AL-KAFI # 1879: HUKUM MENONTON CERITA BERKAITAN SIHIR

Screenshot 2022 06 14 at 10.36.03 AM

 

Soalan

Assalamualaikum, apakah hukum menonton filem fantasi tetapi mengandungi unsur sihir seperti Cinderella, Harry Potter dan lain-lainnya. Jadi saya ingin bertanya apakah hukum menonton filem-filem berkenaan adakah ia tergolong dalam mempercayai sihir itu sendiri kerana saya mendengar ada hadis yang menyatakan bahawa sesiapa yang mempercayai sihir akan menjadi kafir dan tidak diterima solatnya.

Ringkasan Jawapan 

Hukum asal menonton cerita yang berkaitan sihir adalah harus. Ini kerana tontonan filem seperti ini semata-mata atas tujuan hiburan dan seumpamanya tanpa mempercayai tidak boleh digolongkan dalam kategori membenarkan atau mempercayai sihir yang telah diharamkan dalam hadis Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Siapa yang mendatangi tukang tilik lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu maka tidak diterima darinya solat selama empat puluh malam.”

(Riwayat Muslim)  

Walau bagaimanapun kami menasihati orang ramai supaya memantau anak-anak ketika menonton cerita-cerita yang berkait dengan sihir supaya mereka diterangkan bahawa perbuatan mempercayai sihir adalah merupakan suatu bentuk kesyirikan. Di samping itu  Anak-anak juga perlu diingatkan supaya menjauhi cerita-cerita yang berunsur maksiat. 

Huraian Jawapan 

Hukum asal menonton cerita berkait sihir adalah harus selagi tidak meyakini atau membenarkan perbuatan sihir tersebut. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Siapa yang mendatangi tukang tilik lalu membenarkan kata-katanya maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.”

(Riwayat Bazar)

Hadis ini menjelaskan bahawa siapa yang membenarkan tukang tilik dengan mendakwa mereka mengetahui perkara ghaib maka dia telah melakukan kekufuran[1]. Adapun jika dia hanya bertanya kepada tukang tilik tanpa membenarkan ungkapan tukang tilik tersebut maka dia telah melakukan dosa dan ibadatnya tidak diterima oleh Allah SWT selama 40 hari. Sabda Nabi SAW:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Siapa yang mendatangi tukang tilik lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu maka tidak diterima darinya solat selama empat puluh malam.”

(Riwayat Muslim)  

Nabi SAW menyebut dengan bilangan 40 kerana ia merupakan bilangan kebiasaan orang Arab ketika mengambarkan bilangan yang banyak. Manakala Nabi SAW menyebut dengan malam kerana orang Arab memulakan hari mereka dengan waktu malam. Sekalipun Nabi hanya menyebut solat namun menurut Imam al-Munawi begitujuga dengan ibadat puasanya. Ini kerana baginda hanya menyebut ibadat di dalam hadis kerana ia merupakan tiang agama[2]

Meskipun begitu yang dimaksudkan dengan tidak diterima solatnya bukanlah bermaksud solatnya tidak sah menurut hukum syarak. Namun yang dimaksudkan dengan tidak diterima ialah tidak diberikan ganjaran pahala. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

وَأَمَّا عَدَمُ قَبُوْلِ صَلاَتِهِ فَمَعْنَاهُ أَنَّهُ لَاثَوَابَ لَهُ فِيْهَا وَإِنْ كَانَتْ مُجْزِئَةً فِي سُقُوْطِ الفَرْضِ عَنْهُ وَلَايَحْتَاجُ مَعَهَا إِلَى إِعَادَةٍ

Maksudnya: “Adapun makna tidak diterima solatnya ialah tidak diberikan ganjaran pahala. Tidak menafikan bahawa solatnya memadai dan kefarduan ke atasnya gugur disamping dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya[3].”

Hadis-hadis di atas menyebutkan berkenaan orang yang mendatangi tukang tilik sama ada dia mempercayainya atau semata-mata bertanya tanpa mempercayainya.

Kesimpulan

Dari penjelasan ini kami menyimpulkan bahawa perbuatan semata-mata menonton rancangan, drama, filem dan seumpamanya yang mengandungi unsur sihir tidak termasuk dalam hadis di atas. Kami menasihati orang ramai supaya memantau anak-anak ketika menonton cerita-cerita yang berkait dengan sihir supaya mereka diterangkan bahawa perbuatan melakukan sihir dan mempercayainya adalah merupakan suatu bentuk kesyirikan. Di samping itu  Anak-anak juga perlu diingatkan supaya menjauhi cerita-cerita yang berunsur maksiat. 

 

[1] Imam al-Munawi, al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, jld. 2, hlm. 746

( من أتى عرافا أو كاهنا ) وهو من يخبر عما يحدث ( فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد ) من الكتاب والسنة وصرح بالعلم تجريدا أي والفرض أنه سأله معتقدا صدقه فلو سأله معتقدا كذبه لم يلحقه الوعيد ( حم ك عن أبي هريرة ) واسناده صحيح

[2] Ibid.

( من أتى عرافا ) بالفتح مسددا من يخبر بالامور الماضية أو بما خفى ( فساله عن شئ ) أي من نحو المغيبات ( لم تقبل له صلاة أربعين ليلة ) خص الاربعين على عادة العرب في ذكر الاربعين والسبعين والتسعين للتكثير والليلة لأن عادتهم ابتداء الحساب بالليالي والصلاة لكونها عماد الدين فصومه كذلك ومعنى عدم القبول عدم الثواب ( حم م عن بعض أمهات المؤمنين ) وعينها الحميدي حفصة

[3] Imam al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, jld. 14, hlm. 227.

 

 

 

Cetak