai tempoh masa berhati-hati bagi orang yang berpuasa. Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya.