IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-161: HADITH AL-MUDHTHARIB

 

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Mudhtharib?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Mudhtharib merupakan salah satu daripada jenis-jenis hadith yang dhaif.

 

Definisi Hadith Mudhtharib

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Mu’dhal adalah seperti berikut:

 

وَذُوْ اخْتِلَافِ سَنَدٍ أَوْ مَتْنٍ * مُضْطَرِبٌ عِنْدَ أُهَيْلِ الْفَنِّ

Maksudnya:Manakala (hadith) yang berbeza sanad atau matannya

Dinamakan [Hadith Mudhtharib] menurut ahli bidang ini (ahli hadith)”.

 

Di dalam manzhumah di atas, kita memahami bahawa Imam al-Baiquniy memberi gambaran kepada kita bahawa hadith Mudhtharib adalah hadith yang berbeza pada sanad atau matannya.

 

Definisi Hadith Mudhtharib

Para ulama’ hadith telah memberikan definisi yang lain bagi hadith Mudhtharib, kerana pada definisi yang diberikan oleh Imam al-Baiquniy terdapat kekurangan. Antaranya adalah:

 

Hadith al-Mudhtharib adalah hadith yang mempunyai lebih daripada satu riwayat yang bercanggah antara satu sama lain, mempunyai kekuatan yang sama dan tidak boleh diharmonikan antara riwayat-riwayat tersebut.

 

Berdasarkan definisi di atas, jelaslah kepada kita bahawa hadith al-Mudhtharib ini mempunyai dua ciri iaitu:

 

 

Untuk itu, kita memahami bahawa hadith Mudhtharib ini termasuk di dalam hadith yang dhaif (lemah) kerana terdapat percanggahan padanya samada pada sanad atau matan.

 

Contoh Hadith Mudhtharib

Di sini kami nukilkan contoh-contoh berkaitan hadith Mudhtharib sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Taisir Mustholah al-Hadith:

 

1) Mudhtharib Sanad

 

 

شَيَّبَتنِيْ هُود وَأَخَوَاتُهَا

Maksudnya: “(Surah) Hud dan saudari-saudarinya (surah-surah lain) telah membuatku beruban”.

 

Imam al-Daraquthni berkata tentang hadith ini:

“Hadith ini Mudhtharib, kerana ia hanya diriwayatkan melalui jalur Abu Ishaq dan para perawi telah berselisih mengenai hadith ini sehingga mencapai sekitar sepuluh pendapat. Ada (hadith) yang diriwayatkan secara Maushul (bersambung). Ada yang diriwayatkan secara Mursal (terputus). Dan ada juga yang meriwayatkan dari Musnad Abu Bakar, Musnad Aisyah dan Musnad Sa'ad serta berbagai lagi perbezaan yang lain. Perawi-perawinya adalah thiqah dan tidak boleh untuk ditarjihkan antara satu sama lain dan juga untuk dihimpunkannya tidak boleh”.

 

2) Mudhtharib Matan

 

 

إِنَّ فِي المَالِ لَحَقًّا سِوَى الزَّكَاةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam harta itu terdapat hak selain zakat”.  [Riwayat al-Tirmizi (659)]

 

 

لَيْسَ فِي الْمَالِ حَقٌّ سِوَى الزَّكَاةِ

Maksudnya: “Tidak ada hak pada harta itu selain zakat”. [Riwayat Ibn Majah (1789)]

 

Imam al-‘Iraqi berkata: “Ini (hadith) adalah idhthirab (Mudhtharib) yang tidak boleh dita’wil”. Akan tetapi, Dr. Syarad al-Qudhoh tidak meletakkan hadith ini sebagai contoh bagi hadith Mudhtharib kerana ia boleh ditarjihkan. [Lihat: al-Minhaj, 179]

 

Hukum Hadith al-Mudhtharib

Hukum Hadith Mudhtarib adalah mardud (ditolak) kerana riwayatnya bercanggah pada sanad dan matan menunjukkan ketidakdhabitan hadith tersebut.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

Wallahua’lam