AL-KAFI #1905: HUKUM SUJUD SAHWI KERANA MENINGGALKAN SUNAT HAI’AH

Screenshot 2022 12 13 at 11.30.16 AM min

 

Soalan: Apakah hukum sekiranya saya sujud sahwi kerana meninggalkan sunat hai’ah dalam solat?

Ringkasan Jawapan

Kita tidak disunatkan untuk sujud sahwi jika meninggalkan sunat hai’ah ketika solat. Jika ia tetap dilakukan, maka solat adalah terbatal.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkara-perkara sunat ketika sunat terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

Sunat ab‘adhAb‘adh merupakan kata jamak bagi ba‘dh yang bermaksud sebahagian, dan ia dinamakan demikian kerana ia menyerupai perkara-perkara fardu dalam solat, dan disunatkan sujud sahwi jika meninggalkannya.

Sunat hai’at: Perkara sunat selain daripada sunat ab‘adh.[1]

Dalam mazhab Syafi‘e, sujud sahwi tidak disunatkan jika seseorang itu meninggalkan sunat hai’ah. Kata Imam al-Nawawi:

وَأَمَّا غَيْرُ الْأَبْعَاضِ مِنْ السُّنَنِ كَالتَّعَوُّذِ وَدُعَاءِ الِافْتِتَاحِ وَرَفْعِ الْيَدَيْنِ وَالتَّكْبِيرَاتِ وَالتَّسْبِيحَاتِ وَالدَّعَوَاتِ وَالْجَهْرِ وَالْإِسْرَارِ وَالتَّوَرُّكِ وَالِافْتِرَاشِ وَالسُّورَةِ بَعْدَ الْفَاتِحَةَ وَوَضْعِ الْيَدَيْنِ عَلَى الرُّكْبَتَيْنِ وَتَكْبِيرَاتِ الْعِيدِ الزَّائِدَةِ وَسَائِرِ الْهَيْئَاتِ الْمَسْنُونَاتِ غَيْرِ الْأَبْعَاضِ فَلَا يَسْجُدُ لَهَا سَوَاءٌ تَرَكَهَا عَمْدًا أَوْ سَهْوًا لِأَنَّهُ لَمْ يُنْقَلُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السجود لشئ مِنْهَا وَالسُّجُودُ زِيَادَةٌ فِي الصَّلَاةِ فَلَا يَجُوزُ إلَّا بِتَوْقِيفٍ 

Maksudnya: Adapun perkara sunat selain sunat ab’adh seperti membaca isti’azah, doa iftitah, mengangkat tangan ketika takbir, mengucapkan takbir, membaca tasbih dan doa, menguatkan atau memperlahankan bacaan, duduk secara tawarruk atau iftirash, membaca surah selepas fatihah, meletakkan tangan di atas peha ketika duduk, takbir tambahan ketika solat sunat hari raya dan lain-lain sunat hai’ah, seseorang itu tidak perlu sujud sahwi sama ada jika dia meninggalkannya secara sengaja atau kerana terlupa. Hal ini kerana tiada riwayat daripada Rasulullah SAW berkenaan sujud kerana meninggalkan perkara-perkara tersebut. Sujud sahwi merupakan satu perkara tambahan dalam solat, dan ia tidak boleh dilakukan melainkan melalui penetapan oleh Baginda SAW sendiri.[2]

Jika seseorang itu sujud jika meninggalkan sunat hai’ah, maka solatnya terbatal. Kata Syeikh Sa’id Ba’isyin:

وإنما تُسَنُّ (بأَحَدِ أَسْبابٍ ثلاثةٍ)، بل خمسة: تَرْكُ بَعْضٍ، ونَقْلُ قولِيٍّ غيرُ مُبْطِلٍ، وزيادةُ فِعلٍ يبطل عمدُه فقط، والشَّكُّ في تَرْكِ بَعْضٍ، وإِيقَاعُ فعلٍ مَعَ الترَدُّدِ في زِيادته. فإِنْ سَجَدَ لِغَيرِ ذلك.. بَطَلَتْ صلاةٌ غير الجاهلِ المعذورِ بِنحو قرب عهد بالإسلام

Maksudnya: Sujud sahwi itu hanya disunatkan jika berlaku salah satu daripada tiga perkara bahkan lima (menurut Syeikh Ba’isyin), iaitu: meninggalkan sunat ab’adh, memindahkan rukun qauli yang tidak menyebabkan batal solat, menambah perbuatan yang membatalkan solat jika dilakukan secara sengaja, rasa syak pada meninggalkan sunat ab’adh dan melakukan suatu perbuatan solat bersama rasa syak berlakunya penambahan padanya. Jika seseorang itu sujud selain daripada perkara tersebut, solatnya batal, kecuali bagi orang jahil yang dimaafkan, contohnya orang yang baru sahaja memeluk Islam.[3]

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: Qism al-’Ibadat oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf (2003) Tarim: Dar al-Mirath al-Nabawi, Cetakan Pertama, hal. 226

[2] Rujuk Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab oleh Muhyiddin al-Nawawi (t.t) Dar al-Fikr, 4/125-126

[3] Rujuk Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta’lim oleh Syeikh Sa’id Ba’isyin al-Hadhrami (2004) Jeddah: Dar al-Minhaj, Cetakan Pertama, hlm. 291