AL-KAFI #1717 : HUKUM MENGUCAPKAN “AMIN” SELEPAS BACAAN AL-FATIHAH DI LUAR SOLAT

al Kafi 1717

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Apakah hukum menyebut “Amin” selepas bacaan surah al-Fatihah di luar solat? Adakah ia turut disunatkan sebagaimana di dalam solat? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa mengucapkan “Amin” selepas selesai bacaan surah al-Fatihah bagi setiap orang yang bersolat hukumnya adalah sunat. Iaitu selepas firman Allah SWT : (وَلَا الضَّالِّينَ), hendaklah diikuti dengan perkataan “Amin”. Begitu juga, disunatkan mengucapkan “Amin” dengan nyaring pada semua solat yang dinyaringkan bacaan dan dengan perlahan pada solat yang diperlahankan bacaan, manakala makmum pula menyaringkannya mengikut imam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, Cet. Dar al-Qalam, 1/152) Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk artikel kami di dalam ruangan al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-540.[1]

Para ulama telah berbeza pendapat mengenai makna lafaz “Amin” tersebut. Namun, majoriti para ulama sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa maknanya ialah (اللَّهُمَّ اسْتَجِبْ لَنَا) iaitu “Ya Allah, perkenankanlah buat kami”. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/145 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 240)

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa disunatkan bagi imam untuk diam seketika (dalam tempoh yang sangat sekejap), antara bacaan al-Fatihah dan bacaan “Amin”, supaya orang ramai tidak menganggap bahawa lafaz “Amin” itu sebahagian daripada surah al-Fatihah. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, Cet. Dar Ibn Rejab, hlm. 93) Manakala Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff pula mengatakan bahawa disunatkan bagi orang bersolat untuk diam antara bacaan al-Fatihah dan lafaz “Amin” dengan kadar tempoh bacaan “Subhanallah”.  (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 238)  

Bacaan “Amin” selepas al-Fatihah di luar solat

Berbalik kepada persoalan di atas, Imam Ibn Kathir ada menyatakan bahawa :

يُسْتَحَبُّ لِمَنْ قَرَأَ الْفَاتِحَةَ أَنْ يَقُولَ بَعْدَهَا: آمِينَ...  قَالَ أَصْحَابُنَا وَغَيْرُهُمْ: وَيُسْتَحَبُّ ذَلِكَ لِمَنْ هُوَ خَارِجُ الصَّلَاةِ، وَيَتَأَكَّدُ فِي حَقِّ الْمُصَلِّي، وَسَوَاءٌ كَانَ مُنْفَرِدًا أَوْ إِمَامًا أَوْ مَأْمُومًا، وَفِي جَمِيعِ الْأَحْوَالِ

Maksudnya : “Disunatkan bagi sesiapa yang membaca surah al-Fatihah untuk menyebut selepasnya (selesai membacanya) : “Amin”… Berkata Ashab kami (ulama mazhab Syafie) dan selain mereka bahawa disunatkan juga perkara tersebut bagi sesiapa (yang membacanya) di luar solat, dan pada hak orang bersolat itu lebih-lebih lagi (disunatkan), sama ada dia solat bersendirian atau dia adalah imam atau dia adalah makmum. Dan juga pada semua keadaan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/144-145)

Begitu juga, Imam al-Nawawi turut menyebutkan bahawa :

يستحب لكل قارئ كان في الصلاة أو في غيرها إذا فرغ من الفاتحة أن يقول أمين

Maksudnya : “Disunatkan bagi setiap Qari sama ada di dalam solat atau selainnya (luar solat), sekiranya selesai membaca surah al-Fatihah hendaklah menyebut Amin yakni semoga Allah perkenankan” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, Cet. Dar Ibn Rejab, hlm. 93)

Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ، فَأَمِّنُوا، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ المَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : “Apabila imam mengucapkan Amin, maka kamu juga ucapkanlah Amin kerana sesungguhnya sesiapa yang Aminnya bertepatan dengan Amin para malaikat, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” Riwayat al-Bukhari (780) dan Muslim (410)

Di dalam hadis lain, juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ: آمِينَ، وَقَالَتِ المَلاَئِكَةُ فِي السَّمَاءِ: آمِينَ، فَوَافَقَتْ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : “Apabila seseorang di kalangan kamu mengucapkan Amin. Dan para malaikat di langit juga mengucapkan Amin. Jika bertepatan kedua-duanya, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” Riwayat al-Bukhari (781) dan Muslim (410)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa disunatkan untuk menyebut lafaz “Amin” selepas selesai membaca surah al-Fatihah tidak kira sama ada di dalam solat mahupun di luar solat. Mudah-mudahan kita mendapat fadhilat dan kelebihannya sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis-hadis yang sahih.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.

 

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1006-al-kafi-540-bacaan-amin-selepas-al-fatihah