AL-KAFI #1648 : BOLEHKAH SEORANG MUFTI TAWAQQUF DALAM MENJAWAB PERMASALAHAN HUKUM ?

AK1648

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, bolehkah seseorang mufti itu tidak menjawab persoalan hukum yang ditanyakan kepada beliau ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menjawab serta menjelaskan hukum bagi sesuatu permasalahan yang dikemukakan adalah disebut sebagai fatwa dan individu yang melakukan hal ini merupakan seorang mufti. Hakikatnya, memberi dan mengeluarkan fatwa merupakan suatu perkara yang berat kerana ia melibatkan hukum Tuhan terhadap setiap permasalahan yang berlaku.

Fatwa merupakan suatu urusan yang berat nilaian dan kadarnya di sisi syarak. Kerana itu kita dapat melihat sikap salafussoleh yang amat berhati-hati dalam menjawab setiap persoalan yang dikemukakan kepada mereka. Antara nas yang menjadi sandaran dalam isu ini adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubaidullah Ibn Abi Ja’far R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

أَجْرَؤُكُمْ عَلَى الْفُتْيَا، أَجْرَؤُكُمْ عَلَى النَّارِ

Maksudnya : Mereka yang paling berani untuk berfatwa dari kalangan kamu adalah mereka yang paling berani untuk masuk ke neraka.

Riwayat Al-Darimi (159)

Hadis di atas jelas menunjukkan ancaman khususnya bagi mereka yang berfatwa tanpa ada ahliyyah (kelayakan). Juga buat mereka yang berfatwa tanpa ilmu yang tepat.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, secara umumnya kami menyatakan bahawa menjawab soalan bagi mereka yang tahu merupakan suatu kefardhuan. Manakala diam bagi mereka yang tidak tahu dari sudut tidak mengulas sesuatu tanpa ilmu juga merupakan suatu tuntutan. Ini berdasarkan dua firman Allah S.W.T yang berikut :

قَالَ يَا آدَمُ أَنبِئْهُم بِأَسْمَائِهِمْ

Maksudnya : Wahai Adam, beritahukan kepada mereka nama-nama mereka.

Surah Al-Baqarah (33)

Juga firman Allah S.W.T :

قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Maksudnya : Mereka (para malaikat) berkata ‘’maha suci Kamu (wahai Allah) tiadalah ilmu bagi kami melainkan apa yang telah Kau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha Berilmu dan Maha Bijaksana’’.

Surah Al-Baqarah (32)

Dalam isu tawaqquf, iaitu berhenti dari menjawab persoalan yang dikemukakan maka ini merupakan teladan yang ditunjukkan oleh para ulama terdahulu. Antara sebab mereka tawaqquf adalah seperti berikut :

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa secara asasnya, menjadi satu kewajipan untuk seorang mufti itu menjawab persoalan dan juga permasalahan yang diketahuinya berdasarkan keilmuan yang ada pada dirinya berkenaan isu tersebut. Ini kerana, meninggalkan menjawab terhadap permasalahan yang diketahui jawapannya termasuk dalam perbuatan menyembunyikan ilmu yang dilarang berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ يَعْلَمُهُ فَكَتَمَهُ أُلْجِمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ

Maksudnya : Sesiapa yang ditanyakan tentang suatu ilmu yang dia ketahui lalu dia menyembunyikannya maka dia akan dikekang mulutnya dengan kekangan dari api neraka pada hari kiamat kelak.

Riwayat Ibn Majah (266)

Demikian juga kaedah fekah menyebut :

تأخير البيان عن وقت الحاجة لا يجوز

Maksudnya : Melewatkan memberi penjelasan dari waktu ia diperlukan adalah tidak dibolehkan.

Meskipun begitu, sekiranya seseorang mufti itu tidak mengetahui  jawapan yang tepat bagi sesuatu permasalahan sama ada disebabkan ia perkara baharu yang memerlukan kepada penelitian, atau tidak jelas bagi seorang mufti akan sesuatu permasalahan oleh kerana terdapat dalil-dalil yang berbeza pada hal tersebut, maka boleh bagi seorang mufti untuk tawaqquf yakni tidak memberikan sebarang jawapan terhadap permasalahan tersebut.

Sebab-sebab lain adalah seperti yang telah kami terangkan secara panjang lebar dalam ruangan Al-Kafi #155 yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2IkObB9

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.