AL-KAFI #1695 : BILAKAH PERLU MENGANGKAT JARI TELUNJUK KETIKA TASYAHHUD

kafi 1695

Soalan:

Pada waktu bilakah disunatkan untuk mengangkat jari telunjuk ketika tasyahhud? Adakah sewaktu mula mengucapkan ‘Asyhadu alla Ilaha illa Allah’? Selain itu, perlukah saya terus kekal mengangkat jari telunjuk hingga memberi salam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mengangkat jari telunjuk ketika duduk tasyahhud tsabit melalui pelbagai hadith, antaranya ialah melalui Abdullah bin Umar R.Anhuma yang meriwayatkan tatacara Rasulullah SAW solat sewaktu keadaan tasyahhud:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَعَدَ يَدْعُو وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ وَوَضَعَ إِبْهَامَهُ عَلَى إِصْبَعِهِ الْوُسْطَى وَيُلْقِمُ كَفَّهُ الْيُسْرَى رُكْبَتَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW apabila duduk untuk tasyahhud, Baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas peha kanan dan tapak tangan kiri di atas peha kiri, sambil mengangkat jari telunjuk dalam keadaan ibu jari diletakkan di atas jari tengah, manakala tapak tangan kiri Baginda pula menutup bahagian lutut.

Sahih Muslim (579)

Terdapat juga riwayat lain yang menyebut:

كَانَ إِذَا جَلَسَ فِي الصَّلاَةِ وَضَعَ كَفَّهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَقَبَضَ أَصَابِعَهُ كُلَّهَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الَّتِي تَلِي الإِبْهَامَ وَوَضَعَ كَفَّهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى

Maksudnya: Rasulullah SAW apabila duduk untuk tasyahhud, Baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas peha kanan sambil menggenggam kesemua jari, dan mengangkat jari telunjuk iaitu jari disebelah ibu jari, dan meletakkan tapak tangan kiri di atas peha kiri.

Sahih Muslim (580)

Menurut Imam al-Nawawi, hadith-hadith ini menjadi dalil akan sunnahnya hukum mengisyaratkan dengan jari telunjuk ketika tasyahhud, dan menurut mazhab Syaf’ie, ia hendaklah diangkat ketika mengucapkan melafazkan إلا الله sewaktu tasyahhud. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 5/81)

Imam Ibn Hajar al-Haitami pula memperincikan lagi, dengan menyatakan bahawa jari telunjuk hendaklah diangkat ketika huruf ‘hamzah’ pada kalimah إلا.  Selain itu, beliau dan Imam Khatib al-Syarbini turut menambah bahawa sewaktu jari telunjuk itu diangkat, hendaklah ia dibengkokkan sedikit dan tidak diluruskan sepenuhnya, serta disunatkan juga jari tersebut ditunjuk ke arah kiblat beserta niat untuk mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan diri kepada-Nya. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 2/79-80 dan Mughni al-Muhtaj 1/378)

Menurut Imam Sulaiman al-Jamal dan Imam al-Bujairimi pula, jari telunjuk mestilah kekal dalam keadaan demikian sehinggalah dia bangun jika dalam tasyahhud awal, atau hingga memberi salam jika dalam tasyahhud akhir. (Rujuk Hasyiyah al-Jamal ‘ala al-Syarh al-Minhaj 1/384 dan Hasyiyah al-Bujairimi 'ala al-Khatib 2/73

Adapun jika jari telunjuk kanannya telah terpotong atau terputus, tiada lagi hukum sunat mengangkat jari ketika tasyahhud serta dimakruhkan untuk mengangkat jari telunjuk tangan kiri. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 5/81, Tuhfah al-Muhtaj 2/79-80 dan Al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj 2/159)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa menurut pandangan mazhab Syafi’e, jari telunjuk hendaklah diangkat ketika mula melafazkan إلا الله sewaktu tasyahhud iaitu pada huruf hamzah pada kalimah إلا, dan jari tersebut hendaklah dibengkokkan sedikit serta diniatkan mengangkat jari itu untuk mentahqiqkan tauhid kepada Allah SWT. Selain itu, jari telunjuk kanan itu hendaklah kekal dalam keadaan demikian hingga bangun jika dia dalam tasyahhud awal, atau hingga memberi salam jika dalam tasyahhud akhir.

Wallahu a’lam.