AL-KAFI #1718 : ADAKAH DIBOLEHKAN KEPADA WANITA YANG SEDANG HAID UNTUK MEMASAK?

AK 1718

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sihat sentiasa. Saya ada soalan. Bolehkan perempuan yang sedang haid memasak. Sebab saya ada dengar yang perempuan yang sedang haid tidak boleh memasak sebab tidak elok memasak dalam keadaan sedang kotor. Betul ke begitu ustaz?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di antara keistimewaan kaum hawa adalah haid. Ia adalah kitaran normal bagi setiap perempuan apabila sudah mencapai umur akil baligh. Nabi SAW bersabda :

إِنَّ هَذَا شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ

Maksudnya : “ Ini (kitaran haid) adalah sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan bagi anak cucu perempuan Adam.”

Riwayat Muslim (2976)

Bagi mereka yang datang haid, tidak dibenarkan untuk melakukan beberapa perkara yang biasa dilakukan ketika suci.  Perkara yang dilarang dilakukan ketika haid ialah :

Kesemua perkara ini tidak boleh dilakukan semasa fatrah haid dan apabila suci maka ianya boleh dilakukan seperti biasa.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, seorang perempuan yang sedang haid tiada masalah dan tidak menjadi halangan untuk memasak.  Memasak bukannya perkara yang dilarang bagi perempuan yang haid. Al-Bujairimi menyebut :

وَكَانَتْ الْيَهُودُ إذَا حَاضَتْ الْمَرْأَةُ فِيهِمْ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا وَلَمْ يُسَاكِنُوهَا فِي الْبُيُوتِ ، وَالنَّصَارَى يَسْتَبِيحُونَ كُلَّ شَيْءٍ حَتَّى الْوَطْءَ فَخَلَتْ هَذِهِ الشَّرِيعَةُ مِنْ الْإِفْرَاطِ الْوَاقِعِ مِنْ الْيَهُودِ وَالتَّفْرِيطِ الْوَاقِعِ مِنْ النَّصَارَى

Maksudnya : “Orang Yahudi apabila wanita mereka datang haid, mereka tidak akan makan bersama mereka dan tidak akan tinggal di dalam rumah. Orang Nasrani pula menghalalkan semua perkara termasuklah bersetubuh. Maka rosaklah syariat dengan sikap terlalu ketat orang Yahudi dan sikap terlalu longgar orang Nasrani”. (Rujuk Tuhfah Al-Habib ‘Ala Syarh Al-Khatib, 3/288)

Ini berdasarkan peristiwa yang diceritakan sendiri oleh Anas Bin Malik. Beliau berkata :

أَنَّ الْيَهُودَ كَانُوا إِذَا حَاضَتِ الْمَرْأَةُ فِيهِمْ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا ، وَلَمْ يُجَامِعُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ فَسَأَلَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ} إِلَى آخِرِ الآيَةِ ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلاَّ النِّكَاحَ

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang Yahudi apa wanita mereka datang haid mereka tidak akan duduk makan bersama wanita mereka (dan tidak akan makan masakan mereka) dan mereka juga tidak akan bergaul serta tidak duduk bersama. Maka para sahabat bertanya kepada Nabi SAW. Lalu Allah SWT menurukan ayat : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu. Lantas Nabi SAW bersabda : Buatlah apa sahaja (dengan isteri kalian yang sedang haid) kecuali nikah (bersetubuh).”

Riwayat Muslim (455)

Imam Al-San’ani menyebut berkenaan dengan hadis bahawa tidak dibenarkan adalah bersetubuh maka selain dari itu adalah dibenarkan untuk duduk bersama mereka, makan masakan mereka dan lain-lain. (Rujuk Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram Min Adillah Al-Ahkam, 1/104)

Al-Khatib Al-Syarbini menyebut :

وَلَا يُكْرَهُ طَبْخُهَا

Maksudnya : “Dan tidak diharamkan masakan orang yang sedang haid..” (Rujuk Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj, 2/35).

Kesimpulannya, perempuan yang sedang haid dibolehkan untuk memasak. Keadaan mereka itu tidak menghalang untuk melakukan aktiviti lain seperti memasak dan sebagainya. Syara’ hanya membataskan agar tidak melakukan beberapa perkara sepanjang mereka haid. Adapun selain daripada itu adalah dibenarkan.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang sebaiknya. Wallahu’alam.