BAYAN LINNAS SIRI KE-234: KETAATAN KEPADA RAJA

BLN234

Mukadimah

Ledakan teknologi miliki dua sisi; baik dan buruk. Media sosial secara khususnya kini telah menjadi pengganti utama kepada kebanyakan media massa. Disebabkan itu, terhasillah sebaran dan hantaran-hantaran yang baik serta buruk melalui medium ini.

Baru-baru ini, isu ketaatan kepada Raja atau Sultan menjadi hangat semula secara meluas di media sosial. Ini disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya, beberapa individu disiasat oleh pihak polis kerana kenyataan mereka yang dilihat merendah-rendahkan institusi beraja. Selain itu, isu ini juga hangat disebabkan oleh suatu hadis yang diangkat mengenai ketaatan kepada pemimpin. Oleh itu, kami cuba mengetengahkan kedua-dua isu tersebut dalam artikel kali ini.

Isu Mengutuk dan Menghina Raja

Seperti yang diketahui dalam Islam, tiada manusia yang tidak boleh ditegur. Namun, teguran itu biarlah mengikut panduan yang gariskan oleh Islam. Firman Allah Taala yang menyebut:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Surah al-Nahl (125)

Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sai’d al-Khudri yang menyeru manusia untuk mencegah kemungkaran, sabda Rasulullah SAW:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka dia perlu mencegahnya dengan tangan. Jika dia tidak mampu, maka dia perlu lakukan dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka dia perlu lakukan dengan hatinya. Ini lah selemah-lemah iman”

Riwayat Muslim (49) dan Riwayat Ahmad (11514) [1]

Islam mendidik manusia agar beradab dalam menyampaikan nasihat mengikut status sosial seseorang supaya nasihat yang baik sampai kepada penerima dengan cara yang berkesan. Contoh teladan Rasulullah SAW mempamerkan akhlak yang mulia sebagai ketua negara di Madinah menghantar surat kepada ketua negara lain dengan menyertakan sekali panggilan hormat bersama-sama mesej dakwah yang padat. Salah satu surat baginda SAW boleh dilihat di artikel kami bertajuk AL-KAFI #1098: KESAHIHAN WARKAH NABI SAW KEPADA RAJA NAJASYI. Oleh itu, amatlah tidak wajar bagi kita untuk menggunakan kata-kata tidak terhormat kepada orang lain, apatah lagi selaku rakyat kepada ketua negara.

Kedudukan Raja dalam Perlembagaan dan Agama

Apakah kedudukan seorang Raja atau Sultan dalam konteks negara Malaysia dan implikasinya terhadap hukum agama?

Pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV mengisytiharkan Rukun Negara bagi Malaysia yang digariskan melalui lima rukun. Ini terhasil ekoran peristiwa 13 Mei 1969 apabila perpaduan kaum dilihat menjadi lemah pada waktu itu. Kesetiaan kepada Raja dan Negara diletakkan sebagai rukun kedua. Ini menjadi simbolik bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara yang menyebabkan kesetiaan terhadap baginda Tuanku bermaksud kesetiaan kepada negara. [2]

Perlembagaan Persekutuan juga disusun dengan meletakkan kesetiaan kepada institusi beraja di Malaysia sebagai salah satu noktah penting. Ia kemudian menyebabkan beberapa akta-akta lain ditubuhkan berikutan menjaga ketenteraman sosial seperti Seksyen 124H Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seterusnya, ia membawa kepada persoalan iaitu apakah pula pandangan agama terhadap undang-undang yang memelihara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta institusi beraja?

Dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah (1/19) [3], al-Qadhi Abu Ya’la telah menggariskan bahawa kewujudan pemimpin adalah wajib secara kifayah kerana jika kepimpinan tidak wujud, nescaya tidak akan terlerailah perdebatan dan pertikaian terhadap sesuatu keputusan.

Malaysia menerima pakai sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan yang meletakkan pentadbiran negara dibahagikan kepada tiga komponen yang bernaung di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara. [4] Kesetiaan kepada baginda Tuanku memberi impak yang besar kepada pentadbiran seluruh negara itu sendiri. Maka, tidak dinafikan bahawa Seri Paduka Baginda YDPA memegang kedudukan yang tinggi juga di sisi agama.

Taat kepada Raja adalah Tanggungjawab Rakyat

Kedudukan seorang raja dan pemerintah mempunyai keistimewaan dalam sebuah organisasi kehidupan manusia. Taat kepada raja adalah wajib dan menjadi tuntutan di sisi syarak sebagaimana dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Surah al-Nisaa’ (59)

Islam mengajar mentaati pemerintah pada setiap perkara yang makruf. Ini kerana arahan pemerintah selagi mana ia menyeru kepada kebaikan dan kemaslahatan rakyat secara umum hendaklah didengar dan ditaati walaupun arahan yang dikeluarkan tidak dipersetujui oleh pandangan peribadi segelintir rakyat. Perkara ini dijelaskan dalam satu kaedah fiqh yang masyhur yang menyatakan bahawa setiap arahan atau urus tadbir seorang pemerintah kepada rakyat hendaklah terikat dengan maslahah. [5]

Oleh itu, memberikan taat setia kepada pemerintah dalam setiap perkara makruf merupakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang rakyat. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Wajib bagi setiap Muslim patuh dan taat (kepada pemimpin) pada apa yang dia suka dan dia benci, selagi mana dia tidak diperintah melakukan maksiat. Justeru apabila dia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi kewajipan untuk patuh dan taat.

Riwayat al-Bukhari (7144) dan Muslim (1839)

Adab Menegur Pemimpin

Setiap pemimpin adalah manusia biasa yang tidak maksum dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan sewajarnya ditegur atas kesilapan tersebut. Walaupun demikian, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah memberi teguran mahupun nasihat dengan pendekatan yang penuh hikmah sesuai dengan peringkat dan darjat seseorang individu tersebut agar tujuan nasihat dan teguran tersebut dapat difahami dan diterima dengan baik.

Menegur seorang yang melakukan kesilapan mestilah tidak bertujuan untuk membuka keaiban, terutamanya apabila teguran tersebut ditujukan kepada pemimpin dan mereka yang wajar dihormati dan ditaati. Penggunaan kata-kata kesat dan tidak hormat dalam memberi teguran kepada orang lain adalah sangat tidak beradab dan perlu dielakkan.

Hayatilah adab dalam menegur dan berdakwah yang diajarkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS ketika mereka diutuskan kepada Firaun. Firman Allah SWT:

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”

Surah Taha (44)

Justeru dapat kita ambil iktibar dari ayat ini, bahawa dakwah yang terbaik kepada seorang pemimpin adalah dengan cara terhormat dan penuh adab dan kesopanan walaupun pemimpin tersebut adalah seorang yang zalim dan sombong.

Kesimpulan

Ketaatan kepada pemerintah adalah suatu tuntutan syarak dan tanggungjawab kita sebagai seorang rakyat. Terdapat banyak nas-nas syarak seperti hadis-hadis yang menekankan kewajipan mentaati pemerintah termasuklah hadis yang menyebut bahawa sultan atau pemerintah adalah bayangan Allah SWT, namun sanad hadis tersebut lemah yang telah dihuraikan dalam artikel kami IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-281: PEMERINTAH ADALAH BAYANGAN ALLAH. Walau bagaimanapun, maksud hadis tersebut adalah sahih dalam menerangkan ketinggian kedudukan dan keistimewaan seorang sultan atau pemerintah yang wajib ditaati. Walaupun hadis tersebut statusnya dhaif, namun ramai para ulama yang menerimanya dalam bab targhib dan tarhib, iaitu sebagai galakan melakukan kebaikan dan menggerunkan daripada melakukan keburukan.  

Oleh itu, sekiranya terdapat teguran dan nasihat yang ingin ditujukan kepada pemimpin, perlulah dilakukan berasaskan ilmu dan adab selari dengan sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam berdakwah. Teguran yang penuh hikmah dengan kata-kata yang baik akan lebih mudah diterima dan difahami.

Jauhilah kata-kata yang kesat dan buruk yang boleh menyakiti dan menghina orang lain, lebih-lebih lagi institusi beraja yang mempunyai keistimewaan dan kedudukan tinggi di sisi agama dan juga Perlembagaan Persekutuan di negara kita. Jadikan kemudahan media sosial satu medan dakwah dengan penuh hikmah dan saling hormat antara satu sama lain, bukan medan menjatuhkan dan menghina orang lain terutamanya kedaulatan institusi beraja yang mampu menjejaskan kesejahteraan negara.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT memberkati pemerintah di negara kita dan memberi keselamatan serta kesejahteraan yang berpanjangan kepada rakyat Malaysia.

 

Nota Hujung:

[1] Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, Pentahkik: Syua’ib al-Arnaouth et al., Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, cetakan pertama, (2001M), Beirut: Muassasah al-Risalah.

[2] Rukun Negara, MyGovernment Gerbang Rasmi Kerajaan Malaysia, diakses pada 8 Jun 2021 melalui pautan:

https://www.malaysia.gov.my/portal/content/30110?language=my

[3] Muhammad bin al-Husain Ibn al-Fara’, Pentahkik: Muhammad Hamid al-Faqi, al-Ahkam al-Sultaniyyah li al-Fara’, cetakan kedua, (2000M), Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

[4] Sejarah Institusi Parlimen Malaysia, Portal Rasmi Parlimen Malaysia, diakses pada 8 Jun 2021 melalui pautan https://www.parlimen.gov.my/pengenalan.html?uweb=p&view=235

[5] Abd al-Rahman bin Abi Bakr Jalaluddin al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazha’ir, cetakan pertama, (1990M), Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.


Cetak   Emel