Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 HUKUM BERKAHWIN DENGAN ANAK TIDAK SAH TARAF

SOALAN

Apakah hukum berkahwin dengan anak tak sah taraf serta siapakah wali yang layak baginya dan wajar atau tidak untuk tidak memberitahu kepada keluarga kerana bimbang berlaku permasalahan lain jika maklumkan.

 

JAWAPAN RINGKAS

Hukum sesuatu perkahwinan adalah sah sekiranya menepati syarat-syarat serta rukun yang ditetapkan oleh syarak. Namun bagi anak tidak sah taraf, walinya adalah wali sultan atau wali hakim. Kami menggalakkan dalam hal ini supaya perbincangan dan pemakluman awal kepada bakal keluarga suami tentang status bakal isteri agar tidak berlaku masalah pada masa akan datang.

 

HURAIAN JAWAPAN

Perkahwinan adalah suatu tuntutan agama dalam meraihkan fitrah semula jadi penciptaan manusia. Bertujuan untuk menjaga keturunan, memelihara kesucian diri, melaksanakan tuntutan syariat, memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT:

 

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir".

Surah al-Rum (21)

 

Bagi memastikan ikatan suci ini mencapai matlamat tersebut, ia hendaklah dibina atas rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Rukun yang dimaksudkan di sini ialah pasangan lelaki dan perempuan, dua saksi yang adil, sighah (Lafaz Ijab dan Qobul) serta wali hakim bagi anak tidak sah taraf. Seseorang wali hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan syarak, bertujuan memenuhi ketetapan syariat Islam.

 

Wali dari segi bahasa bermaksud kasih sayang dan pertolongan. Dari segi istilah, wali adalah merupakan pihak yang mempunyai hak atau autoriti untuk membuat keputusan dan mengawal selia urusan orang lain.

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji 4/60)

 

Sehubungan dengan itu, wali merupakan salah satu rukun nikah dan tanpanya pernikahan adalah tidak sah. Pendapat ini telah disepakati oleh jumhur ulama berdasarkan banyak dalil. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh A’isyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا، فَإِنْ اشْتَجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya. Sekiranya mereka berselisih maka Sultan sebagai wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali.” 

 (Rujuk: Sunan al-Tarmizi 3/399)

 

Terdapat tiga kategori Wali iaitu Wali Hakim, Wali Mujbir dan Wali Ikhtiar. Wali Hakim atau Wali Raja adalah pihak yang tidak mempunyai wali atau tidak memiliki wali sah menurut hukum syarak seperti wali enggan, wali tinggal terlalu jauh, wali akrab yang tidak dapat dikesan dan termasuklah juga bagi kes anak tidak sah taraf. Manakala Wali Mujbir dan Wali Ikhtiar pula merupakan wali nasab kepada wanita yang diwalikan olehnya.

(Rujuk: al-Syirazi: al-Muhazzab fi Fiqhi al-Imam al-Syafie 2/427)

 

Selain itu, seksyen 7(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan:

Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh Wali Raja.

Seksyen 2 (Tafsiran) menyatakan:

“Wali Raja” ialah wali yang ditauliahkan oleh yang dipertuan Agong dalam hal Wilayah-Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal sesuatu Negeri lain, untuk mengkahwinkan perempuan tidak mempunyai wali dari nasab.

Dalam seksyen yang sama,

nasab” pula merujuk kepada keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah.

 

Seksyen 7(2) secara jelas menyebut sekiranya tidak ada wali nasab, maka perkahwinan itu akan diakadnikahkan oleh Wali Raja/Hakim. Keadaan ini menunjukkan bahawa ia antara perkahwinan yang turut diiktiraf menurut perundangan kerana jika seseorang wanita tidak mempunyai wali daripada nasab, dia akan diakadnikahkan oleh Wali Raja menurut hukum syarak. Maka perkahwinan dengan wanita yang tidak sah taraf adalah sah menurut hukum syarak.

 

KESIMPULAN

Konklusinya, jelas dari dalil-dalil dan Akta di atas menunjukkan perkahwinan dengan anak tidak sah taraf adalah sah dari sudut hukum syarak dan perundangan. Mereka juga merupakan insan seperti kita, yang memiliki hak pada perkara itu. Islam tidak terlepas dalam mengambil peranan terhadap mereka. Di samping itu, untuk memaklumkan keluarga mengenai identiti anak tidak saf taraf itu, sewajarnya kami nasihatkan supaya berjumpa dengan Unit Keluarga Islam, Jabatan-jabatan Agama Negeri untuk mendapatkan khidmat nasihat dan cadangan tentang perkara ini.