AL-KAFI #1706 : HUKUM MELAKSANAKAN SOLAT TARAWIH DI RUMAH BERSAMA KELUARGA

AK1706

Soalan :

Assalamu’alaikum, memandangkan kita akan menyambut bulan Ramadhan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, minta pihak tuan jelaskan berkenaan hukum mendirikan solat sunat tarawih di rumah. Terima kasih.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.

Riwayat Al-Bukhari (37)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah S.W.T, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Imam Al-Nawawi di dalam kitab beliau Syarah Al-Nawawi ‘Ala Muslim (6/377) mengatakan : ‘’Qiyam Ramadhan adalah solat tarawih’’.

Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu'minin A'isyah R.anha bahawa beliau berkata :

 ‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah S.A.W sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah : Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.

Riwayat Al-Bukhari (1129)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah S.A.W pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah S.A.W. Demikian juga pada malam yang kedua, Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid. Maka pada malam yang berikutnya, Nabi S.A.W tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata : ‘’Baginda khuatir solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dibuat secara berterusan’’. Lihat ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud (4/180).

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa zahir dari hadis ‘A’isyah R.Anha di atas adalah menunjukkan kepada keharusan mendirikan solat sunat tarawih di rumah. Justeru, tidak ada masalah untuk seseorang itu melakukan solat tarawih secara berjemaah di rumahnya bersama keluarga. Bahkan berjemaah dalam melakukan solat tarawih itu adalah lebih afdhal berbanding secara bersendirian.

Imam Al-Nawawi berkata :

وَتَجُوزُ مُنْفَرِدًا وَجَمَاعَةً وَأَيُّهُمَا أَفْضَلُ فِيهِ وَجْهَانِ مَشْهُورَانِ كَمَا ذَكَرَ الْمُصَنِّفُ وَحَكَاهُمَا جَمَاعَةٌ قَوْلَيْنِ (الصَّحِيحُ) بِاتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ أَنَّ الْجَمَاعَةَ أَفْضَلُ

Maksudnya : Dan dibolehkan (solat tarawih itu dilakukan) secara bersendirian dan juga secara berjemaah. Berkenaan yang manakah yang afdhal antara keduanya terdapat dua pendapat yang masyhur sebagaimana yang disebutkan oleh musannif dan diceritakan oleh majoriti (al-Syafi’eyyah), yang sahih secara sepakat oleh ashab, secara berjemaah itu adalah lebih afdhal.

Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/31)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami akhiri kenyataan kami ini dengan beberapa noktah yang berikut :

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Cetak